29 January 2009

Manisnya mengendalikan sekolah agama persendirian (siri 2)

DITENGAH-TENGAH KEPAYAHAN ITU PASTINYA ADA TALI PERTOLONGAN DARI ALLAH, DAN DITENGAH-TENGAH KEMANISAN ITU PULA PASTINYA ADA KENANGAN PAHIT,SEBAGAI UJIAN DARI YANG ESA.

Sejak tarikh itu bermulalah satu jalur perjuangan yang tidak mungkin diundurkan lagi. Apapun kepayahan dan kesukaran terpaksa dirempuh dan dipikul. Keringat,senyuman dan Air mata pastinya berbaur melatari background perjuangan ini. Namun itulah inayah Allah. Ditengah-tengah kepayahan itu Allah hulurkan bantuan dan pertolongannya melalui tangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas terhadap agama-Nya.

Sahabat-sahabat dari persatuan kebajikan kakitangan Islam bank-bank Kuala Lumpur (PERKIB) telah bermurah hati menghulurkan bantuan. Pelancaran derma pembinaan Pondok An-Nuur disusun disetiap bank-bank, pejabat-pejabat kerajaan,surau-surau dan masjid-masjid diseluruh Kuala Lumpur dan Selangor. Itulah kemanisan perjuangan. Dengan ukhuwah dan kejujuran segala kepayahan dan bebanan dirasakan ringan. Sehingga kini,setiap kali saya menatap persekitaran An-Nuur, akan menjelmalah wajah-wajah sahabat-sahabat dan individu-individu yang telah menyumbangkan pengorbanan dan pertolongan mereka kepada An-Nuur. Wajah tenaga-tenaga pengajar yang pernah dan sedang menaburkan bakti mereka kepada An-Nuur. Wajah-wajah tua tuan empunya tanah yang mewakafkan tanah mereka kepada An-Nuur. Tentunya kepada mereka semua, tiada yang diharapkan oleh mereka selain keredhaan Allah dan cintakan agama ini. Mengenang itu semua, terasa betapa kerdilnya sumbangan saya berbanding pengorbanan mereka semua.
Kerana itu, sehingga kini saya cukup berterima kasih kepada mereka semua. Hari ini An-Nuur sudah kelihatan cantik dan kemas berbanding dahulu. Namun itu semua tidak pernah menjadikan saya lupa kepada sumbangan sahabat-sahabat yang terdahulu. Di kampung ini dahulu ada Pak Andak Li,Paksu Daud,Pakde Awang,Pak Itam Berahim,Tok Empat Idris ,Pak Za,Abang Usop,Abang Umar dan Abang Pa. Pantang mereka mendengar Pondok mengadakan gotong royong,nescaya akan muncullah mereka seawal mungkin. Pak Andak Li dengan Chain-saw nya akan memotong batang-batang kelapa yang ditebang. Pak Uda awang dengan kudrat lemahnya yang diratah usia pasti datang menarik pelepah-pelepah kelapa untuk dibakar. Pak Itam berahim akan membawa cangkul menarah mana-mana rumput yang dilihat tumbuh liar dihalaman masjid An-Nuur. Pak Su Daud sambil terketar-ketar menyapu masjid sambil wajahnya sentiasa tersenyum. Abang Pa akan sibuk dibawah teduhan pohon kelapa menyediakan sedikit jamuan untuk semua. Manakala tok empat idris dan mereka yang lain sibuk mengali telaga dan membantu tukang-tukang membancuh simen. Kini sebahagian besar dari mereka telah tiada. Mereka telah pergi meninggalkan dunia ini, tetapi sempat memahat jasa ditugu kenangan An-Nuur.

Sekilas itu juga saya terkenangan jasa Ayah Man (belukar),Allahyarham Pak Ali dan Ayah Haji Yusof (Batu 3). Sejauh mana pun saya melangkah, jasa mereka tetap saya kenang. Ayah Man dan Ayah Haji Yusof dengan tekun akan memandu jauh menemani saya memungut derma. Mereka tidak pernah mengeluh. Bahkan hubungan "Ayah dan Anak" antara saya dan mereka bertinga sentiasa saya hargai. Mereka bukan sahaja memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha-usaha membangunkan An-Nuur,bahkan ketulusan mereka berkhidmat kepada agama ini sungguh saya kagumi. Waktu dinihari yang sejuk, kami masih bergerak dijalan raya. Pak Ali dengan ukuran kencing manisnya yang agak tinggi akan meminta Ayah Man atau Ayah Haji Yusof berhenti berkali-kali dimana-mana masjid atau stesen minyak untuk buang air. Namun kami semua tidak pernah jemu mengajak Pak Ali kemana-mana. Bahkan jika sesekali Pak Ali uzur sangat dan tidak dapat menyertai kami, satu kesunyian dan kehilangan dirasakan. Pak Ali pandai berceloteh, namun celotehnya celoteh agama. Kini Pak Ali telah tiada. Ayah Man dan Ayah Haji Yusof pun telah uzur. Namun mereka semua telah melakar sebuah lakaran yang berharga dalam sejarah An-Nuur.
Setiap kali saya menjenggah Masjid Lapangan Terbang Subang, hati saya akan menjadi pilu. Segera saya terkenangkan Allahyarham Ustaz Dahlan. Saya mengenali beliau pada tahun 1988. Ketika itu saya datang menyambut kepulangan ibu saya dari tanah suci. Sementara flight sampai kami sekeluarga berhimpun dimasjid lama lapangan terbang subang. Disebelah masjid beratap zink itu terdapat sebuah rumah kayu yang sederhana besarnya. Itulah rumah Ustaz Dahlan. Tidak sangka, perkenalan saya dan ustaz Dahlan pada hari itu telah menjalinkan hubungan "ayah dan anak" antara kami. Ustaz Dahlan yang mengistiharkan pelancaran derma untuk saya melanjutkan pelajaran ke Makkah. Beliau menyusun program kuliah dan khutbah bulanan saya di Masjid Subang. Sehingga hunbungan saya dengan sebahagian kakitangan MAS yang menjadi ahli jamaah tetap Masjid Subang,sangat mesra dan erat. Subang sebahagian dari kampung saya. Apabila beliau tahu saya akan membangunkan sebuah Pusat Pendidikan, maka beliau telah memberikan laluan kepada saya untuk menyampaikan khutbah setiap jumaat akhir bulan, dan semua kutipan derma hari itu akan diserahkan kepada tabung pembangunan An-Nuur. Program itu berlangsung berterusan, sehinggalah saya ditahan dibawah akta ISA. Ketika saya dalam tahanan, Allah memanggil Ustaz Dahlan kembali kepangkuan-Nya, dengan meninggalkan bakti yang besar kepada Masyarakat sekitar Masjid Lapangan Terbang Subang dan Pondok An-Nuur. Kini anak-anak beliau pula mengantikan tempat beliau, menyumbang bakti kepada Masjid dan An-Nuur. Anak-anak beliau terus menyambung hubungan "adik beradik" dengan saya hingga kini. Hubungan saya dan ayah mereka telah meninggalkan jejak yang disambung terus oleh Ustaz Fikri dan adik beradik beliau.
Ketika membicarakan kejayaan An-Nuur, saya pasti akan menyebut nama-nama sahabat dari PERKIB. Antara mereka ialah Tn Haji Halim, Ibrahim, Shafie Osman, Izzat,Fuad, Halim Dutch Bank,Kamal, Awang Bakar, Ustaz Salahudin Nasir, Anuar dan ramai lagi sahabat yang saya lupa nama mereka, namun wajah mereka tetap menghiasi album ingatan saya. Jasa dan sumbangan mereka cukup besar kepada An-Nuur. Mereka tidak pernah jemu dan penat membantu saya menyusun program samaada kuliah,forum atau ceramah. Tujuannya ialah mengisi tabung pembangunan An-Nuur. PERKIB juga pernah mengadakan jamuan sambil menderma dengan menumbangkan dua ekor lembu di Masjid Subang untuk mengisi tabungan tersebut. Atas bantuan PERKIB, An-Nuur pernah mengadakan pameran "pembangunan An-Nuur" di Masjid Jamik Bandaraya, satu program yang mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Malam itu saya dijemput menjadi Ahli Panel Forum bersama Ust Mujahid Yusuf Rawa. Itu semua adalah kenangan yang tidak pernah pudar saat saya menatap wajah An-Nuur.Raut wajah mereka yang telah cukup berjasa kepada An-Nuur sentiasa menjadi bait-bait doa, saat saya menadah tangan kepada-Nya. Kini sebahagian mereka masih dapat dihubungi, dan sebahagian yang lain tidak dapat dihubungi. Kerana itu apabila satu soalan diajukan kepada saya, mengapa saya masih terus keluar dan mengisi banyak program di Kuala Lumpur, sedangkan Pondok An-Nuur semakin membesar dan memerlukan tenaga saya sepenuhnya di sini. Kepada mereka saya katakan; saya mempunyai banyak kenangan indah dengan sahabat-sahabat di Kuala Lumpur. Saya tidak mahu pertalian dan kenangan itu putus dan terkubur. Selagi usia masih ada, saya tidak rela terputus hubungan dengan siapa pun sahabat yang pernah saya kenali,sekalipun mungkin antara saya dan mereka telah agak terpisah,dibatasi jarak,masa,peristiwa dan fitnah, namun saya tetap sayangkan mereka semua. Sebagai pernyataan sayang dan terimakasih saya kepada mereka, maka saya akan terus mengunjungi mereka,sekalipun mungkin saat-saat tertentu keadaan telah merubah keadaan dan pertalian tersebut. Namun saya tetap disini, meraikan sebuah persahabatan yang pernah terjalin. Menghargai jasa yang pernah tersiram dibumi An-Nuur.

