30 November 2008

Hukum berjabat tangan lelaki perempuan yang ajnabi

MENGAAPA HARUS TUNDUK KEPADA BUDAYA ORANG LAIN,
SEDANGKAN ISLAM TELAH MENGAJAR KITA SEGALA-GALANYA.
-----------------------------------------------------------------

Kita akan membahagikan pembahasan ini kepada beberapa bahagian:

1. Hukum berjabat tangan/bersalam
2. Hukum mencium tangan
3. Hukum membongkokkan badan
4. Hukum bersujud kepada selain Allah
5. Rumusan

1. Hukum berjabat tangan/bersalam

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Abu Qatadah berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: "Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan" Dia menjawab: "Ya." (HR Bukhari)

Dari al-Barraa’ bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Dari Athaa’ bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersaba:

"Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling menmberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan."
(Hadis Mursal riwayat Imam Malik)

Dari al-Barra"bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

"Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu."? (HR Ibnu Sunni)

Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.

2. Hukum mencium tangan

Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, salih, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim.
Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai.

Dari Zari’ r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia berkata: "Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w."

3. Hukum membongkokkan badan

Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang.
Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membungkuk kepadanya? Baginda menjawab: "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?" Baginda menjawab "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?" Baginda menjawa: "Ya." (HR al-Tarmizi)
Hadis di atas bermaksud:

1. Makruh membungkukkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari permusafiran.
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.

Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

4. Hukum bersujud kepada selain Allah

Umat Islam dilarang bersujud kepada selain dari Allah, samada ia berbentuk peribadatan atau penghormatan sahaja. Jika ditanya, bagaimana dengan sujud para malaikat kepada Adam? Bukankah itu sujud dari makhluk kepada makhluk?

Jawab: Sujud yang dilakukan oleh para malaika kepada Adam bukanlah sujud yang berbentuk penyembahan (ibadah), tetapi sebagai penghormatan. Perkara ini disepakati oleh para ahli tafsir. Lagi pula sujud malaikat kepada Adam adalah atas titah perintah Allah yang wajib dipatuhi. Sehingga kita sendiripun, jika seandainya Allah memerintahkan kita agar sujud kepada seseorang, kita wajib mematuhinya. Jika perintah sujud itu diperintahkan oleh selain Allah, maka haram melakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya." (HR al-tarmizi)

Hadis di atas menunjukkan:

1. Larangan bersujud kepada selain dari Allah, kerana tiada arahan berbuat demikian.
2. Suami wajib ditaati dan dipatuhi oleh si isteri.

Ahli tasir mengatakan ada bebepa kemungkinan di dalam masalah sujud malaikat kepada Adam:
1. Malaikat benar-benar sujud kepada Adam dengan meletakkan dahinya ke tanah. Bukan sebagai penyembahan tetapi sebagai penghormatan serta melaksanakan perintah Allah.
2. Boleh jadi juga para malaikat itu pada hakikatnya bersujud kepada Allah, tetapi dengan menjadikan Adam sebagai kiblatnya. Ini sebagaimana kita diperintahkan bersujud kepada Allah dengan menjadikan ka’bah sebagai arah kiblah kita.
3. Ada juga yang mengatakan bahawa sujud malaikat kepada Adam bukanlah sujud dalam ertikata bersujud yang sebenarnya. Tetapi ia berbentuk sujud maknawi, iaitu dengan berikrar dan mengiktiraf kelebihan Adam.

Perlakuan sujud kerana menghormati (bukan penyembahan/ ibadah) memang berlaku pada umat zaman dahulu. Termasuk pada zaman Ya’qub dan Yusof, firman Allah Taala menceritakan mengenai Yusof a.s.:

"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf"(Yusof: 100)

Tradisi bersujud kerana hormat ini berlaku hinggalah berakhir pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat Muhamad di larang bersujud kepada selain dari Allah. Ketika para sahabat melihat pokok dan unta bersujud kepada Rasulullah s.a.w., mereka berkata: "Kami adalah lebih patut bersujud kepadamu."Rasululla h s.a.w. bersabda:

"Tidak sepatutnya seseorang itu bersujud kepada selain dari Allah Tuhan seru sekelian alam."

