20 September 2010

Kenangan Ramadhan & kemanisan Syawal

I Syawal telah berlalu..namun ruh Aidilfitri masih dirasai dimana-mana. Untuk sekian kalinya saya menyambut Aidilfitri di Kampung Bukit Keledang. Khutbah Aidilfitri di sampaikan oleh Ustaz Sulaiman ( lebih dikenali dengan nama Aki Net) YDP Pas kawasan Bera. Seusai Solah Aidilfitri dan Khutbah, saya yang berada di saf belakang kerana hadir agak lewat terpaksa segera kehadapan untuk mengambil peluang bersalam dengan jamaah. Lapan puluh peratus jamaah yang saya salami, tidak saya kenali. Cuma sekadar melemparkan senyum tanda persaudaraan dan jiran sekampung.

Selesai solah saya singgah sebentar kerumah peninggalan arwah Mak saudara saya. Walaupun rumah tersebut ditinggalkan kosong sejak kematian beliau hampir setahun yang lalu, namun saya merasa bangga dengan sepupu-sepupu saya ( anak-anak beliau) yang sanggup pulang beraya di kampung dan berkumpul sesama anak beranak mereka walaupun tiada siapa lagi dirumah tersebut samaada Ayah atau Ibu mereka. Alhamdulillah.

Setelah itu kami sama-sama menziarahi kubur di tanah perkuburan yang terletak dibahagian belakang Pondok An-Najjah. Di Tanah perkuburan itu lah bersemadinya Abang Ipar saya ( Ustaz Yunus), Bapa saudara saya ( Abang ayah) dan Mak Saudara saya. Sebahagian besar jasad2 yang bersemadi tanah perkuburan itu adalah mereka yang saya kenali. Kepada mereka semua saya hadiahkan Fatihah dan serangkai doa, sambil berbisik kepada diri saya, bahawa suatu hari nanti saya pastinya akan menyusuli mereka..hanya Allah Yang Maha Tahu masa dan waktunya.

Hari Raya kedua saya habiskan masa beraya dirumah mak metua di Felda Purun. Sepanjang hari saya banyak menghabiskan masa di rumah tersebut memandangkan kedua-dua mereka, ayah dan Mak mertua saya dalam keadaan uzur. Ayah yang diserang penyakit kencing manis selalu tidak bermaya. Manakala Mak Mertua pula yang baru saja menjalani pembedahan jantung masih lemah dan perlu banyak berihat. Namun saya bersyukur mereka selamat dan sama-sama menceriakan Aidilfitri tahun ini. Ketika berehat di veranda hadapa rumah Bapa mertua saya, sambil memerhati anak-anak asyik bermain bunga api dihalaman rumah. Sedetik itu fikiran saya kembali menyulam kenangan manis Ramadhan di Tanah Haram Makkah yang baru tiga hari saya tinggalkan. Ramadhan kali ini mempertemukan saya dengan beberapa orang kenalan lama.

Shukri..sahabat yang sering menjadi teman berbual saat sama-sama belajar di Ajyad Makkah. Telah 20 tahun kami berpisah. Tiba-tiba di Ramadhan ini kami bersua kembali. Begitu juga dengan Asri dan Ridzuan yang masing-masing menentap di Rantau Panjang dan Ketereh Kelantan. Ridzuan yang masih bujang memberitahu Abang Soh dan Kak Mah ( teman serumah saya ) telah pun meninggal dunia. Kak Mah kemalangan bersama anak. Manakala Abang Soh meninggal beberapa bulan selepas itu kerana mengidap TB. Sebak hati saya menerima perkhabaran itu. Masih baru rasanya pergaulan kami yang sering bersarapan bersama dan bergurau senda. Kini mereka telah pergi meninggalkan segalanya.