Apabila sesekali saya membuka fail-fail lama dipejabat pentadbiran An-Nuur,segera jendela ingatan saya akan terkenangkan guru-guru dan kakitangan An-Nuur yang telah banyak berjasa kepada An-Nuur. Sdr Johari Wahid, adalah setiausaha pertama An-Nuur. Beliau adalah orang pertama yang menemani saya dalam pentadbiran An-Nuur. Dengan bantuan beliau lah pejabat pentadbiran An-Nuur beroperasi buat pertama kalinya. Kemudian hadir pula guru-guru dan tenaga pengajar pertama An-Nuur. Antara mereka ialah Ustaz Khalid,Ust Awang, Ust Nasir, Ust Md Redho,Ustazah Nurul, dan ramai lagi. Dengan gaji permulaan yang tidak seberapa, kami hidup bersama. Menghirup pahit getir yang silih berganti dengan keriangan dan kepuasan berkhidmat kepada Islam. Keringat bakti mereka semua cukup bermakna kepada sejarah An-Nuur. Semua itu tersusun rapi diatas rak kenangan An-Nuur. Saya dan guru-guru yang masih berkhidmat di An-Nuur akan terus mengilap semua kenangan itu, sebagai tanda terima kasih kami kepada mereka semua. Biarpun sesekali api fitnah sempat menyambar, namun tidak pernah saya biarkan api itu membakar jambatan persahabatan saya dan sahabat-sahabat semua.

Hidup hanya sebentar. Maka apakah dalam kesempatan hidup dan perjalanan yang ringkas ini kita mahu memenatkan diri dengan suatu yang lain selain daripada Islam dan Perjuangan?. Sama-sama kita bertanya kepada rasa yang berada jauh dilubuk dalam jiwa masing-masing. Alangkah manis mengendalikan pusat pendidikan persendirian. Kita dapat merasai manisnya perjuangan,kepayahan, persaudaraan dan manisnya kenangan.

YA ALLAH RAHMATILAH MEREKA SEMUA.

22 January 2009

Manisnya mengendalikan Sekolah Agama persendirian (siri 1).


14 Tahun lampau kawasan dipenuhi dengan pokok kelapa. Di penjuru tanah ini, berhampiran dengan sebuah kolam kecil terdapat kandang kerbau. Kelihatan tanah yang bercampur dengan najis kerbau mengalir bersama air hujan mengalir ke Kolam tersebut yang dipenuhi dengan pokok mengkuang yang agak subur. Kedudukan tanah ini agak jauh tersisih dari jalan besar, menghala ke sebuah tanjung. Dikanannya sungai Penor dan dikirinya pantai Laut Cina Selatan. Suasananya agak sunyi, walaupun sesekali digegarkan dengan bunyi pesawat terbang yang TUDM yang membuat latihan dilapang sasar yang terletak diseberang sungai.

Disatu petang pada tahun 1990, buat pertama kali saya datang ke Kampung ini. Ketika itu saya masih menuntut di Makkah. Ustaz Hamid ( Allahyarham) yang mengajar di Sekolah Agama Maran telah menjemput saya di Temerloh. Beliau meminta saya menyampaikan ceramah Isra' dan Mikraj dikampung mertuanya,di Kuala Penor Kuantan. Nama kampung tersebut sedikit asing kepada saya. Dalam perjalanan ke Kuantan saya bertanya kepada beliau asal nama Penor. Sambil tersenyum beliau menjawab, "ana tak berapa kenal sangat Penor ni ustaz. Yang ana kenal hanya "orang penor" je..". Saya turut tersenyum, kerana perkataan "orang Penor" itu tentunya dirujuk kepada isteri beliau yang baru dikahwininya. Saya berkira sorang-sorang mengenai nama "penor". Akhirnya saya katakan kepada ustaz Hamid; "mungkin diambil dari perkataan "Pannur" kot ustaz..Pan bermakna Ilmu dan Nuur bermakna cahaya" . Ustaz Hamid hanya sengih sahaja. Perbualan kami mati seketika. Saya mengambil peluang menghayati keindahan hamparan pantai dan deburan ombak disepanjang perjalanan itu.

"Sampai dah kita ustaz di Kampung Penor", tiba-tiba ustaz Hamid bersuara,sekaligus mematikan lamunan saya. Ketika kereta kami membelok kearah sebuah jambatan kecil,satu pemandangan waktu petang yang indah terbentang dihadapan kami. Kawasan sawah yang luas yang bersambung terus dengan pantai yang hanya dibatasi batasan tanah tinggi berpasir. Kerbau-kerbau yang sedang leka meragut rumput mendonggakkan kepala memandang kearah kami. Nun disana pepehon nyiur melambai dupuput angin petang. beberapa orang kanak-kanak sedang bersorak riang dipantai dengan ditemani ibu bapa mereka. "Cantik tempat ini ustaz"..kata saya,sambil mengkagumi pemandangan yang terlukis indah dikanvas alam cimptaan Allah. "Ya,memang cantik"..balas Ustaz. Kemudian kami melewati kebun kelapa yang bertanah lapang. Rumput hijau diteduhi rimbunan kelapa yang dilatari pemandangan laut china selatan menarik perhatian saya. "Kalau lah dibangunkan pusat pengajian disini,alangkah tenang ye Ustaz", tambah saya lagi sebagai menghargai keindahan alam cimptaan Allah. "sungguh ustaz"..balas ustaz hamid.

Sesungguhnya tidak kami sangka,perbualan ringkas pada petang tersebut, akhirnya menjadi kenyataan 4 tahun kemudiannya. Namun dengan takdir Allah juga,Ustaz Hamid tidak sempat melihat perbualan sepontan kami petang itu dimakbulkan Allah. Alhamdulillah dan Mahasuci Allah,Dialah Tuhan Yang Mendengar segala rintihan hambaNya.

Dengan perasaan yang sangat berat,ditambah pula dengan kelemahan diri dan ilmu, akhirnya saya menerima pandangan sahabat-sahabat yang mahukan ujudnya sebuah pusat pendidikan Islam yang berkonsepkan Pendidikan Pondok tradisional dan garapan kurikulum moden. Kepada Allah saya memohon kekuatan. sebelum itu saya mengadap Tuan Guru Haji Hasyim, guru saya, mohon pandangan, nasihat dan redhanya. Al-hamdulillah..walaupun Tok Guru tau sebanyak mana sangatlah ilmu saya untuk membuka pondok, namun beliau tetap memberikan dorongan dan semangat. Saya masih ingat diantara kata-kata beliau ialah; "Mokhtar..ingat, bila mengendalikan Pondok, tawakkal kepada Allah adalah perkara no 1, sabar menghadapi kesulitan, dampingi Allah, kerana banyak ujian dan fitnah. Jangan sibukkan diri dengan suatu yang lain selain dengan mengajar dan mentalaah. Jangan mudah marah dengan anak-anak murid. Jangan jemu dengan kerenah ibu-bapa. Jangan sombong dengan orang jahil dan jangan menonjolkan diri dikalangan orang alim. Amal selalu wirid ini (sambil beliau bacakan kepada saya wirid yang selalu tokguru baca lepas subuh),Insyallah, Allah akan murahkan rezki..."
Itulah pesanan tokguru. Masih terpahat kukuh hingga kini,bahkan saya tuliskan didalam sebuah buku. Tulisan itu akan saya baca bila saya teringatkan tokguru.

Akhirnya dengan sokongan sahabat-sahabat dalam jamaah, pelancaran derma pembinaan Pondok An-Nuur di lancarkan di Masjid Alfatah pada jumaat malam sabtu awal bulan June 1994.

bersambung

17 January 2009

Guru ku telah uzur,namun jasamu semakin subur dalam hati ku.



TANPA MU GURU,SIAPALAH AKU. ILMU YANG GURU CURAHKAN DALAM TAKUNGAN HIDUP KU,BAGAI AIR JERNIH YANG HENING,PENGHILANG DAHAGAKU DUNIA DAN AKHIRAT.

-------------------------------------------------------------- ------

Semalam 16.Januari.2009 (Jumaat) ketika sampai ke Kelantan, sahabat saya Ustaz Zulkifli, Imam Masjid Pondok Pasir Tumboh telah meminta saya menyampaikan Khutbah jumaat mengantikan beliau. Walaupun agak sibuk dengan urusan membeli kitab-kitab untuk pelajar-pelajar saya, namun permintaan menyampaikan khutbah di Masjid Pondok sukar untuk saya tolak,walau dengan apa alasan pun. Kerana Pondok Pasir Tumboh adalah madrasah pertama saya mengenai diinullah, kampung tempat saya menghabiskan sebahagian usia remaja, dan disamping itu saya mempunyai pertalian yang tidak akan putus sampai keakhirat, iaitu pertalian saya sebagai murid dan tok-tokguru saya sebagai guru. Kesempatan untuk menziarahi mereka tidak akan saya lepaskan, sekalipun saya tidak diminta menyampaikan khutbah disitu. Mereka adalah guru dan ayah saya. Saya wajib menghormati mereka selamanya.