Perkara ini juga pernah terjadi kepada Mu’az bin Jabal yang baru sampai dari Syam, lalu bersujud kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: "Apa ini"? Mu’az menjawab: "Wahai Rasulullah s.a.w., aku baru datang dari Syam, aku pernah melihat mereka (penduduk Syam) bersujud kepada pembesar dan pendeta mereka. Aku ingin melakukan itu terhadapmu." Baginda bersabda:

" Jangan lakukan. Jika aku diperintahkan sesuatu itu boleh bersujud kepada sesuatu, nescaya aku akan memerintahkan agar wanita bersujud kepada suaminya.al- hadis." (HR Ibnu Majah)
Oleh itu, bersujud kepada selain dari Allah adalah haram hukumnya. Tidak kira samada sujud itu kerana penyembahan atau hanya semata-mata penghormatan.

Rumusan

1. Berjabat tangan adalah sunat.
2. Mencium tangan adalah dianjurkan kepada mereka yang dimuliakan dari segi keagamaan. Dimakruhkan jika kemuliaan itu dari segi keduniaan.
3. Membongkokkan badan kerana menghormati seseorang adalah makruh.
4. Bersujud kepada selain dari Allah adalah haram.
5. Apabila kita berjabat tangan dengan ibu atau bapa kita, kita terpaksa membongkokkan badan kerana mahu mencium tangannya. Kita membongkokkan badan bukan atas tujuan menghormatinya. Hal ini dibolehkan, cuma tidak boleh berlebih-lebihan.
Wallhu a’lam

Rujukan

1. Al-Quran
2. Tafsir al-Qurthubi
3. Sahih Bukhari
4. Al-Azkar
5. Ahsanul Kalam

28 November 2008

Alangkah tulus doamu Ibu (siri motivasi untuk kaum ibu 3 )


ALANGKAH KERDIL DIRI INI APABILA BERDIRI DIPANTAI LAUTAN ILMU MU.
----------------------------------------------------------------
Bas yang saya naiki terus meluncur laju merentasi sempadan Pahang -Trengganu dan Trengganu - Kelantan. Semakin jauh saya meninggalkan kampung maka sejauh itulah dunia lalai itu saya tinggalkan. Saya cuba buang seluruh kenangan dikampung, kecuali titisan airmata ibu yang tetap terpahat di sanubari saya.

Sesungguhnya wajah ibu bersama airmata nya yang terurai dipipi tuanya sangat-sangat berbekas dalam ingatan saya hingga kini. Wajah ibu yang pucat dan kudus dalam balutan telekongnya bagai meniupkan satu kenekadan dalam diri saya,bahawa satu hari saya akan gembirakan ibu. Walaupun tidak mungkin dapat saya padamkan seluruh penderitaan ibu lantaran kealpaan saya selama ini. Namun cukuplah jika diwajah tua itu akan tercalit satu garis senyum sebagai sinar dihari mendatang.

Sebentar tadi bas yang saya naiki berhenti makan entah dimana. Semua penumpang turun, ada yang terus kerestoran dan ada dikalangan mereka yang terus kesurau yang berhampiran. Saya mengekori sekumpulan penumpang yang menuju kesurau. Saya perlu solah dan segera memohon pertolongan Allah agar perjalanan saya ini diberkati Allah. Biarlah perjalanan ini menjadi titik tolak yang sangat bermakna dan berharga kepada hidup saya. Saya terus berwudhu' dan menunaikan solah sendirian. Ada beberapa orang yang menunaikan solah secara berjamaah, namun saya rasa lebih selesa menunaikan solah bersendirian. Walaupun saya pernah dengar aruah Ayah saya memberitahu bahawa pahala orang yang solah berjamaah berganda-ganda berbanding orang yang menunaikan solah bersendirian. Namun dek kerana bimbang kalau-kalau solah saya yang entah betul atau tidak itu menganggu jamaah lain, maka saya mengambil keputusan solah bersendirian disudut surau yang tidak berapa luas itu.

Selesai solah saya berdoa panjang dalam bahasa melayu. Saya panjatkan pengharapan kepada Allah. Dalam usia 16 tahun itu saya nekad melakar perjalanan hidup saya sendiri. Saya tiada ayah, untuk menyusun perjalanan saya. Yang saya ada hanya kasih sayang ibu yang telah tua bersama doanya yang sentiasa segar dan semerbak menemani saya. Saya tinggal sendirian disurau itu, jamaah lain semuanya telah bersurai dan kini mereka pula masuk kerestoran, manakala penumpang yang awal-awal masuk kerestoran tadi telah selesai makan dan ada antara mereka yang mula datang kesurau untuk solah manakala sebahagian yang lain terus menuju ke arah bas. Saya masih ditangga surau, menunggu bas yang akan bergerak apabila kumpulan penumpang direstoran selesai makan. Perut saya mula memulas minta diisi. Memang saya merasa sangat lapar, maklumlah sejak malam tadi saya tidak makan, sarapan pagi tadi pun saya tak sempat. Namun kerana mengingatkan saya hanya berbaki duit RM 65 sahaja (ditolak tambang bas temerloh - Kota Bharu 15 ) maka hasrat untuk makan saya batalkan. Dengan duit yang berbaki itulah nanti saya akan memulakan pengajian di Pondok tersohor di Kelantan Pondok Pasir Tumboh.