Sedang saya menyusuri lorong-lorong yang dipadati manusia di Shabab Amer, tiba-tiba saya terserempak dengan Ustaz Mokhtar ( kami panggil beliau Ustaz Tho). Beliau pernah mengajar di Pondok saya beberapa tahun. ketika saya dalam tahanan Ustaz Tho terpaksa pulang ke Pattani kerana masaalah visa. Beliau adalah kelahiran Saudi dan berasal daripada selatan Thailand. Pertemuan kami yang secara kebetulan itu telah dilanjutkan lagi apabila beliau mempelawa saya bersahur dirumah sepupu beliau dan sahabat beliau yang bekerja sebagai pegawai di pejabat Muassasah Saudi untuk rantau Asia. Kesempatan itu telah memberi peluang untuk kami bercerita panjang. Isteri beliau adalah Mak Susu kepada anak ketujuh saya iaitu Hujjatul Islam. Kenangan Ramadhan di Bumi Barokah itu menjelma silih berganti antara kenangan lama yang berbaur antara kemanisan dan kepiluan.

Hari raya ketiga, dalam perjalanan pulang ke Kuantan kami singgah di rumah Pak sepupu saya ( Ayah beliau adalah Bapa saudara ayah saya) di Felda Chini 5. Kebetulan pada hari itu beliau mengadakan Majlis Walimah anak beliau. Saya berpisah dengan beliau kira-kira pada tahun 1981. Alhamdulillah pertemuan itu menghubungkan kembali saya dan Pok Sim.

Hari Raya ke Empat saya terus bertolak ke Kelantan untuk menziarahi Pusarah ayah di Kampung Delima Wakaf Bharu dan menziarahi sepupu Mak yang juga guru saya ( Tuan Haji Abdul Ghani) yang terlantar sakit sejak awal Ramadhan. Hari Raya ke Lima saya terus berlepas dengan Flight dari Kota Bharu ke KLIA untuk menunggu ketibaan Jamaah Umrah yang berumrah selama sebulan yang dijangka tiba di KLIA jam 12.30 pada 16 Sept itu.

Semalaman berada di Kota Bharu, saya mengambil kesempatan bertemu dengan beberapa orang sahabat Politik kelantan, untuk mendengar maklumat-maklumat terkini Politik Kelantan. Keesokkan kami sambung lagi perbualan itu di Airport pengkalan Chepa sehingga saya terlepas penerbangan saya dan terpaksa mengambil tiket baru untuk segera ke Kuala lumpur. Banyak Isu-isu baru Politik Kelantan dan tanahair yang kami bualkan. Alhamdulillah.

Kerana kelewatan ketibaan penerbangan Yamen Air dari Jeddah ke KLIA..maka terpaksa sekali lagi saya tunda penerbangan ke Kuantan. Walaupun agak kepenatan namun saya merasa lega..kerana dapat menyelesaikan banyak urusan dalam tempoh yang singkat. Rabu lepas kami Lima beranak berlepas ke Surabaya atas urusan anak ketiga kami yang masih belajar di sana. Seharian suntuk kami melayan anak-anak yang sekian lama berhasrat melawat Taman Safari Surabaya yang merupakan taman Safari terbesar di Asia itu.Selepas ini saya terpaksa berdepan pula dengan urusan persiapan walimah anak perempuan sulong kami. Mudahan2 Allah sentiasa membantu dan mempermudahkan urusan saya dan teman-teman semua.
_______________________

Keterangan Gambar:
1. Atas: Saya bersama sepupu-sepupu saya di Rumah Allahyarham Pak Saudara sebelah ayah.
2. Di Lobby Hotel Mawaddah Madinah, bersama Sdr Abdul Wahab dari Trengganu.
3. Bersama Ustaz Tho ( Paling kanan) dirumah sepupu beliau di Makkah.
4. Melayan anak lelaki saya ( Imam Izzuddin Abdus Salam) di Surabaya yg seronok sangat menaiki beca.