Sebelum bertolak ke Pondok Pasir Tumboh,terlebih dahulu saya menziarahi Tuan Guru Ishak, mudir Pondok Gelang Mas, Pasir Mas ( Isteri beliau dua pupu saya). 20 tahun yang lalu saya kerap berulang alik kesurau beliau ditapak pondok Gelang Mas sekarang. Ketika itu kawasan pondok tersebut masih kebun getah. Di tengah kebun getah itu dibangunkan sebuah surau kayu, tempat orang kampung berjamaah. Biasanya saya akan kesurau itu petang khamis ( cuti mingguan pondok Pasir Tumboh ialah mulai petang khamis hingga petang jumaat) selepas mengikuti pengajian dengan Baba Aziz di Kampung Bunut Payung,bersama dua orang sepupu saya ( kini kedua-dua mereka adalah menantu kepada Tuan Guru Haji Musthafa,pengasas Pondok Pasir Tumboh).

Selepas Maghrib Tuan Guru Ishak akan membaca kitab Furu' Masaail untuk jamaah kampung. Kami akan duduk ditepi dinding sahaja kerana memberi peluang kepada orang kampung menadah kitab. Selesai solah Isyak dan selepas naik kerumah seketika, beliau akan turun semula membaca kitab untuk kami bertiga. Mula-mula beliau akan baca kitab 'ianatut Tholibin dan kemudian akan baca kitab Nahu, Qatrunada. Kadang-kadang kelas ini akan berlanjutan sampai jam 1 pagi. Bila sudah terlalu mengantuk beliau akan bersandar seketika pada tiang sambil berkata; " kita tidur sebentar, lepas ni kita sambung balik...". Lebih kurang 15 hingga 20 minit beliau akan tersedar kembali dan menyambung semula pengajian. Begitulah keadaan kami sehingga tamat kedua-dua kitab tersebut. Walau jam berapa kami selesai mengaji, kami akan balik ke Lambor ( kampung asal kami ) kerana selepas subuh hari jumaat kami akan menadah kitab pula dengan Tuan Guru Haji Rani ( Sepupu ibu saya ). Beliau akan baca kitab Tauhid "Hudhudi 'ala Tahrir" dan Fathul Mu'in". Biasanya selepas kelas tersebut saya akan pulang ke Pasir Tumboh berasingan dari kedua orang sepupu saya tadi. Ini adalah kerana kedua mereka akan pulang semula ke Pondok petang nanti, kerana terpaksa membantu keluarga di sawah. Manakala saya pula dalam perjalanan pulang akan singgah di Kota Bharu untuk mengikuti kuliah tafsir yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Hampir waktu solah jumaat semalam saya pun meminta diri dari Tuan Guru Ishak. Dalam keadaan yang semakin dimamah usia, beliau menghantar kami kehalaman masjid pondok beliau. Saya tinggalkan beliau dengan doa agar Allah memberkati hidup dan matinya. Kemudian saya bersama teman yang bersama saya terus bertolak ke Pondok Pasir Tumboh. Selesai menyampaikan Khutbah dan solah jumaat saya sempat bertemu dengan Tuan Guru Haji Hasyim ( beliau adalah adik ipar kepada Tuan Guru Haji Musthafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz ). Beliau sudah uzur benar. Bersama dua tongkatnya sambil dipapah oleh cucu menantunya Ustaz Naim ( rakan sepengajian saya ). Saya salami dan cium tangan Tok guru. Hati saya merasa sebak dan berbisik," sudah sejauh ini perjalanan hidup mu wahai guru. Berbahagia lah guru disana nanti atas taburan bakti kepada agama Allah swt". Wajah jernihnya saya tatap, sambil mohon restu dan doa keberkatan untuk saya. Bersama saya ketika itu Ustaz Taib Azamuddin ( bekas imam Masjid Negara ) juga bekas murid Pasir Tumboh. Sambil berbual saya urut tangan tok guru, saya curahkan tanda kasih saya kepada guru yang sangat berjasa kepada saya. Jasa yang tidak mungkin dapat saya balas sampai bila-bila.

Masih saya ingat saat tokguru masih sihat. Awal pagi beliau telah mengimamkan solah subuh. Selesai solah subuh beliau akan memimpin kami dalam wirid yang panjang, sehingga naik matahari. Sesudah itu beliau akan balik untuk sarapan. Kemudiannya jam 8 pagi beliau akan bersandar ditiang "surau tengah". Kami akan bersila dengan hormat disekeliling tokguru. Begitulah kami bersama tokguru bertahun lamanya, sehingga menghabisi kitab "Siraajut Tholobin" (Syarah Minhajul 'Abidin). Tengah hari tokguru mengajar lagi. Lepas Asar tokguru akan baca kitab Nahu "Jawahirul Maknun". Kemudian kami akan menandah lagi dengan tok guru kitab tafsir "Al-Jalalaini" selepas Maghrib. Begitulah ketekunan tokguru membimbing kami. Kini tokguru telah uzur. Namun sinar mata dan kejernihan wajahnya tetap segar menyinari hidup saya. Sebelum meminta diri, sekali lagi saya cium tangan tokguru. "Tokguru..restuilah ana, doakan ana tokguru"..ujar saya sebelum bangun meninggalkan beliau yang kemudiannya meneruskan wiridnya sehingga solah Asar.

Ketika berjalan keluar dari Masjid saya bertembung pula dengan Abang Lah ( gelaran kepada seorang lagi tuang guru saya). Sambil berdiri dalam keadaan menggigil kerana keuzurannya saya cium tangan abang Lah. Tubuh lemahnya saya peluk, tanda betapa sayangnya saya kepada beliau. Dengan senyum abang Lah menyapa saya; "mari bila?". Semalam jawab saya, sambil tangannya terus saya genggam. Saya tatap wajahnya. Sejuta kedut didahinya menceritakan betapa sudah jenuh langkah hidupnya. Terkenang saya 15-20 tahun yang lalu. Selesai wirid subuh kami akan berkerumun disekeliling Abang Lah. Kami akan catat didada kitab "Iqna" setiap kalimah penting yang keluar dari bibirnya. Selesai membaca kitab Iqna', Abang Lah akan sambung pula dengan Kitab Nahu "Ibnu Aqil". Bersama Abang Lah, saya pernah belajar seorang sama seorang ( bermakna saya dan beliau sahaja) tetapi kemudiannya kelas kami berdua diikut serta oleh Ustaz Ramli ( kini mudir Pondok Al-Islahiyyah Pasir Putih). Saya minta Abang Lah bacakan untuk saya kitab Qawaied Fiqhiyyah "Asyhbah wan Nazaaeir" dan kitab "Mahalli". Abang Lah cukup tekun dengan tugasnya. Pada tahun pertama Ihtifal Pondok saya, Abang Lah datang bersama rombongan dari Pasir Tumboh, memberikan sokongan moral kepada saya.

Kini Abang Lah telah uzur. Kata-katanya sudah tidak jelas. Namun dari raut senyum wajahnya, saya tahu, abang Lah gembira melalui hari-hari tuanya. Masakan tidak..sebahagian besar bekas pelajar Pasir Tumboh yang bertaburan dibumi Malaysia ini adalah anak muridnya. Sebelum beredar, sekali lagi saya peluk Abang Lah dan saya cium tangannya. Terima kasih guru ku. Guru-guru ku telah uzur, namun ilmu yang ku kutip dari mereka tetap subur selamanya..Ya Allah, rahmatilah guru ku.

16 January 2009

Tentera Allah menggempur musuh


Batalion Izzeddin El-Qassam


Rabu ,14/01/2009 - Batalion Izzeddin El-Qassam(sayap tentera kanan Hamas) mendedahkan mujahidin telah berjaya menghalang kemaraan musuh yang ketika itu sedang menuju timur bukit Kasyif yang terletak di selatan semenanjung Gaza dan mereka telah memusnahkan beberapa mekanisma musuh.


Ketika ditemui oleh Pusat Maklumat Palestin mereka berkata: ” Allah Ta’ala dengan segala kelebihannya dan taufiqnya terhadap mujahidin, pada tepat pukul 7 malam hari Selasa(13/1/2008) Skuad Al-Qassam telah berjaya menghalang kemaraan musuh di lembah bukit Kasyif di selatan Gaza, selepas merosakkan sepuluh mekanisma ketenteraan musuh yang sedang menuju Gaza. Para mujahidin telah menyerang dan memanjangkan serangan sehingga berjaya memusnahkan kenderaan mereka”.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/penterjemah : Ibn Nashr


700 roket pejuang Palestin hujani Israel .