Pasir Tumboh ! Pasir Tumboh ! jerit pembantu driver dihadapan memadamkan lamunan saya. Memang sebelum bertolak pagi tadi saya berpesan kepada pembantu driver supaya memaklumkan kepada saya jika kami telah sampai di Pasir Tumboh, kerana saya tidak tahu dimana tempatnya. Apabila bas berhenti, saya pun bangun dan mencapai beg lusuh yang sebenarnya beg yang saya guna untuk kesekolah menengah dahulu. Bas berlalu, tinggallah saya berdiri kaku di tepi simpang empat yang dibarisi sederet kedai uzur beratap bata tanah liat. Di tepi kiri kanan kedai kopi itu penuh dengan hutan keladi yang agak subur. Saya melintas jalan dan menuju ke kaki lima kedai. Sekali lagi perut saya berkeroncong, tapi saya gagahi juga kerana mengingatkan saya tidak punya banyak wang.

Satu signboard tua terpacak dipenjuru simpang bertulis Pondok Terusan. Saya terpaku disitu. Apakah pembantu driver tadi tersalah tempat. Yang saya cari ialah Pondok Pasir Tumboh, bukannya Pondok Terusan. Saya berpatah balik ke kedai kopi. Beberapa orang pelanggan yang sedang minum dan bersembang disebuah meja memandang kearah saya. Mari mano ? tanya mereka agak ramah. Pahang, jawab saya. UUUUmm jauh tu, balas seorang tua yang bersandar di tempat duduk sebuah beca yang diparking berhampiran dengan kedai itu (kemudiannya orang tua itu saya kenali dengan nama PakDa Daud). Nok gi Pondok ko? tanya orang tua itu lagi. Saya angguk sahaja, tapi saya nak gi Pondok Pasir Tumboh, signboard tu tulis Pondok Terusan! jawab saya. Semua mereka tersenyum. Pondok Pasir Tumboh jugok la tu awe ( awang gelaran mesra bagi orang muda) ujar orang pertama yang menyoal saya tadi. Pondok Pasir Tumboh pun ore (orang) pangil, Pondok Terusan pun yo (ye) dan Pondok Pohon Seto (pokok Manggis) pun yo..tambah beliau. Ooo.. saya angguk tanda terima kasih atas maklumat terperincinya itu. Kalau nak gi pondok buleh tupe (tompang) Pak Da ni dia pun nok kelik (balik) pondok jugok tu ,kata teman lelaki pertama tadi sambil menunding jari kearah orang tua yang bersandar diatas becanya. Mari! kata orang tua yang dipanggil Pakda itu sambil bangun berdiri disisi becanya. Saya tergamam. Saya belum tanya berapa tambangnya. Kalau mahal, mana saya ada duit. Tapi..berapa tambangnya, tanya saya ragu, antara mahu tumpang orang tua itu atau tidak. Samah (50 sen) jah..kata salah seorang pelanggan yang sedang minum itu. Naik lah,tok soh (tak payah) dok tambe-tambe (tambang), mugo kito pun nok kelik jugok!..kata pakda ramah sambil mempamirkan gigi dua batangnya. Saya pun terus ketempah duduk beca dan Pakda dengan semutar putih mula mengayuh becanya menuju simpang yang tertulis Pondok Terusan tadi.

Jalannya agak baik, cuma dikiri kanan jalan mula gelap, jalan itu bagaikan terowong kerana diserkupi pokok-pokok getah dikiri dan kanannya. Di samping itu terdapat juga beberapa perdu pokok nibung membentuk satu suasana seram. Sambil mendengar tik -tak tik- tak bunyi kayuhan beca Pakda itu, saya cuba mencari topik untuk berbual dengan orang tua yang murah hati itu....
Bersambung ..siri 4 (Gerbang dunia baru ku)

27 November 2008

Kehebatan pendakwah bukan pada keanehan ideanya


PENDAKWAH YANG BIJAK SENTIASA AKAN MENCARI TITIK PERSAMAAN BUKAN JURANG PEMISAHAN.