14 September 2010

Teruskan Perjuangan Ramadhan sepanjang hayat


Alhamdulillah saya selamat sampai ke KLIA jam 11.35 pagi dari Jeddah dengan penerbangan MAS. Sampai kat rumah di Kuantan jam 5.30 petang. hampir 3 jam tersangkut katKLIA kerana bagasi lambat keluar. Maka terpaksalah kami semua menunggu. Menurut kakitangan KLIA yang ada dua tiga orang kat situ..kelewatan bagasi di punggah dari pesawat ke terminal adalah disebabkan kelewatan Flight berlepas dari Jedaah. Jadi bukannya salah pengurusan di KLIA tapi silap pengurusan di Jeddah. Saya senyum sorang2..bila mendengar alasan yang sedikit cacat itu. Sebabnya dah banyak kali saya berulang alik dengan flight ke berbagai distinasi. Acap kali juga flight yang di tumpangi itu delay, tapi tidak pula pemunggahan bagasi dari pesawat tertunda sampai berjam-jam. Saya pandang dan renung muka pegawai yang beri alasan itu..dia nampak serba salah. Last sekali dia beritahu yang pintu kargo penyimpanan barang di dalam perut pesawat terkunci dan terpaksa dibuka secara manual. Selagi saya senyum sendiri..sah dah yang alasan pertama tadi memang bohong kerana nak melepaskan kelemahan pengurusan mereka.


Sampai dirumah, saya arahkan isteri dan anak-anak segera bersiap sebab kami akan balik berhari raya di rumah mak saya di Madrasah An-Najjah Bukit Keledang. Tepat jam 12.30 malam kami pun bertolak dalam deruan hujan yang agak lebat. Sampai di Kg Bukit Keledang jarum jam dah pun menunjukkan angka 4.30 pagi. Namun Alhamdulillah sempat lah beraya dengan ibu yang tercinta. Lepas solah Subuh saya cium tangan Ibu..kepadanya saya mohon kemaafan dan keredhaan. Segera terbayang diruang ingatan kesah semasa dulu...

Pagi-pagi lagi ibu akan sediakan sarapan awal Hari Raya untuk keluarga. Kemudian ibu akan pakaikan pakaian baru yag dilipat rapi didalam almari ( sebenarnya pakaian itu telah dilipat berulang kali, kerana telah saya cuba dan bergaya dengannya berulang kali). Ibu kelihatan puas bila melihat saya gembira dengan pakaian baru itu. Jiran kami hanya 4 keluarga ( kerana ketika itu kami menentap di seberang sungai Pahang yang hanya ada 4 keluarga termasuk kami). Lebih mengembirakan saya bila ayah berikan duit raya 10 sen, ibu pulak 10 sen. Kemudian saya dan kakak serta abang2 akan kerumah Abang ayah ( kami panggil beliau Pak Da). Di rumah Pak Da ada Kak Pah ( sepupu kami yang sebaya dengan kakak) dan Su ( adik Kak Pah yang setahun lebih tua dari saya). Mereka lah sepupu dan rakan yang kami ada. Selebihnya adalah rimbunan rimba yang sejuk dan sesekali terusik dengan kehadiran kera-kera dan monyet yang mencari pucuk-pucuk muda untuk dikunyah.

Dengan pakaian Hari Raya itu kami semua turun ke tebing sungai dan dengan dua tiga buah perahu kami berkayuh ke Masjid Kg Kuala Triang yang berada dipinggir sungai diseberang. Masjid tua yang berhampiran kubur itu dikunjungi ramai orang. Dalam usia 3 dan 4 tahun itu, tidak bayak yang saya faham mengapa perlu solah hari raya baru boleh beraya. Ketika menunggu ayah, abang dan orang-orang diwasa lain menunaikan solah, saya akan berada disatu sudut terpencil dan memerhati kanak-kanak lain yang riuh rendah berlari dan bermain mercun dihalaman masjid. Sesekali keluar seorang ( kemudiannya saya kenali beliau denga gelaran Pakwa Napi) "menjerkah" kanak-kanak tadi. Tapi bila orang tua tersebut masuk semula kedalam, kanak-kanak tadi kembali riuh. Saya masih sendiri..sepupu saya tadi ( Su) tentunya berada di sebelah jamaah perempuan.