Isnin ,12/01/2009 - Selama 16 hari serangan ganas Israel ke Semenanjung Gaza, wilayah padat penduduk, serangan darat, udara dan laut belum menampakkan Zionis Israel akan menghentikan serangan roket terhadap Gaza dan pejuang Islam Hamas yang bertindak balas menyerang.
Bahkan untuk melampiaskan nafsu membunuhnya, Israel menggunakan senjata yang dilarang oleh kesepakatan antarabangsa terhadap rakyat awam. Namun serangan roket pejuang Palestin ke Israel semakin hari semakin menunjukkan kehebatannya. Mereka sudah menggunakan roket baru yang belum digunakan sebelum ini. Jangkauan roket tersebut mampu menembus wilayah strategik yang selama ini tidak dijangka oleh Israel . Seperti pangkalan militan udara dan darat Israel .
Ini bererti, perluasan serangan roket pejuang Palestin ini akan menjadikan 1 juta warga Israel hidup dalam “neraka” bahana roket pejuang Palestin. Wilayah itu adalah Ovekum di bahagian selatan, Asdod ke utara, dimana wilayah tersebut menjadi pelindung pelabuhan strategi di laut Palestin jajahan Israel tahun 1948. Sementara Asqala dan Sidreut sudah lama dihujani roket pejuang Palestin.


sumber : COMESpenterjemah : osman

15 January 2009

Pilihanraya dan seorang prempuan

BAGAIMANA DIA TAHU SAYA DATANG DARI PAHANG,SEDANGKAN SAYA TIDAK PERNAH MENGENALINYA SEBELUM INI.
---------------------------------------------------------------

Pilihanraya kecil Kuala Trengganu meninggalkan calar sedih dihati saya. Ini adalah kerana saya tidak berkesempatan turun padang sebagaimana sahabat-sahabat lain dari Pahang. Ada antara mereka tidak balik-balik sejak penamaan calun. Mereka berkampung di Markas Pahang di jalan Pasir Panjang dalam DUN Ladang.

Ketika sahabat-sahabat dari seluruh tanahair turun ke Trengganu dihari penamaan calun dahulu saya terpaksa balik ke kampung kerana menerima panggilan telefon dari abang yang memberitahu ibu saya sakit. Beliau telah dibawa kekelinik tetapi masih tidak dapat bangun. Hatta untuk kebilik air terpaksa diangkat. Mendengar berita itu saya segera bergegas balik ke kampung bersama isteri dan anak-anak. Betapa sedih saya rasakan kerana tidak dapat bersama menyertai tarikh bersejarah itu.

Apabila kempen dan kerja-kerja pilihanraya bermula saya pula disibukkan dengan persiapan "kemasukan pelajar sessi 2009" yang jatuh pada hari Ahad 11.Januari. Untuk itu saya terpaksa banyak menghabiskan masa membuat tempahan kelengkapan asrama, menyediakan bahan binaan untuk baikpulih tandas pelajar-pelajar lelaki dan menguruskan tukang-tukang untuk baik pulih atap Asrama perempuan. Walaupun begitu saya sentiasa mendapat maklumat semasa pilihanraya di Kuala Trengganu melalui dua orang kakitangan Pondok saya iaitu Ustaz Fadli (Mudir juga Ketua DPP Jerantut) dan Ustaz Saharuddin ( Pegawai khas zakat An-Nuur dan juga selaku Ketua DPP Kuantan). Niat saya ialah saya mahu segera menyiapkan kerja-kerja saya sehingga melepasi 11.Januari, dan kemudian saya akan turun keTrengganu, membantu apa yang termampu sehingga hari mengundi.

Alhamdulillah segala persiapan sempat dilakukan, walaupun last minit. 12 dan 13.Jan saya selesaikan pembayaran kredit dikedai-kedai perabut dan hardware. Selepas mesyuarat guru-guru pada 14.Januari , saya segera membuat persiapan untuk ke Kuala Trengganu dan akan terus ke Kota Bharu untuk membeli kitab pelajar-pelajar.

Jam 1 pagi saya sampai di Pasir Panjang. Saudara Che Zuhal membawa saya ke Markas Dewan Ulama. Markas tersebut sepatutnya menjadi tempat penginapan Dewan Ulama Pahang,Negeri Sembilan dan Selangor. Tetapi ketika saya sampai hanya petugas Dewan Ulama Pahang sahaja yang ada. Saya difahamkan petugas dewan ulama Negeri sembilan dan Selangor menginap di Markas Negeri masing-masing. Petugas yang menyusun program penerangan dan ceramah bertanya kepada saya sampai bila saya akan berada diTrengganu, kerana beliau akan susun program kuliah untuk saya. Saya katakan Insyallah saya akan bersama sehingga malam mengundi, dan saya tak kesah jika beliau nak arahkan saya berkuliah dimana-mana pun. Lalu beliau memberitahu saya bahawa pagi esok saya diminta menyampaikan kuliah subuh di Surau Jalan Tekukur dan Khutbah Jumaat di Kedai Buluh. Saya bersetuju dan sedikit kesempatan yang ada itu saya gunakan untuk berihat. Sebelum Che Zuhal beredar saya serahkan sedikit sumbangan,sebagai ganti atas keuzuran saya untuk hadir sebelum itu ( saya ceritakan mengenai sumbangan kecil ini adalah kerana ada kaitan dengan akhir coretan saya ini). Sebelum memejamkan mata sempat saya bayangkan betapa letih dan penat sahabat-sahabat yang telah beberapa hari berkempen untuk mempastikan Pas mencapai kemenangan. Saya doakan mereka semua diberi ganjaran yang berganda dari Allah swt.

Jam 3.15 pagi, tidur saya dikejutkan oleh deringan telefon. Pada mulanya saya menyangka hanya deringan alam, lalu saya padamkan kerana merasakan waktu masil awal. Tetapi kemudiannya telefon Tengku Azmil yang tidur disebelah saya pula yang berdering. Tengku Azmil menjawab panggilan itu dan kemudiannya diserahkan kepada saya. Saya mula berdebar. Kerana panggilan waktu sebegitu adalah panggilan penting atau panggilan kecemasan. Ustaz! asrama pelajar muslimat terbakar!..terdengar suara cemas ustaz zaki. Segera dada saya berdebar. Peristiwa kebakaran asrama lelaki pondok saya pada November 2006 segera terbayang.

Selepas menyampaikan kuliah subuh di Surau Jalan Tekukur, saya beritahu sahabat-sahabat di Markaz Pahang bahawa saya terpaksa segera keKelantan membeli kitab dan akan segera balik ke Kuantan. Kerana jika saya tidak sempat membeli kitab-kitab tersebut pada hari khamis, bermakna saya terpaksa membelinya pada hari sabtu, disebabkan Jumaat adalah hari cuti bagi Negeri Kelantan. Saya memaklumkan kepada sahabat-sahabat di Markaz Pahang bahawa saya terpaksa berlepas balik.Dengan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama mereka meneruskan perjuangan, dalam keadaan terpaksasaya meninggalkan Kuala Trengganu.

Jam 11 pagi saya sampai di Kota Bharu. Segera saya ke kedai Jaafar Rawas dan membuat pesanan kitab-kitab yang diperlukan. Sambil itu saya sempat bertemu beberapa orang kenalan, dan mereka bertanyakan mengenai perkembangan pilihanraya di Kuala Trengganu. Kepada mereka saya tidak dapat bercerita panjang, kerana tidak banyak yang saya tahu mengenainya. Sedang saya berbual dengan mereka di muka pintu kedai tersebut, datang seorang perempuan. Minta serial !..( seringgit) katanya sambil menghulurkan tangan dengan mata yang tepat merenung saya. Sambil bertukar-tukar alamat dan nombor telefon, saya hulurkan 5 ringgit kepada perempuan tersebut. Selepas menerima pemberian saya, perempuan tersebut dengan lancarnya berkata; " terima kasih deh, mudah-mudahan murah rezki,mati dalam iman dan buleh masuk syurga...mugo ( kerana) kita tak tahu bila kita akan mati dok? katanya kepada teman yang ada disekeliling saya. Saya tidak sempat mendengar banyak lagi kata-katanya kerana sibuk melayan teman-teman lama yang kebetulan terserempak disitu. Yang pastinya perempuan tersebut kemudiannya pergi kepada seorang kawan saya yang sedang tercegat ditepi rak buku. Saya lihat kawan saya itu menghulurkan beberapa helai wang kertas seringgit. Setelah menerimanya, seperti tadi perempuan tersebut berkata sesuatu, tetapi suaranya sudah tidak jelas kepada pendengaran saya.

Selesai sessi bertukar-tukar alamat dan nombot telefon, sahabat yang berdiri berhampiran rak buku tadi bersungguh mengajak saya minum. "Ana belanja" katanya...mulanya saya menolak tetapi melihat kepada kesungguhannya, lalu saya ,Abang Hamdan dan Tengku Azmil menurut sahaja. Sahabat itu adalah kenalan lama saya. Beliau anak jati Kota Bharu dan berniaga di atas Pasar Lama Kota Bharu. Kami makan dikedai MPKB. Ketika hampir selesai makan, saya bertanya kepada beliau, samaada beliau kenal perempuan yang minta sedekah tadi. Orang Kota Bharu kenal sokmo (selalu) dah perempuan tu.. kata sahabat saya. "tadi dia doa apa kat anta"? tanya saya ingin tahu. Dia mintak pitih (duit), ana beri dua ringgit..dia (perempuan tersebut) kata "dua ringgit jah" ..dia kata anta beri 5 ringgit, takkan ana beri 2 ringgit sahaja. Ana berseloroh dengan dia; "dia takpe,dia banyak duit!" lanjut sahabat saya bercerita. Perempuan tu kata; "banyak duit apa, di mari pahang nu lagi, banyak dah abis belanja, semalam ( malam tadi) dia doh buie (beri) keorang di teganu (trengganu) buat lawan Umno". Bila mendengar cerita sahabat saya itu, segera denyut nadi saya menjadi kencang. Dengan segera saya minta diri untuk ke kedai Jaafar Rawas kerana saya belum membuat bayaran harga kitab yang dipesan. Sampai didepan kedai tersebut, saya cuba tinjau-tinjau dimana perempuan peminta sedekah tadi. Puas saya menjengguk namun sosok tubuhnya sudah tiada. Mungkin telah pergi meminta sedekah dari orang lain. Namun fikiran saya tetap memikirkannya, siapakah dia. Kerana tiada siapa yang tahu sumbangan saya kepada petugas di Markaz Dewan Ulama malam tadi kecuali saya dan petugas itu....bagaimana perempuan itu tahu saya datang dari pahang, sedangkan saya tidak pernah bertemunya sebelum itu...