-----------------------------------------------------------------------
Pendakwah merupakan satu rukun dari rukun-rukun dakwah. Tanpa pendakwah mustahil sebuah "bangunan dakwah" dapat dibangunkan. Jika islam cukup hanya dengan teori, nescaya memadalah jika Allah menghantar Jibrail sahaja untuk membacakan isi kandungan Al-quraan. Kemudian bacaan itu dihafal oleh manusia. Bagaimana untuk melaksanakan hukum yang terkandung didalamnya, terpulanglah kepada setiap individu. Jika itu keadaannya, maka akan lahirlah Islam dalam berbagai bentuk dan wajah mengikut persepsi masing-masing. Justeru itu peranan "pendakwah" sangat penting. Ia bukan sahaja sebagai guru,pendidik dan pembimbing, bahkan sebagai tafsiran hidup kepada isi kandung wahyu itu sendiri.

Pendakwah,ma'udhu'u dakwah dan mad'uwiyyin (sasaran dakwah) adalah rukun pelengkap kepada perjalanan dakwah. Ini bermakna Pendakwah tidak boleh hidup dan berdiri dengan sendiri tanpa mengambil kira Maudhu' dakwah ( isi seruan) dan Mad'unya ( Orang yang diserunya). Pendakwah bukan sahaja berkewajipan memasyarakatkan dirinya,bahkan hendaklah memasyarakatkan idea dakwahnya. Jelas kata, pendakwah tidak boleh "syok sendiri" dengan dunianya.

Dalam peristiwa Bi'ru Muraisyi', telah berlaku pergeseran antara orang-orang Ansar dan Muhajirin. Kesempatan itu telah dipergunakan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul untuk menyemarakan api permusuhan terhadap Rasulullah dan kaum Muhajirin. Ucapan Abdullah telah didengar oleh seorang sahabat Rasulullah saw. Lalu ia datang melapurkan ucapan jahat Abdullah itu kepada Baginda. Umar yang berada disisi Baginda bangun dengan geram sambil mencadangkan agar leher Abdullah dipenggalkan sahaja. Mendengar cadangan tersebut, Baginda menenangkan Umar, sambil bersabda;

"Bagaimana wahai Umar, jika orang ramai (yang tidak mengetahui tentang kemunanfiqkan Abdullah bin Ubai) akan berkata; Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri".

Ucapan ringkas Baginda saw ini telah dikupas secara panjang lebar oleh sebahagian besar ulama-ulama siirah, sebagai mengambarkan kebijaksanaan Baginda dalam mengemudikan bahtera dakwah. Selagi ada ruang agar bahtera dakwah tidak bertembung dengan gulungan gelombang, maka selagi itulah akan dilayarinya dakwah kearah yang tenang. Namun pelayaran tetap akan diteruskan. Kebijaksanaan mencari titik persamaan agar ujudnya perpaduan merupakan ciri-ciri dakwah Rasulullah saw yang terus dikaji hingga kini. Berlakunya ledakan dakwah ditengah-tengah ketenangan dan kelembutan sukar dilaksanakan oleh pendakwah yang gopoh gapah. "Pembentukan Piagam Madinah" sehingga terbentuknya perjanjian damai dengan kumpulan Yahudi di Madinah dan "rangka perjanian Hudaibiyyah" sehingga terbentuknya perjanjian dengan kaum Musyrikin Quryaish merupakan contoh tindakan "penyatuan titik" yang dilakukan oleh Rasulullah saw, tindakan yang dilihat lembut dan mengalah itulah yang telah menghasilkan kejayaan yang besar kepada kaum Muslimin.

Rasulullah saw dengan Inayah Allah, telah meletakkan suatu tindakan yang sangat kena dengan tempatnya dan masanya. Justeru itu perjalanan dakwah dalam siirah Baginda hendaklah selalu diteliti dan dikaji oleh pendakwah masa kini.

