21 April 2010

Rahmat Mu ya Allah..

KU TUMPAHKAN PERASAANKU
PADA ALBUM PERJALANAN HIDUP KU.
( SEMPENA UMRAH APRIL 2010 DAN ZIARAH BUMI YAMAN)

( 12. April)
Masjid Nabawi As-Syahrif dilihat dari Hotel penginapan
jamaah An-Nuur Travel & Tours


( 12 April)
Hotel Suhbah Thoyyibah di Madinah. Penginapan jamaah selama 3 hari.

( 13 April)
Meneroka kampung pedalaman adalah kegemaran saya apabila
menziarahi mana-mana Negara. Desa pedalaman ini menceritakan secara
live kehidupan dan jiwa penghuninya.

( 16.April)
Kuliah yang dianjurkan oleh An-Nuur Travel untuk jamaahnya
setiap kali program Umrah dilaksanakan. Sebahagian daripada
81 orang jamaah Umrah April 2010.

( 14 April)
Saya datang untuk sama-sama menghadiri Kuliah Dhuha Tok Guru. Tapi tak sangka
pulak diminta menyampaikan kuliah, kerana Tok Guru uzur. Kehadiran
terdiri daripada pelajar-pelajar dan pekerja warga Malaysia,Indonesi dan Thailand yang bekerja
sekitar Makkah,Jeddah, Taif, Riyad dan lain-lain. Alhamdulillah boleh jugak
berkenalan.

Bersama Ustaz Hasan Shukri bekas Timbalan Presiden Pas yang kini menjawat jawatan
Ahli Jawatankuasa Syura' Pas. Dah lama saya tak bertemu Ustaz Hassan. Alhamdulillah
bersua di tanah Haram. Paling kiri ialah Ahli Majlis Fatwa Selangor.

Tak sangka bersua dengan Dr Ibrahim dalam majlis ini. Ketika saya ditahan
diKemunting ( 2000 - 2003) beliau lah antara sahabat yang sering
membawa keluarga saya menziarahi saya di Kemunting. Kini beliau
menjawat jawatan Pensyarah University di Riyadh.

Bersama keluarga Hj Samsol dari Sungai Buluh di Masjid Quba'. Paling kiri
anggota jamaah kami. Beliau adalah tokeh Califonia Western Food di
Tanjung Malim. Jom jalan-jalan cari makan.

(17.April)
Ni sorang lagi sahabat yang lama tak jumpa. Ust Lutfi Al-Kedahi, menantu cucu kepada
Tuan Guru Haji Hashyim Pasir Tumboh. Beliau bekas anak usrah saya
ketika di Pasir Tumboh dulu.Kini beliau Ushawan Roti di Bandar Sana" Yaman. Dah kaya
raya ni. Persatuan pelajar jangan lupa kutip baksis bulanan dari beliau.

Ini pulak "Gharqa' Al-Qulais" Kakbah yang group Abrahah dan Pembesar Yaman
bina dulu. Kononnya nak tarik pedagang datang ke Yaman macam mereka pergi
ke Makkah kerana ada Baitullah. Kira-kiranya Kakbah Hadori la ni. Sekarang jadi
tempat pembuangan sampah.

Pintu rumah Ulama tersohor "Dr Abdul Karim Zaidan". Kitab beliau
pertama kali saya baca ialah pada tahun 1980 bertajuk
"Usul Dakwah". Insyallah satu hari saya bercadang mengunjungi beliau, mudah-mudahan.
Bab Al-Yaman..yang pernah diperlihatkan kepada Rasulullah
ketika mereciknya bunga api yang terpancar dari batu yang di pukul oleh Baginda
dalam peristiwa pengalian parit ( Khandak) dalam perang Ahzab.

Mehrab Masjid Jaamiul Kabir di Sana'. Mehrab ini jika diukur
melalui kaedah modern dengan bantuan Satelit, kita akan dapati
garisan itu betul-betul mengenai penjuru "Yamani"
di BaitulLlah Al-Haram. Itulah Mukjizat Rasulullah saw.
Mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar Yaman di Sana'. Adik-adik
harapan jamaah Islam. Siapa lagi yang paling layak memnerajui perjuangan ini
jika bukan orang yang paling mirip dengan RasuluLlah saw.