13 January 2009

Pendaftaran pelajar An-Nuur sessi 2009,berjalan lancar. (Alhamdulillah).

Alhamdulillah..Pendaftaran pelajar-pelajar An-Nuur sessi 2009 pada 11.Jan.2009 ,berjalan dengan lancar. Sebahagian Ibu-Bapa ada yang datang pada petang sabtu dan bermalam di An-Nuur, semata-mata untuk mempastikan anak mereka dapat di daftarkan seawal mungkin. Kaunter pendaftaran dibuka mulai jam 8.30 pagi sehingga jam 7.00 Petang.
Pada tahun ini, An-Nuur hanya membuka pendaftaran kemasukan pelajar hanya kepada 80 orang sahaja. Namun disebabkan permintaan dari Ibu-Bapa, maka kami terpaksa menerima 120 orang pelajar baru. 30 orang masih berada dalam senarai menunggu. melihat kepada sambutan tersebut, sebenarnya mencerminkan keinginan dan minat Ibu-Bapa dan masyarakat umum kepada Islam dan pendidikannya. Bersyukurlah kita kepada Allah yang membuka hati-hati hamba-Nya kepada Diin yang suci ini.


Ibu-Bapa sedang mendaftarkan anak-anak mereka di Kaunter aliran Pondok
Ibu-Bapa sedang menunggu giliran untuk masuk kebilik pendaftaran

Ibu-Bapa sedang mendaftarkan anak mereka di kaunter Tahfiz


Sebahagian Ibu-Bapa sedang menyusun pakaian anak-anak mereka di asrama lelaki


Pelajar-pelajar baru An-Nuur sedang berwirid


11 January 2009

Zionis Israeil balas dendam bagi pihak Bush



SEJARAH YANG SANGAT MEMALUKAN BUSH ITU TELAH MENJADI TITIK HITAM , MENUTUP TIRAI TAHUN 2008. SEBAGAI DENDAMNYA, BUSH MEMERINTAHKAN ZIONIS MENYINGKAP TIRAI 2009 DENGAN TUMPAHAN MERAH DARAH RAKYAT PALASTIN.
------------------------------------------------------------

Belum ada Presiden Amerika yang dimalukan sebagaimana Bush. Kehebatan pentadbiran Bush dengan dasar-dasar luarnya yang sangat memuaskan hati golongan Yahudi dan Zionis tiba-tiba hancur berderai dengan peristiwa balingan kasut yang sangat memalukan dan menghinakan. Seluruh dunia menyaksikan peristiwa yang gagal diramal oleh CIA itu. Peristiwa yang lebih mengaibkan berbanding rempuhan pesawat terbang komesial ke atas Pantagon ( jika rempuhan itu benar-benar berlaku).

Ummat Islam seluruh dunia yang cintakan Islam dan bencikan kezaliman Bush, mengadakan demonstrasi menyatakan kegembiraan atas insiden tersebut, sambil menjulang replika "kasut" sebagai lambang penghinaan terhadap keangkuhan Bush. Orang yang tentunya paling gembira dengan penghinaan itu ialah rakyat Palastin. Sudah berpuluh tahun mereka ditindas dan bumi mereka dijarah oleh regim Israeil atas permainan politik Amerika. Silih bergantinya Presiden Amerika tidak pernah merubah nasib rakyat Palastin. Belum ada mana-mana Presiden Amerika yang berjaya megurangkan cengkaman Israeil keatas Palastin. Sesungguhnya tiada apa yang dapat dibuat oleh Obama dalam Issu Palastin apabila beliau mengambil alih White House beberapa hari lagi.

Sebagai respon atas sokongan ummat Islam terhadap "penghinaan terhadap Bush" itu, maka satu gerakan terancang, membunuh ummat Islam di Gaza di lancarkan. Tujuannya ialah membalas keaiban Bush, dengan harapan dunia seluruhnya melupai insiden tersebut. Di samping itu mereka mahu dunia Islam seluruhnya sedar bahawa peristiwa balingan kasut kemuka bush, tidak pernah melumpuhkan kekuatan Amerika dalam usahanya memerangi "Penganas Islam" sebagaimana yang diwar-war kan sebelum ini. Tindakan ganas keatas rakyat Islam Palastin juga bertujuan mengheret Iran yang menjadi sekutu kuat Pejuang Palastin kemedan perang. Keberadaan Iran ditengah-tengah negara "Arab yang telah dikasi" itu tetap menjadi mimpi ngeri Israeil dan Amerika. Justeru itu mereka sangat bercita-cita menghapuskan Iran sebagaimana yang telah mereka lakukan keatas Iraq.

OIC dimana?..sesungguhnya yang mampu membela Islam ialah gerakan Islam sahaja. Walaupun mereka bukan sebuah kerajaan, namun kecintaan dan kesungguhan mereka memperjuangkan kedaulatan Islam, telah menjadi satu jaminan yang menyakinkan bahawa "masa depan Islam" berada ditangan mereka dengan izin Allah. Hanya gerakan Islam yang ikhlas bangun mempertahan Islam dari landaan kuffar. Inilah yang telah kita saksikan di Afghanistan dizaman serangan Soviet. Perkara yang sama berlaku di Iran,Iraq,Mesir, Lubnan, Palastin dan di Negara kita sendiri. Saksikan siapa yang benar-benar membela Islam? kerajaan sakular atau gerakan Islam?

07 January 2009

Sukarnya menghidupkan Sekolah Agama Persendirian.



KITA BUKAN KOMESIALKAN PENDIDIKAN. KITA BANGUNKAN INSTITUSI PENDIDIKAN INI ADALAH KERANA MAHU MENYAMBUNG TERUS PERJUANGAN TOK-TOK GURU YANG TERDAHULU DALAM DUNIA ILMU DAN PENDIDIKAN.
----------------------------------------------------------

Petang semalam ( 7 .Jan.2009 ),sambil mencari sedikit kerehatan selepas penat memandu dari Felda Rentam ke Kuantan, saya cuba-cuba tinjau e-mail saya yang dah banyak hari tak dibuka. Bukan saya malas nak buka e-mail, tapi kerana dua hari lepas , ketika sahabat-sahabat lain berada dimedan Kuala Trengganu saya pulak terpaksa berkejar balik ke kampung menziarahi mak yang agak teruk diserang Cingukunya ( maaf salah ejaan kot). Tulisan saya dalam blog ini berkenaan Sekolah Agama Sungai Gau, rupa-rupanya mendapat respon yang tidak sedikit dari sahabat-sahabat dimerata negeri. Ramai jugak antara mereka yang saya tahu mempunyai pengalaman mengendalikan pusat pendidikan persendirian. Tentunya pandangan,luahan dan cadangan mereka tidak boleh dipandang ringan. Kerana mereka bukan bercakap mengikut skrip tak tentu hala. Mereka bercakap dari pengalaman,perasaan dan suara sanubari yang tidak mungkin dimengerti sepenuhnya oleh mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam dunia pengendalian pusat pendidikan persendirian.


Justeru meraikan pandangan mereka, maka saya bentangkan disini perkongsian rasa, perasaan, pengalaman, pahit maung dan kemanisan dunia pendidikan Sekolah Agama Rakyat atau Pondok. Ada antara mereka yang meluahkan pengalaman berkaitan pentadbiran sekolah. Kerenah Ajk sekolah yang lebih lagak daripada kerja. Mesyuarat banyak kali sebulan, tapi kerja tak jalan. Dalam mesyuarat banyak cadangan, sampai berhelai-helai kertas minit dibentang oleh setiausaha. Namun bila di check semula, hanya beberapa cadangan sahaja yang dilaksanakan. Mesyuarat ala koprat, tetapi mutu pendidikan tetap sama.


Ada jugak yang berkongsi pengalaman mengenai Ajk Parti yang tak puas hati dengan sekolah kerana tak dinamakan Sekolah Parti dan tak ada satu lambang pun kat sekolah. Macamana nak berjuang, letak lambang pun tak berani, kata seorang Ajk Kawasan. Justeru itu sekolah tersebut tak dipedulikan oleh sebahagian pimpinan kawasan. Usahkan anak yang nak dihantar ke sekolah tersebut, mereka sendiri tak pernah jenguk. Tapi bila musiam pilihanraya, pelajar pondok itulah yang ramai turun buat kerja-kerja parti dan jadi tenaga penceramah berkelompok. Aktiviti Unit Amal disertai penuh minat oleh pelajar termasuk demonstrasi menuntuk keadilan. Namun kerana tiada bendera lambang kat sekolah, maka terpinggirlah sekolah.