Selesai solah Aidilfitri..ayah dan Pakda akan bawa kami ( saya, kakak, Kak Pah, Su dan abang2 saya) berhari raya dirumah kawan-kawan ayah dan Pak Da. Walaupun Ayah dan Pakda adalah orang luar yang berhijrah di Kampung tersebut, namun mereka agak dikenali ramai. Kerana sebahagian besar penduduk diwasa kampung itu pernah belajar agama dengan Bapa Saudara ayah dan Pakda, yang kami panggil "Tok Ayah". Tok Ayah telah sampai ke kampung tersebut bertahun-tahun lebih dahulu dari Ayah dan Pakda. Bahkan tokayah telah berkahwin dengan seorang gadis dikampung tersebut. Kira-kiranya kami pun ada saudara mara juga lah dirantau orang. Bisanya ayah akan bawa kami ke rumah Tok Empat ( ketua kampung. Kemudiannya ketua kampung ini jadi Bapa Mertua kepada abang saya yang sulong), selepas itu kerumah Pakwe Hud, Pak Ngah Ali, Pak Itam Yasin, Pak Lebai Said ( beliau berasal dari Pattani dan berkahwin dengan anak tempatan), Pakwe Wahab, Pak We Aziz, Tok Ki Yet ( beliau kemudiannya jadi Ayah Tiri saya -selepas pemergian ayah), Pak Ngah Ali ( Menantu Tok Ki Yet), Pak We Seman ( kemudiannya beliau jadi Bapa Mertua kakak) dan sehinggalah sampai ke kampung Paya Panjang yang sebahagaian besarnya dihuni oleh orang-orang Kelantan.

Bila telah petang baru kami baliksemula keseberang. Sambil duduk disamping Ibu saya akan mengira semula duit-duit raya yang kami kumpul. Biasanya saya akan bertanding dengan SU, siapa yang paling banyak duit. Paling banyak pun, kami hanya dapat kumpul antara 1.50 sen atau 2 ringgit. Ibu akan simpan duit tersebut dalam tin yang diletakkan dalam almari..

Sebak hati saya mengenangkan itu semua..kini ibu telah uzur benar. Telah banyak rentetan hidup saya yang sentiasa dipandu ibu. Ibu tidak pernah melepaskan tangnnya dari memimpin dan membimbing saya. Setidak-tidaknya "doa ibu" sentiasa menemani saya. Ya Allah rahmati dan kasihi lah kedua Ibu-Bapa ku.


(Catatan 4 Syawal) 2010

07 September 2010

Selamat tinggal wahai bumi yang Barokah..

Hari ini ( selasa) adalah hari terakhir saya di Tanah Suci Makkah untuk kali ini. Esok saya dan beberapa orang jamaah yang datang pada pertengahan Ramadhan akan kembali menyambut "Aidilfitri" di tanahair. Manakala 47 orang lagi jamaah yang menyertai Pakej Full Ramadhan bersama "Podok An-Nuur Travel & Tours Sdn Bhd" akan berangkat pulang pada 15. Sept akan datang.

Para "tetamu Allah" sudah mula berkurangan, khususnya selepas 27 Ramadhan. Bas-bas sewa khas yang sarat dengan penumpang dan bagasi mula meninggalkan kota Makkah. Barang juanlan dikedai pun mula diturunkan harga, bahkan ada yang dah mula menawarkan harga borong. Begitulah lumrahnya saban tahun. Justeru itu saya berpesan kepada ahli jamaah saya yang akan pulang pada 15. Sept nanti, kalau boleh membelilah selepas Hari Raya. Semalam saya berbual panjang dengan seorang warga Saudi di Masjid Ja'faly ( terletak di Syuba Ameer). Saya kata kepadanya, kalau 20 tahun dulu saya lihat jarang warga Saudi yang berniaga dikaki-kaki lima dan jarang mereka berkerja sebagai pemandu teksi. Tapi kini saya lihat tempat tersebut diambil alih oleh warga Saudi pula. Manakala warga Yaman dan Pakistan semakin berkurangan. Teman berbual saya itu memberitahu bahawa ekonomi Saudi semakin menurun. Yang kaya Raja dan Kerajaannya..rakyat semakin miskin kata beliau. Banyak projek-projek mega dimonopoli oleh pihak pemerintah, sehingga kos projek-projek tersebut melambung dengan harga yang tidak munasabah. Kerananya untuk kepentingan saku-saku kerabat pemerintah..tambah beliau lagi. Saya cuma senyum..dalam hati saya berkata " kamu belum tahu keadaan negara ku, kalau kamu tahu nescaya kamu akan mengiling kepala sakan".