(19.April)
Tahun 2008 dulu saya jadikan tahun kempen "School in the Park"..
Sekolah dalam taman. Alhamdulillah hari ini sebahagian
An-Nuur telah berjaya di Tamankan dengan landskap yang menyejukkan.
Gambar: Kakilima Masjid An-Nuur.
21.April.
Sebahagian pelajar An-Nuur sedang berzikir ( Mathurat Al-Kubra) selepas solah Asar.
Sejuk rasa hati melihat pertumbuhan warisan perjuangan Islam.
Mereka tumbuh dihadapan mata kami.

21.April
Berdoa penuh khusuk adalah Tarbiyyah kami.
Doa adalah otaknya ibadah.

Pemandangan dari ruang tamu rumah saya. Sebelah kanan rumah guru.
Kat hujung sana tu pejabat pribadi saya yang bersambung dengan pejabat guru,
Bilik Mesyuarat,Bilik cetak dan Bilik Komputer.

Ini bilik kerja dan maktabah pribadi saya. Sejauh mana pun saya mengembara
dibilik ini jua tempat yang dirindui ketenangannya. Banyak masa saya habiskan disini.

Di ruang sederhana ini biasanya saya menerima tetamu. Kat belakang tu
"kiswah" yang dihadiahkan oleh salah seorang keluarga Bani Syaibah
kepada saya. Khat tersebut adalah sebahagian dari Kiswah pada tahun 2008.
penulisnya "Abdul Rahim Amin".

Itulah rakaman seminggu perjalanan saya mulai 11.April hingga 18 April. Saya sangat bersyukur kepada Allah yang sentiasa menerima saya sebagai tetamuNya di BaitNya yang suci. Insyallah Jadual Umrah An-Nuur Travel seterusnya ialah pada 7 June.2010. Sahabat-sahabat yang ingin menyertai kami sambil menabung untuk tabung pembangunan An-Nuur dan Dewan Ulama Pahang, sila hubungi kami segera untuk urusan visa dan penerbangan serta penginapan di Madinah dan Makkah.

SALAM UKHUWWAH DARI SAYA
Terimakasih kepada adik-adik yang menyambut dan meraikan kedatangan saya dibumi Yaman. Teruskan Perjuangan dan berikan wala kepada jamaah dan Pimpinan.

08 April 2010

Secangkir Kopi selaut kebajikan.


Sudah lapan (8) hari saya kembali dari menjadi tetamu Allah di Haramain. Alhamdulillah perjalanan kami selamat pergi dan balik. Semua urusan dipermudahkan oleh Allah, samaada urusan Visa, seat penerbangan mahupun urusan penginapan ( hotel) dan kenderaan di Madinah dan Makkah. Kali ini peserta Umrah yang menyertai An-Nuur Travel & Tours hanya seramai 77 orang sahaja. Walaupun jumlahnya tidak seramai jamaah yang menyertai syarikat-syarikat Travel yang sudah establish dan berpengalaman, namun saya selaku pengurus An-Nuur Travel & Tours merasa puas kerana sedikit sebanyak Syarikat kami dapat memberikan servis yang memuaskan hati para peserta. Sekurang-kurangnya kami dapat menimba pengalaman dan dapat memperbaiki mutu perkhidmatan kami.

Ramai jugak sahabat-sahabat yang mencadangkan saya menawarkan harga yang lebih rendah berbanding syarikat-syarikat yang sedia ada, untuk menarik penyertaan yang ramai. Ada pula yang mencadangkan saya meletakkan harga pakej yang lebih tinggi agar An-Nuur Travel memperolehi lebihan yang lebih tinggi. Kedua-dua pandangan itu saya abaikan. Kerana ketika saya mengasaskan Syarikat ini saya telah tetapkan beberapa perinsip.



Yang pertama: An-Nuur Travel tidak akan meletakkan harga yang boleh mengugat perniagaan orang lain. Persaingan sihat adalah keutamaan kami. Disamping itu An-Nuur Travel lebih memberikan tumpuan kepada "perkhidmatan" berbanding harga.

Yang kedua: Penyertaan dalam jumlah yang sederhana pada permulaan program ini, memberikan An-Nuur Travel peluang untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dari masa kesemasa.