Pengalaman seorang sahabat lain pula, berkenaan kerenah Ibu-Bapa yang liat bayar yuran. Orang yang bercakap mengenai Pendidikan setiap kali muktamar itu banyak katagori katanya. Ada yang berapi-api minta parti bangunkan Pusat Pendidikan. Bila Jamaah buka pusat pendidikan, mereka tak hantar pun anak mereka ke sekolah tersebut. Ada jugak yang hantar, tapi tak nak bayar yuran. Handphone tukar setiap bulan, tapi yuran anak tertungak berbulan-bulan. Bila sekolah tutup kerana tak larat nak tanggung kos operasi, bising pulak dia salahkan pentadbiran. Bila anak digantung sekolah, sibuk pulak dia salahkan pentadbiran. Pentad
bir tiada hati perut, tak boleh tolak ansur dan macam-macam lagi.

Sahabat yang satu lagi cerita pasal guru-guru sekolah agama rakyat. Maklumlah, sekolah agama rakyat bayar gaji tak tinggi. Jadi ada sesetengah guru mengajar kat sekolah hanya sementara tunggu ada peluang nak cabut lari. Nak cabut awal, belum terima mana-mana tawaran, bimbang juga takde gaji langsung. Tapi bila ada tawaran, terus je angkat kaki. Surat atau notis perletakan jawatan pun tak diserah kepada pentadbiran. Alaa sekolah swasta je. Kadang-kadang pentadbir pun tak tahu samaada guru tu masih mengajar kat situ atau dah mengajar kat tempat lain. Apa-apa makluman tak diberitahu. Sekolah agama hanya "batu loncatan" sahaja, bukan medan perjuangan. Kalau ada yang masih tunggu jugak mengajar kat sekolah agama, itu pun acuh tak acuh sahaja. Nak datang mengajar ke atau tak nak datang, tak kesah. Mesyuarat guru-guru hadir kalau tidak bertembung dengan program sendiri. Soalan periksa hanya buat last-last minit, dan kalau periksa kertas soalan pun buat sambil-sambil tengok Tv. Setengah guru tu pulak katanya, minat mengajar, tapi atas desakan Queen, terpaksalah pilih kerja yang ada KWSP atau EPF, walaupun bukan dalam bidang pendidikan. Bimbang jugak masa depan anak-anak akan gelap kalau ayah terus mengajar disekolah agama rakyat. Jamaah-jamaah jugak, tapi perut nak isi. Jihad-jihad jugak, tapi hidup kena fikir jugak.

Itulah coretan sahabat-sahabat didada email ana. Luahan itu ana kumpul, olah dan ana lontarkan kembali kepada pembaca semua, khususnya ikhwah dan akhawat dalam perjuangan dakwah ini. Jika tok-tok guru kita dizaman lampau mempunyai perangai dan pemikiran seperti di atas, percayalah...Ilmu Islam tidak akan sampai kepada kita seperti yang kita nikmati hari ini. Benar kata sahabat di atas, Dunia Ilmu bagi mereka bukan Medan Perjuangan tapi hanya tangga reput buat berpijak sementara untuk meraih keinginan yang tersembunyi dalam lipatan nafsu yang tiada siapa tahu sebelum itu. Kita kenal Allah itu Ar-Razzaq, tapi kita tidak yakin kepadanya. Kaafirin yang menyembah berhala 24 jam, lagikan diberi rezki oleh Allah, inikan pula orang yang berjuang diatas jalan Allah. Benarlah kata hukama'; ramai orang yang berilmu, tetapi rapuh aqidahnya. Ramai orang yang membicarakan Tauhid, tetapi lemah keyakinannya. Ramai orang yang membicarakan perjuangan tetapi masih merindui kerihatan dan kelazatan.

Sesungguhnya tiada kelazatan yang paling hakiki selain merasai kepayahan dalam perjuangan yang suci.Alangkah manisanya kepayahan itu, alangkah lazat kesakitan itu dan Alangkah harum segala penderitaan itu. Bila Allah berada dalam hati seseorang, maka tiada lagi ruang untuk makluk dan nafsu merajai hati. Para Ikhwah semua, biarlah dunia sekadar berada di tangan, jangan bertakhta dihati.

"Insyallah ana akan lanjutkan penulisan ini mengenai "sucinya pengorbanan guru-guru Pasti".



Antara dua kutub perjuangan

PAS TURUN KE MEDAN DENGAN MENAWARKAN ISLAM SEBAGAI ASAS KEPADA PENBENTUKAN INSAN,PEMBANGUNAN DAN KEBAJIKAN. MANAKALA UMNO MENGIBARKAN PANJI-PANJI KEBANGSAAN DAN JANJI-JANJI MODAL INSAN.
______________________________________________________________

Saya mula mendengar perkataan politik ketika berusia 10 tahun. Ketika itu saya belajar dalam darjah empat di Sek Keb Tanjung Pamun ( kini dikenali dengan nama Sek. Keb Kuala Triang). Tahun 1974, sekali lagi rakyat diberi hak menentukan pilihan kepimpinan Negara. BN boleh dikatakan mendominasi undi dan pengundi di Kampung saya ketika itu. Ketua Kampung yang juga sebagai Ketua UMNO cawangan tidak jemu-jemu mengingatkan anak buahnya agar memberikan sokongan kepada calon BN, samaada Calon Parlimen ( Tan Sri Hamzah Abu Samah ) atau Calon DUN ( Kalau tak silap saya ialah Cikgu Mansor). Manakala Calon DUN dari Pas diwakili oleh Ustaz Hamzah. Oleh kerana keseluruhan kaum keluarga saya di Kelantan adalah penyokong Pas, dan Pondok Lambor yang dipimpin oleh Datuk saudara saya adalah salah satu benteng Pas di Kelantan, maka kecenderungan keluarga saya di Kg Kuala Triang tetap kearah Pas. Kerana kecenderungan kami kepada Pas, maka Ketua kampung Kuala Triang merasa sedikit tidak senang kepada keluarga kami, walaupun menantu sulungnya adalah abang sulung saya.

Dalam usia 10 tahun itu buat pertama kali saya mendengar ceramah Pas yang disampaikan oleh Ustaz Hamzah dirumah bapa saudara saya. Pendengar yang hadir tak ramai, lebih kurang 10 atau 15 orang sahaja. Ustaz Hamzah telah menjelaskan maksud perjuangan Pas. Pas bukan hanya politik,Pas bawa Islam untuk semua rakyat. Kalau kita orang Islam mengapa kita tidak menyokong perjuangan Pas?. Itulah antara kalimah yang ditegaskan oleh Ustaz Hamzah sebelum mengakhiri ucapannya hari itu. Kalimah terakhir itu terpahat kukuh dalam tubuh kecil saya waktu itu dan masih segar hingga hari ini. Sejak hari itu saya mula melihat PAS dan UMNO sebagai dua titik yang terpisah dasar dan tujuan perjuangannya. Namun antara dua titik itu hanya dipisahkan oleh jarak yang sangat dekat.

Kemudiannya saya semakin membesar. Dunia pembacaan mula mewarnai pemikiran sejalur dengan pertumbuhan saya. Sepupu saya gemar melanggan majalah Mastika ( waktu itu majalah mastika sebuah majalah yang berkonsepkan maklumat politik). Majalah tersebut menarik minat saya. Pada awalnya saya hanya minat membaca cerpen yang disiarkan oleh mastika. Tapi lama kelamaan saya mula minat membaca isu-isu politik. Peritiwa Demonstrasi pelajar 1974, tunjuk perasaan di Baling, Isu harga padi di Alor Star, pergolakan politik Datuk Harun Idris, Krisis politik kelantan antara Datuk Asri dan Muhammad Nasir dan macam-macam lagi yang sempat saya ingat. Walaupun mungkin saya tidak dapat memahami semuanya, kerana hanya berdasarkan pembacaan dan analisis seorang pelajar sekolah rendah, namun saya mula melihat jarak antara dua titik tadi semakin merenggang dan melebar.

Ketika saya mula melangkah kaki ke Sekolah Menengah, dunia pembacaan semakin luas untuk saya layari. Cikgu Taha antara anggota ABIM yang aktif. Beliau banyak membekalkan kepada saya dan rakan-rakan yang sama minat, dengan buku-buku cetakan IFSSO dari Kuwait. Buku terjemahan kedalam bahasa Melayu itu mula menarik minat saya. Tambahan pula kini saya telah ada tempat rujukan iaitu cikgu Taha. Dari situ saya bukan hanya dapat mengenali perbezaan antara PAS dan UMNO dari sudut perbezaan politik semata-mata. Namun saya mula melihat perbezaannya yang semakin jelas dengan suluhan agama. Dunia gerakan Islam mula meresap secara beransur-ansur dalam pemikiran saya. Dari Cikgu Taha saya mula mengenali Bapak Nasir dengan Fiqh Dakwahnya, Syed Qutb dengan Ma'alim Fit Toriqnya, Hassan Al-Banna dengan Usul dua puluhnya dan saya mula meminati keikhlasan tokoh-tokoh seperti Abdul Qadir Audah, Badiuzzaman Syed Nursi, Sulaman Dan Fodio, Umar Mukhtar dan ramai lagi. Dalam usia 14 tahun, buat pertama kali saya mula menyertai usrah yang dipimpin oleh Cikgu Taha dirumah bujang beliau. Dalam usia menengah rendah, saya dapat lihat jarak antara PAS dan UMNO semakin menjauh.