27 Ramadhan baru-baru ini jamaah memang melimpah. Saya yang terpaksa berbuka di Hotel kerana kurang sihat, akhirnya terpaksa menunaikan solah Isyak atas jalanraya, kira-kira 200 meter dari perkarangan Masjid. Kata seorang warga pattani yang telah lama menetap di Saudi, kira-kira 3 juta setengah jamaah berkumpul di Masjidil haram pada malam tersebut. Disetiap lorong dan penjuru Kota Makkah padat dengan "tetamu-tetamu Allah" yang datang mengejar fadilat malam 27 Ramadhan.

Hari ini ( 7. Sept) suhu masih tinggi. Iklim panas "luar biasa" tahun ini bukan sahaja dirasai di Saudi bahkan diseluruh negara-negara Arab. Dalam perjumpaan dengan pelajar-pelajar Medic Mesir baru-baru ini saya dimaklumkan bahang musim panas di Mesir pada tahun ini juga agak luar biasa. Dalam dua tiga hari sebelum keberangkatan balik saya habiskan masa selain ke Masjidil Haram bagi menunaikan Tarawih dan Qiam, juga mengunjungi kedai-kedai kitab. Saya dapati kedai-kedai kitab di kota Makkah juga telah ada dijual kitab-kitab Tasawwuf, seperti karangan Imam Al-Ghazali, Ibnu Atho, Said Hawa dan lain-lain. Kalau dulu memang sukar untuk di cari kitab-kitab tersebut..entahkan pemerintah Saudi tidak sedar adanya kitab-kitab tersebut atau ulama-ulama Saudi telah "berlembut" dengannya.

Oleh kerana asyik dijamu dengan "Nasi Arab berKambing"..menjadikan berat badan terasa agak meningkat. Dalam perjumpaan dengan pelajar-pelajar baru-baru ini kami dijamu nasi "Mandi" berkambing, Semalam seorang jamaah sedekah 2 ekor kambing, hari-hari terdahulu telah disembelih 2 ekor kambing untuk jamuan berbuka..hasilnya jam tangan sudah mula terasa ketat. Malam semaam dan malam ini juga disembelih kambing lagi. Saya berseloroh dengan jamaah, jangan-jangan balik nanti kita semua senyum pun macam "senyum kambing".

Musim ini adalah siri ke Lima kunjungan saya ke Makkah pada tahun ini.Alhamdulillah. Sungguhpun begitu setiap kali akan melangkah meninggalkan Baitullah..hati tetap merasa sedih dan sebak. Lebih-lebih lagi mengenangkan betapa Allah "menyantuni" hamba-hamba-Nya begitu indah sekali. Sedangkan hamba sering melupai-Nya.

Saya dijangka tiba di KLIA jam 10.30 pagi pada 9 Sept. Sehari sebelum Raya di Malaysia. Isteri telah beritahu semua anak-anak dah bersiap untuk balik rasa di Kampung. Kami bercadang selepas beraya di Temerloh, akan beraya pulak di Kedah dan Kelantan. Kira-kiranya "beraya sakan" jugak la. Saya okey je lah..kerana memandangkan jarang-jarang dapat berkumpul dan berjalan dengan anak-anak. 22 sept nanti kami 6 beranak akan ke Surabaya pulak menziarahi putera ke 2 kami yang belajar di sana. Selepas itu saya akan ke Madrid ( Spanyol) dan Morocco pulak, cumanya tarikh belum ditetapkan. 9 Oct.2010 akan di langsungkan pula Majlis perkahwinan anak sulung kami, Insyallah. Dengan itu saya terpaksa memanfaatkan Hari Raya ini untuk bersama anak-anak.

Selamat tinggal Ya BaituLlah..Insyallah hamba yang hina ini akan datang berteleku di hadapan pintu mu lagi... Mengikut Jadualnya Program Umrah & Ziarah "Pondok An-Nuur Travel" akan bermula Mac tahun hadapan. Insyallah pada tahun hadapan akan disediakan 8 trip Umrah termasuk Umrah Ramadhan 2011.