Perjalanan dakwah telah menyaksikan kepelbagaian "penampilan" pendakwah. Mutu dan qualiti seorang pendakwah bukan dilihat kepada "keanehan" idea dan saranannya. Tetapi dilihat kepada bagaimana ia meletakkan sesuatu idea itu samaada kena pada tempat dan masanya. Keanehan idea bukan membuktikan kebijaksanaan dan keilmuan, sebaliknya membuktikan kelemahan dan kedangkalan. Tikus yang memberikan idea mengantungkan loceng pada leher kucing bukan tikus yang bijak. Walaupun sekilas pandang idea tersebut kelihatan hebat dan mengkagumkan.

Oleh itu para pendakwah perlu memperlengkapkan dirinya dengan banyak perkara bukan hanya ilmu dan idea. Memang jamaah memerlukan pendakwah yang berani melakukan perubahan dengan melontar idea-idea yang bertenaga. Namun Rasulullah saw memperingatkan kita agar
"berkata-katalah dengan manusia, menurut kadar akal mereka". Mengapa perlu diraikan akal manusia (Mad'u)? Kerana di awal tulisan ini telah saya katakan bahawa "pendakwah" tidak berdiri sendiri dengan dunianya. Dunia pendakwah ialah masyarakat dan jamaahnya. Justeru itu pendakwah mesti memikirkan masyarakat dan jamaahnya. Apalah hebatnya satu-satu idea jika membawa kepada kecelaruan jamaah?.Walaupun mungkin idea itu betul, namun suatu yang betul jika tidak dibangunkan pada tempat dan masa yang betul, akan menjadi fitnah kepada pendakwah dan jamaah.

Apa pun hukum-hukum aneh yang kita temui hari ini, sebenarnya telah ditemui oleh ulama yang terdahulu daripada kita. Namun kerana kebijaksanaan mereka, soal-soal hukum yang furu'iyyah, dan cabang itu tidak diketengahkan. Mereka bukan pendakwah yang syok sendiri, tetapi mereka adalah "pendakwah Ummat" ini. Perkara hukum yang memerlukan tahkik Ilmiyyah akan mereka bincang hanya dengan "ahli"nya, bukannya untuk dilontar didada akhbar kemudian tersenyum puas kerana semacam berjaya mengketengahkan suatu yang aneh, sehingga membingungkan ahli awam peringkat bawahan. bijak kah kita?.

Paling dekat untuk pendakwah kini contohi ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Beliau terkenal dan diakui hebat oleh kawan dan lawan, bukan kerana lontaran ideanya yang aneh-aneh. Tetapi beliau berjaya merungkai penyelesaian atas apa yang sedia ada. Disamping itu beliau berjaya memasyarakatkan diri dan ideanya sehingga dapat dilayarinya bahtera dakwah dengan tenang dan tenteram.


Berita semasa Pondok An-Nuur

KEM INTENSIF TAHFIZ DAN FARDHU 'AIN ANJURAN PUSAT PENDIDIKAN ISLAM AN-NUUR MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN.
Bermula 22 Nov baru-baru ini, Pusat Pendidikan Islam An-Nuur telah menganjurkan "Kem Intensif Tahfiz siri 2". Program tahunan ini akan berakhir pada 5 Dec.2008. Alhamdulillah sambutan masyarakat terhadap kem-kem seperti ini semakin menggalakkan. Menurut sumber-sumber dari sekolah-sekolah lain disekitar Daerah Kuantan yang juga menganjurkan kem yang sama, sambutan pada tahun ini agak lebik baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. An-Nuur yang pada asalnya hanya membuka pendaftaran kepada 70 orang sahaja (disebabkan tempat yang terhad) terpaksa menerima limpahan pendaftaran 120 orang peserta.


Peserta lelaki, bergambar ditengah-tengah bulatan dataran An-Nuur.

Peserta diwajibkan solah berjamaah sepanjang program.



Peserta Lelaki kem intensif Tahfiz An-Nuur 2008 sedang mengikuti
bengkel Fardhu 'Ain.

Peserta Perempuan Kem Intensif Tahfiz 2008

Peserta kem sedang tekun mengikuti bengkel Tahfiz dibawah bimbingan Fesilitator
Hafiz dan Hafizah


Dataran An-Nuur yang damai mengamit sebuah ketenangan buat peserta kem.

Insyallah An-Nuur akan terus menyumbang kepada pembangunan
ilmu,insan dan perjuangan Islam Insyallah.
Doakan kami....