Dalam usia menengah tinggi, saya mula melangkah kaki ke dunia pengajian Pondok. Kelantan waktu itu dan sehingga kini adalah Universiti terbuka untuk subject politik. Waktu saya sampai di Pondok Pasir Tumboh, dunia politik kelantan sedang membahang. Tambahan pula dunia baru sahaja dikejutkan dengan kemenangan Revolusi Iran. Kejayaan Islam menumbangkan Shah Iran ( Bonika Amerika) yang sekian lama bertakhta, menjadi inspirasi ummat Islam diseluruh dunia. Mereka bagaikan baru dikejutkan dari sebuah lamunan yang panjang. Ummat mula tersentak dan menyedari, rupa-rupanya perjuangan yang berteraskan aqidah dan ruh Islam mampu menumbangkan temboh tebal sakular dunia. Pondok Pasir Tumboh yang menjadi institusi pendidikan yang memberikan sokongan kukuh kepada perjuangan Islam, telah mengheret saya dan pelajar-pelajar lain memberikan dokongan kepada PAS. Tambahan pula awal 80an,iklim kepimpinan dalam Pas mula berubah. Kepimpinan Ulama yang di usulkan oleh Dewan Pemuda telah membawa Pas kepada satu gerbang baru. Pas mula bebas dari kepompong politik semata-mata. Pas mula kembali kepada landasan awal penumbuhannya iaitu "Pas sebagai Gerakan Islam". Kemunculan Tuan Guru Haji Abdul Hadi dengan pidato yang padat dengan hujjah aqidah, telah melonjak sokongan tok-tok guru pondok, alim ulama dan orang-orang kampung yang sedikit sebanyak belajar tentang Islam untuk berdiri teguh dibelakang Pas. Selama ini mereka bukan tidak menyokong Pas, tetapi oleh kerana gaya kepimpinan terdahulu yang tidak mencerminkan kepimpinan Islam yang sebenar, menjadikan mereka menangguhkan sokongan terbuka kepada PAS.

Dunia baru itu semakin membuka ruang pemikiran saya. Disamping mengikuti pengajian di Pondok kami semacam diberi galakan menghadiri ceramah-ceramah Pas. Contohnya, jika ada cermah pas yang berhampiran dengan pondok, ustaz atau tok guru akan beritahu, malam ni tiada kelas. Dengan itu kami akan hadir beramai-ramai ke tempat ceramah Pas. Setiap pagi jumaat pula saya akan hadir ke Dewan Zulkifli mengikuti kuliah tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kaset-kaset ceramah yang memenuhi dunia politik dikelantan telah membuka lebar maklumat islam dan politik kepada saya. Tambahan pula saya diamanahkan mengendalikan badan "Muhadorah" ( latihan ceramah dan pidato) pelajar waktu itu. Alhamdulillah program latihan tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sehingga ketibaan malam selasa ( malam muhadorah) ditunggu-tunggu oleh pelajar. Antara pelajar yang aktif mengambil bahagian dalam latihan itu ialah Ustaz Ramli Sidong ( bekas Ketua DPP Selangor), Ustaz Nasaruddin Hassan ( Tim. K. DPP Pusat),Ustaz Asmu'ei ( Selayang), Ustaz Halim Abdul Rahman (YB Lemal sekarang), Ustaz Bidin ( Orang Kuat Pas Kuala Berang), Ustaz Mohd Rejab ( Tok Guru pondok di Kedah dan Ajk Dewan Ulama Pas Kedah), Ustaz Mustafa Sa'ari (YDP Kampung Gajah Perak) dan ramai lagi. Disamping itu saya dan rakan-rakan mula terlibat dalam penyusunan Usrah Induk pelajar-pelajar sehingga group usrah telah mendominasi persatuan pelajar waktu itu.Alhamdulillah, dengan segala maklumat tentang Islam,politik dan dakwah, dapat saya lihat jarak Pas dan Umno semakin jauh sehingga mencecah sejarak kutub utara dan selatan. Dua kutub yang akan semakin melebar jika Umno tidak bersedia menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya.

Hari ini Pas dan Umno turun kegelanggang Pilihanraya kecil Kuala Trengganu dengan dua arah perjuangan yang semakin menjauh. Hanya Islam sahaja yang dapat mempertemukan Pas dan Umno. Pas telah pun menjadikan Islam sebagai dasar sejak ia mula dilahirkan kedunia Malaysia ini. Umno bila lagi?..

05 January 2009

Pendidikan bukan semata-mata dipandu oleh ilmu dan semangat


ILMU BAGAIKAN AIR JERNIH YANG MENGALIR DARI SUMBERNYA YANG HENING DAN DINGIN. JUSTERU ITU ALLAH TIDAK MELANTIK SEBARANGAN MALAIKAT UNTUK MENYAMPAIKAN WAHYU KEPADA RASUL-NYA SAW.
------------------------------------------------------

Petang tadi ( 5.Jan.2009 ) dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kuantan, saya mengambil kesempatan melayari blog sahabat-sahabat, Al-hamdulillah saya mendapat banyak manfaat dan ilmu dari atikel-atikel mereka. Antara blog yang saya layari ialah blog sahabat saya Ustaz Yusuf Embong ( Tim.Pj Pahang). Diruang c-box blog beliau saya terbaca komen pengunjung-pengunjung mengenai Sekolah Menengah Agama Ar-Rasyidin Sungai Gau. Sekolah tersebut dikatakan semakin kurang mendapat sambutan, walaupun jawatankuasa pentadbiran telah bersilih ganti, termasuk pengerusi Lembaga Pengarahnya juga dilakukan rombakan. Kini Sekolah tersebut tidak lagi berada dibawah pengendalian Badan Perhubungan Pas Pahang. Ianya dikendalikan sendiri oleh Ustaz Jauhari, Ustaz Najmi dan Ustaz Nafiri. Di atas bahu mereka digalaskan amanah menyambung hayat sekolah tersebut. Semakin berkurangannya pelajar Sekolah yang pernah menjadi "sekolah Pas" itu sudah berlanjutan beberapa tahun sebelumnya.

Perjalanan Sekolah tersebut sememangnya sentiasa diikuti oleh saya sejak dulu. Bukan hanya kerana ketiga-tiga ulama gigih tersebut sahabat yang sangat rapat dengan saya dalam Dewan Ulama Negeri, tetapi saya mempunyai Nostalgia yang tersendiri dengan sekolah tersebut. Penubuhan Sekolah Gau yang pada asalnya dinamakan "Madrasah As-Sa'aadatud Daaraini lil Banin" itu turut melibatkan saya sebagai anggota jawatankuasa penajanya yang pertama. Tuan Guru Haji Baqi sebagai Pengerusi dan ketua unit pembangunan, saya sebagai pengerusi unit kurikulum, Saudara Tohiri sebagai Bendahari dan beberapa orang lagi ahli jawatankuasa, termasuk Allahyarham Ayah Ustaz Jauhari ( Ustaz Ishak Abdullah) dan Cikgu Majid Hassan ( Tim. Pj Pahang sekarang) .

Memandangkan Pas Pahang belum mempunyai pusat pendidikan, maka penumbuhan sekolah tersebut sangat kena pada masanya. Usaha diteruskan sehingga bangunnya bangunan disebelah Dewan Darul Amin yang waktu itu menjadi pusat perhimpunan bulanan Pas Pahang. Sudah tentu keujudan pusat pendidikan tersebut menjadi kebanggaan dan harapan ahli-ahli Pas Negeri Pahang. Saya masih ingat ucapan YAB Tuan Guru pada satu pagi dalam tahun 1986. Hari itu Pas Pahang mengadakan Tamrin bulanannya. Saya telah dijemput berceramah bersama Tuan Guru yang waktu itu ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Sudah tentu detik tersebut menjadi saat yang akan diingat oleh saya sampai bila-bila. Dalam usia 22 tahun, dan masih terlalu mentah dengan dunia politik, tiba-tiba saya diberi peluang oleh Pas Pahang berceramah bersama Tokoh yang disegani itu. Dalam ucapannya Tuan Guru telah membuat perumpamaan, orang yang makan nasi tidak akan sama dengan orang yang makan goreng pisang sahaja. Ceramah hanya goreng pisang, sedangkan ilmu dan pendidikan khusus adalah nasi, tegas Tuan Guru. Oleh itu Pas perlu ada Pusat pendidikan yang memberikan didikan dan ilmu secara khusus, tidak cukup hanya dengan ceramah dan tamrin. Justeru menyahut pandangan dan saranan itu, Dewan Ulama' Pas Pahang berusaha seupaya mungkin menubuhkan Pusat Pendidikan di Sungai Gau, walaupun mendapat tentangan yang tidak kurang juga hebatnya daripada sebahagian anggota perhubungannya sendiri. Namun Al-Hamdulillah muncul juga sebuah pusat pendidikan dicelah-celah halangan tersebut.