( Mecca Ramadhan 1431 / 2010)

01 September 2010

Seteguk air bernilai 1000 rial..


Hari ini ( 2.Ogos 2010 ) dah masuk lima hari saya menjadi tetamu Masjidil Haram. Suhu masih 40 C keatas. Memang terasa kehangatan yang menjalar kekerongkong. Ditambah pula dengan jumlah pengunjung yang cukup ramai, sehingga dimana saja ruang disegenap penjuru kota ini, pastinya sentiasa berasak-asak. Namun kemanisan Ramadhan di Bumi suci ini mengatasi keperitan yang dirasai. Mengadap Baitullah dimalam-malam 10 terakhir ini adalah pengalaman rohani yang pastinya kelazatan yang tak terkatakan. Saat Qiam menghadap wajah ke Baitul Atiq terasa bagai sedang berbicara dengan Allah lewat sanubari dalam yang mengasyikkan.

Disuluh limpahan cahaya lampu yang dipancar disetiap sudut Masjid yang berkat ini, sambil berteleku menghadapNya, tiba-tiba airmata saya melimpah. Terkenangkan teguran halus Allah beberapa hari yang lalu. Halus, berseni dan penuh kasih sayangNya.

26 Ogos yang lalu, saya dan rombongan berangkat meninggalkan Lapangan Terbang KLIA jam 3 petang dengan pesawat MAS. Mengharungi perjalanan dalam bulan Ramadhan, memang sangat memenatkan. Kami dijangka tiba di Jeddah jam 6.30 petang waktu Saudi. Ini bermakna kami dijangka berbuka puasa pada jam 11.45 malam waktu Malaysia.

Saat Pesawat mula memasuki ruang Udara Saudi saya sudah rasa sangat perit dan pedih menghimpit krongkong, ditambah pula sedikit penyakit kencing manis yang mula bertandang membuatkan saya mudah haus dan kering tekak. Namun saya cuba tahankan kerana setengah jam lagi pesawat akan mendarat dan sejurus selepas itu waktu berbuka telah masuk.

Selepas Pesawat berhenti dan pintu dibuka, saya dan rombongan segera turun dan menaiki Bas Airport yang memindahkan kami ke Terminal. Sampai diterminal saya menoleh kearah jam yang ada di situ. Masih ada 10 minit waktu untuk berbuka. Segera kami beratur untuk urusan Imigresen dan cop Passport. Jumlah penumpang yang ramai, membuatkan saya dan dua orang sahabat terpaksa berkejar-kejar mengumpul Bagasi kami. Manakala jamaah Muslimat saya minta menunggu di barisan kerusi berhampiran pintu keluar sebelum kaunter pemeriksaan Kastam. Keadaan terkejar-kejar itu membuatkan saya terlupa waktu berbuka telah pun masuk. Kehausan semakin terasa, bagaikan sebuku keledek panas tersekat dikerongkong. Namun kerana mahu segera keluar keruang ketibaan dan melepasi kaunter Kastam, maka terpaksa lah saya abaikan kedahagaan itu. Enam troli yang sarat dengan Bagasi dan 16 kotak bahan makanan untuk jamaah terpaksa saya dan dua orang sahabat tadi turunkan kedalam Scanner dan punggah kembali selepas itu keatas troli.