Yang ketiga: An-Nuur Travel tidak akan meletakkan harga yang melepasi had kemampuan umum masyarakat Islam di Malaysia. Kerana "Profit" bukan keutamaan yang pertama dalam penubuhan An-Nuur Travel. Bagi kami jika ada sedikit lebihan sudah cukup memada bagi kami. Lebihan tersebut adalah untuk pembiayaan penambahbaikan perkhidmatan, keuntungan syarikat dan Untuk Allah dan Rasul ( tabungan pembangunan An-Nuur dan Dewan Ulama Negeri Pahang).
Dalam program Mac lalu, Alhamdulillah kami dapat menunaikan umrah dan ibadah dengan selesa. Awal-awal lagi saya telah sebutkan dalam iklan kami bahawa kami tidak menjanjikan kemewahan dengan pakej umrah ini, tetapi kami berusaha menjadikan ibadah umrah para peserta selesa dan diberkati Allah. Di samping itu sempat juga kami mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar melayu di Ajyad Suth. Dalam kesempatan yang sama, saya telah dipertemukan dengan sahabat lama saya Ust Razali Senik ( kebetulan nama ayah kami sama). Beliau mula-mula melanjutkan pengajian di Makkah pada tahun 1988, kemudiannya berkeluarga dan menetap di Makkah hingga kehari ini. Saya sempat mengadakan perbincangan dengan beliau mengenai program Umrah anjuran An-Nuur Travel & Tours. Alhamdulillah beliau sanggup menjadi wakil An-Nuur Travel di Makkah dan Madinah bagi urusan khidmat dan bimbingan jamaah umrah. Ini bermakna program selepas ini wakil syarikat An-Nuur Travel hanya menghantar jamaah hingga ke Jeddah sahaja. Urusan kebajikan peserta akan diuruskan oleh Ustaz Razali selanjutnya. Saya bersyukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan kami.

Beberapa hari berada di Pondok An-Nuur ( sebelum berangkat semula ke Jeddah untuk program umrah siri April pada 11 April nanti) saya sempat mengisi program kuliah di Kota Damansara,urusan An-Nuur Textiles di Taiping, Kuliah di Masjid Balok, Kuliah Dhuha di Alfatah, Kuliah bulanan di Kemaman dan program Motivasi DUN di Bukit Kuang Kemaman disamping dua siri kursus Umrah di Kuantan dan Sungai Buluh. Manakala pelancaran kopi produk An-Nuur, "NuurCafe" akan dilancarkan peringkat daerah kuantan pada hari esok ( jumaat) di Masjid Al-Fatah. Pelancaran berikutnya ialah di Kota Damansara dan Masjid Lapangan Terbang Subang. An-Nuur Mart & Halal Foods dipertanggungjawabkan untuk menyusun perancangan pemasarannya dengan selogan "Secangkir Kopi selaut Kebajikan".


Saya bersyukur kepada Allah..tanpa modal yang besar dan tanpa pengalaman berniaga An-Nuur Tijaary mampu mengorak langkah selangkah demi selangkah membangunkan perniagaannya. Modal An-Nuur Tijaary yang utama ialah "niat" dan "doa" kepada Allah. Niat nya ialah membangunkan usaha yang halal bagi menampung aktiviti pendidikan Agama Allah. Doanya ialah memohon kebersamaan Allah dalam usaha ini, dan biarlah Allah jadikan kurniaan "dunia" ini hanya berada di tangan dan jangan beraja di hati.

Insyallah musafir saya ke Makkah pada Ahad nanti hanya mengambil masa tujuh hari sahaja, kerana selanjutnya saya akan terus ke Yaman, menziarahi bumi Yaman dan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di sana. Ziarah ini juga sebagai penerokaan sebelum program "jelajah bumi Ambia'" yang akan dianjurkan oleh An-Nuur Travel & Tours pada Mei nanti.
Walaupun baru pulang dari Makkah beberapa hari yang lalu, namun perasaan rindu kepada kedua tanah haram itu kembali berputik ditangkai hati, sehingga tidak sabar rasanya untuk kembali menyapa Baitullah beberapa hari lagi. Tidur dan bermalam di lembah Bakkah dihadapan BaituLlah tetap menjadi kemanisan yang tidak terungkapkan.
______________________________________________

keterangan gambar:
Gambar 1. Kopi NuurCafe yang dipasarkan oleh An-Nuur Mart & Halal Foods
Gambar 2 ( kiri): Anak saya ( Umar Abdul Aziz) bersama Ayahanda Idris Omar di Masjid Quba'.
Gambar 3 (kiri ): YDP Pas Kemaman ( Ismail Harun-Abg Wei ) bersama wakil An-Nuur Travel Utara, Ust Fauzi Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah, di Airport Karachi.
Gambar 4 ( Kanan): Saya bersama sahabat dari Taman Melati Gombak, di dewan lobby hotel " Asyraqul Ausath".
Gambar 5 ( Kanan): Wajah Ceria wakil An-Nuur Travel ( Subang),Ust Abdul Razak, Bilal Masjid Lapangan Terbang Subang.