Kemudiannya sekembalinya saya dari tahanan pada tahun 2003, saya dimaklumkan Sekolah Pas Sungai Gau telah berpindah ke belakang, dan tidak lagi beroperasi disebelah Dewan Darul Amin. Tak silap saya namanya juga ditukar kepada nama Sekolah Menangah Agama Ar-Raasyidin. Pengurusannya juga telah berpindah daripada Dewan Ulama kepada Perhubungan Negeri dan kemudian akhirnya diamanahkan kepada tiga orang sahabat saya dalam Dewan Ulama.

Saya sangat bersetuju dengan komen seorang penulis dalam c-box blog Ustaz Yusuf. Beliau mengatakan, bagaimana Sekolah Pas nak hidup, kerana pimpinan dan ahli pas sendiri tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Pas. Memang benar... Pengalaman saya selama 14 tahun mengendalikan sekolah persendirian memberikan saya kesedaran bahawa memandu sebuah sekolah tidak cukup hanya dengan ilmu,wang ringgit dan dikenali ramai. Memandu sebuah pusat pendidikan untuk mengajak manusia kepada Allah, memerlukan kayakinan kepada intipati pendidikannya dan ruhnya. Perlu menyelami dan menghayati segenap erti ilmu dan pendidikan. Perkara yang sama sempat saya kongsikan dengan Ustaz Khairuddin At-Takiri ( pengasas dan pentadbir Darul Fuqaha') sepanjang penerbangan kami dari Phenom Penh ke Kuala Lumpur sebulan lepas. Tidak cukup hanya kegigihan dan semangat, bahkan memerlukan satu pengorbanan yang cukup tinggi, sehingga sanggup berjuang untuk pendidikan sehingga keakhirnya.

Saya yakin sahabat saya Ustaz Jauhari, Ustaz Najmi dan Ustaz Nafiri sangat faham akan erti perjuangan dalam dunia pendidikan jamaah ini. Tidak sedikit kepayahan yang terpaksa ditanggung dan bukan singkat masa kelelahan yang terpaksa diharungi. Pepatah melayu mengatakan "Hanya Jauhari yang mengenal Maknikamnya". Pendidikan dalam Pas akan sampai kepada objektifnya dan cita-cita yang sebenar apabila anak-anak Pasti sekarang mengambil alih teraju pendidikan dalam Pas. Sekolah Pas akan dipenuhi oleh anak-anak orang Pas apabila pelajar-pelajar Pasti yang ada sekarang adalah bapa-bapa mereka.

02 January 2009

Sudah sejauh ini perjalanan usia ku

DALAM SERONOK MEMANDU KEHIDUPAN INI, SESEKALI MENOLEHLAH KEPADA SIDE-MIRROR,AGAR DAPAT MELIHAT JALAN YANG TELAH KITA LALUI

-----------------------------------------------------
Semalam 30 Dec.2008, saya bersama tiga orang abang solah Maghrib di Masjid KLIA. Kami datang berasingan, tapi kemudiannya berjanji untuk menunaikan solah Maghrib di Masjid yang besar dan indah itu. Kedatangan kami ke KLIA ialah untuk menunggu kepulangan kakak,abang dan kakak ipar yang dijadualkan tiba di KLIA jam 8 malam.

Sewaktu menunggu masuknya waktu maghrib, saya mengambil kesempatan merenung wajah abang-abang saya. Ketiga-tiga mereka telah kelihatan semakin dimamah usia. Masing-masing telah ada cucu. Abang yang sulung telah mempunyai 10 orang cucu. Abang yang kedua 4 orang cucu,abang yang ketiga 2 orang cucu, manakala abang yang keempat,yang kami tunggu kepulangannya, mempunyai seorang cucu yang baru berusia 7 bulan. Hanya kakak dan saya yang belum mempunyai cucu. Namun begitu pangkat kami telah pun mencecah gelaran tok kepada cucu-cucu saudara kami. Kakak dipanggil Tok Cik, manakala saya pula berpangkat Tok Su.

Putaran roda kehidupan yang tidak pernah berhenti ini telah membawa kami secara tidak disedari mengantikan orang-orang tua yang terdahulu. Masih baru rasanya kami adik-beradik hidup sebumbung dibawah jagaan ayah dan ibu. Terasa seolah-olah baru semalam saya mengekori abang ( abang Mad atau abang yang ketiga ) menyerkap (serkap) ikan dipaya dibelakang rimba berhampiran rumah kami, diseberang sungai pahang. Bila ada ikan haruan atau keli yang terperangkap abang akan seluk perlahan-lahan. Bila ingsang ikan tersebut berjaya dicekup oleh abang, abang akan hulurkan kepada saya. Ikan itu akan saya cucuk dengan ranting kayu senduduk sehingga panjang berjuntai dengan ikan-ikan yang berjaya ditangkap. Kami akan meredah setiap ceruk paya yang berlumpur dan berselut itu. Biasanya berhampiran tunggul kayu atau banir ada ikan haruan yang bersembunyi. Dicelah tunggul kamyu itu abang tidak guna serkap lagi. Abang hanya akan gagau dengan tangannya sahaja. Bila matahari telah tegak diatas kepala, membakar kulit kami yang besalut lumpur, abang akan ajak saya balik. Pesan ayah mesti balik sebelum masuk waktu Zohor. Ikan-ikan itu akan saya serahkan kepada ibu. Biasanyanya ibu akan gulai lemak masuk daun kesom. Selesai solah kami akan makan bersama-sama. Indahnya waktu-waktu itu.


Masih terasa baru semalam saya ikut abang (abang Lah, abang yang keempat) kekebun getah. Abang kekebun untuk membantu ayah. Sesekali saya akan ikut sama. Saya akan mendahului ayah menjelajah kesetiap pokok getah. Terlebih dahulu saya akan sepat segerap getah dan kemudiannya dililit menjadi bulat. Semaki lama lilitan itu akan semakin besar,sehinggalah terbentuk sebiji bola getah sebesar penumbuk orang diwasa. Bola itu akan saya simpan,sehingga lah ia hilang dan diganti dengan bola sekerap yang lain pula. Adakalanya abang suruh saya sepat sekerap getah dan disimpan untuknya. Selesai memunggah susu getah ke bangsal mesin getah keping, sementara menunggu getah dalam takungan membeku, abang akan ambil segerap yang saya sepat tadi. Abang akan balut diumbi pelepah bulu ayam. Lima atau enam pelepah bulu ayam itu dibalut sehingga menjadi "shuttlecock". Petang nanti abang akan bermain dengan abang-abang yang lain mengunakan papan yang ditarah sebagai "racket". Manakala "net"nya pula ialah jaring ikan kepunyaan ayah yang telah berlubang. Saya hanya akan duduk ditepi court,tukang kutip bola bulu ayam itu, jika terpelanting jauh. Bila maghrib telah hampir, kami akan belari belumba-lumba ke telaga.


Baru semalam saya rasakan ketika ayah selesai menunaikan solah Maghrib. Selesai solah sunat,ibu akan terus kedapur menyediakan makan malam. Ayah akan buka kitab kulit merah yang ada dihujung bantal tempat ayah baring-baring waktu berihat tengah hari. Keempat-empat abang saya akan duduk bersila dihadapan ayah membentuk satu halakat. Pelita minyak tanah diletakkan dekat dengan kepala lutut ayah. Manakala saya dan kakak akan mengambil posisi dekat dengan sisi ayah. Ayah akan baca kitab,dan abang-abang akan mendengar dengan tekun. Biasanya saya akan baring disisi ayah setelah 15 minit ayah memulakan mini kuliah itu. Kadang-kadang ibu terpaksa mengejutkan saya untuk makan malam.


Itulah saat-saat indah kehidupan alam kecil yang serasa baru benar berlalu. Masih terasa baru benar wajah-wajah abang segar dan segak sebagai remaja yang girang. Walaupun kami hanya berkawan adik-beradik ,kerana kedudukan rumah yang jauh diseberang sungai dan dikelilingi rimba yang tebal, menyebabkan kami tidak ada jiran, namun kami tidak pernah rasa kesunyian. Detik-detik itu terasa masih segar dalam ingatan. Kini abang-abang sudah kelihatan sangat ketara dimamah usia. Sudah tentu saya ikut sama dalam peredaran masa itu. Alangkah pantasnya masa berlalu. Patutlah Allah dan Rasul sentiasa memperingatkan hamba dan Ummatnya agar jangan leka dan lalai. Menangguhkan amal ibadah adalah sifat orang-orang yang lalai dan lemah agamanya.

Perjumpaan yang seketika itu menginsafkan saya betapa telah jauh rupanya perjalanan usia saya. Sedangkan dunia ini kelihatan masih menawan dan amal kebajikan sering ditangguhkan.
Ya Allah "Hidupkan Aku selaku hidupnya para Ulama ( penuh dengan ilmu dan amalan soleh) dan Matikanlah aku selaku matinya Syuhada' ( yang benar janjinya dengan Allah) Amiiin.


Nota:

1. (Atas Kanan ) : Cucu Abang yang sulung
2. (Atas kiri) : Cucu Abang yang ketiga
3. (Bawah Kiri) : Cucu Abang yang ke Empat ( baru pulang dari Tanah Suci)