Akhirnya dalam berpusu-pusu itu berjaya juga kami keluar keruang ketibaan. Enam troli itu segera kami kumpul setempat berhampiran pintu keluar untuk memudahkan pemunggahan ke kenderaan. Kehausan semakin mencengkam..saya raba duit dalam bag galas saya untuk membeli sebotol air. Namun baru saya ingat, duit tersebut masih belum saya tukar kepada Rial Saudi. Dalam saat keletihan dan dahaga itu saya terpandang botol air yang ditinggalkan bersama beberapa sampah kotak makanan dilantai dipenjuru dinding. Air dalam botol 500ml itu masih ada sesuku. Memikirkan air tersebut telah ditinggalkan ditambah pula dengan kehausan yang semakin membahang maka segera botol air itu saya capai. Teguk yang pertama dan kedua , saya masih tiidak rasa apa-apa. Ketika menelan sedikit teguk yang ketiga, mula berdegup dihati saya rasa bersalah kerana meminum air yang entah milik siapa. Lalu dengan berdebar saya letakkan segera botol tersebut walaupun airnya masih cukup menghilangkan dahaga saya yang masih terasa. Saya beristighfar berulang kali sehinggalah ketika selesai menunaikan solah Maghrib di Musollah Airport. Kepada Allah saya mohon keampunan atas keterlanjuran itu dan kepada pemilik air tersebut saya doakan agar Allah mengurniakan rahmatNya kepadanya.

Selesai urusan di Airport, kami pun mula bergerak dengan sebuah Van Toyota menuju Madinah Al-Munawwarah. Oleh kerana kepenatan dan keletihan maka tidak berapa lama saya pun tertidur. Sejurus terlelap saya didatangi mimpi bertemu seorang lelaki tua Arab yang sangat selekeh dan kusut masai. Bersamanya sebiji botol yang kosong. Lelaki itu tidak dapat berdiri, bahkan hanya bersimpuh dan bergerak secara menginsut. Setiap orang yang lalu dihadapannya akan dipanggilnya sambil menghulurkan botol itu kepada mereka. Kebanyakannya orang yang lalu tidak memandang kepadanya. Kerana simpati melihat keadaannya lalu saya menghampiri lelaki tua itu. Kepadanya saya tanyakan apa yang dikehendakinya. Lalu lelaki itu menunjukkan kepada saya botol kosong ditangannya. Botol ini ! katanya. Saya lihat botol tersebut. Masyallah..sama dengan botol yang saya ambil di Airport tadi. Tadi sebentar aku kehausan katanya kepada saya. Kemudian aku bertemu sedikit air dalam botol ini, lalu aku meminumnya tanpa meminta halal dari yang empunyanya. Kemudian datang seorang "anak yatim" mencari minumannya. Lantas aku katakan aku telah meminumnya tiga teguk. Aku mohon halal daripadanya. Tetapi anak itu masih bertegas mahu aku kembalikan airnya. Aku katakan kepadanya bagaimana akan aku kembalikan airnya kerana semuanya telah ku minum. Anak itu terus mendesakku. Lalu katanya kepada ku " Pakcik bayar kepada saya 1000 rial bagi satu teguk, baharulah saya akan halalkan. Lantas aku berjanji untuk membayarnya, tetapi berilah aku tempoh kerana aku tidak punya apa-apa. Lelaki itu merenung saya sambil berkata; sebab itu lah kamu lihat aku meminta-minta kepada siapa sahaja yang lalu lalang disini untuk ku kumpul sejumlah 3000 rial bagi membayar 3 teguk air yang aku minum itu. Anak..katanya kepada saya..tolonglah aku..lepaskan aku dari minuman yang belum halal ini. Matiku dalam keadaan dahaga adalah lebih bertuah dari kenyangku dalam perkara haram".

Sejurus itu saya tersentak dari tidur..dada saya terasa sangat sebak dan terhimpit. Air mata mengalir dalam deru perjalanan ke Bumi Rasulullah saw. Saya yakin itu adalah teguran Allah. Bersama kepiluan hati, saya bertekad wang sejumlah itu akan saya bayar kembali..dengan izin Allah. Sehingga kini saya terasa sangat hiba apabila terkenangkan mimpi itu. Saya hiba kerana telah cuai menjaga kepentingan hak. Juga saya hiba betapa "Pengasih dan Penyayang" nya Allah..dalam kesilapan itu Allah masih membelai hambaNya dengn "Tarbiyyah"Nya. Benarlah Kasih Allah mengatasi Murkanya. Maghfirah Allah lebih luas daripada MarahNya.

Saya terkenang berapakah bayaran yang harus dibayar oleh manusia yang hidupnya dilingkungi perkara Haram...


Salam dari Bumi Suci.