26 November 2008

Mengapa dibela suatu yang "haram". ( siri 1)


PERGUNAKANLAH SISA USIA INI UNTUK MEMBELA KEBENARAN. JANGAN MELAKUKAN SUATU YANG JIKA DIKENANG DIPENGHUJUNG USIA KELAK, KITA MERASA SANGAT MALU KERANA PERNAH MELAKUKANNYA.
---------------------------------------------------------
Berita yang hangat sehari dua baru-baru ini ialah mengenai sekumpulan NGO (bukan GRO) telah mengadakan satu "demonstrasi yang sangat aman", untuk menyatakan sokongan terbuka kepada undang-undang ISA. Buat seketika berita kumpulan NGO terbabit berjaya menutup berita Shahrizat yang sedang bercakaran dengan Rafidah untuk merebut kerusi yang reput bersama reputnya akar-akar maruah UMNO.

Sebelum ini pun telah ramai blogers yang menyentuh tentang kezaliman ISA. Penderitaan mangsa dan keluarga dipaparkan saban hari. Sekurang-kurangnya masyarakat umum tahu betapa hodohnya muka ISA apatah lagi muka manusia yang melaksanakannya. Saya sekadar membaca dan sesekali cuba berkongsi pengalaman dengan bloger-bloger lain. Namun apabila "sokongan terhadap ISA" dipamirkan secara demonstrasi dan terbuka di tempat awam, maka terlonjak sedikit kepedihan disudut hati. Menyokong ISA, bermakna menyokong suatu yang haram, menyokong kezaliman yang dilakukan terhadap hamba-hamba Allah yang tidak diadili secara sah, menyokong penganiyaan terhadap kaum keluarga mereka dan menyokong suatu yang bercanggah dengan perinsip-perinsip keadilan dalam Islam. Saya bimbang sedikit masa nanti ada pula kumpulan NGO yang berdemonstrasi memakai baju "Yes to alcohol", "Yes to gambling" dan macam-macam "yes" lagi terhadap perkara yang haram.

Kezaliman ISA sudah jelas lagi bersuluh. Ianya di akui oleh Ulama'-ulama' Islam, pakar-pakar perundangan yang jujur, pejuang-pejuang hak-hak asasi manusia dan manusia-manusia awam yang waras. Buku " Malaysia 45 years under the internal Security act" tulisan Koh Swe Yong, antara buku-buku yang merakamkan episod kezaliman ISA. Antaranya beliau menulis "In 1998, on the international Human Rights Day, December 10, the Bar Council submitted a memorandum ti the Prime Minister, calling upon the goverment to repeal the ISA". Beliau menambah lagi; "Gerak comprised various opposition parties, including Party Rakyat (PRM), Democratic Action Party (DAP), Pan-Malaya Islamic Party (PAS), Party Sosialis Malaysia (PSM) and the large number of Non-Govemerntal Organization (NGOs) including Suaram and Rights Committee (CRC), A large number of UMNO members loyal to Anwar also joined forces with Gerak". Sebagai memperlengkapkan lagi rakaman kezaliman itu Dr Kasim Ahmad menulis dalam bukunya "Universiti kedua", Dr Hussain Ali dalam bukunya "Dua Wajah", YB Sdr Sa'ari Sungaip dalam bukunya siri "Suara dari Kemunting", Dr Badrul Amin di dalam bukunya "Dari UIA ke ISA" dan banyak lagi khazanah penulisan yang seumpama itu. Penulisan yang merupakan rakaman pengalaman penulis, yang tentunya lebih mengenali ISA berbanding dua tiga orang "awak-awak"NGOs yang dinakhodakan oleh UMNO dalam demonstrasi baru-baru ini.

Dalam tulisan ini saya ingin mengajak pembaca semua kepada memahami sebab mengapa ISA itu haram dari sudut agama (Islam). Mudah-mudahan Allah membuka hati kita dan mereka untuk menggunakan sisa usia ini bagi menegakkan kebenaran.
1. ISA bertentangan dengan perinsip keadilan yang dibawa oleh Islam.
Di dalam surah An-Nisa ayat 58, Allah berfirman;
واذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
"Apabila kamu berhukum dikalangan manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil".

Maulana Al-Maududi menyebut;

"Islam menetapkan perinsip asas, iaitu tiada siapa pun boleh dipenjarakan sehinggalah kesalahannya dibuktikan dalam Mahkamah terbuka"(1).

Islam tidak pernah mengiktiraf pembicaraan di Mahkamah tertutup, apatah lagi hukuman tanpa pembicaraan (Detention without trial). Islam tidak membenarkan seseorang itu ditahan dan dihukum hanya kerana berasaskan kepada "syak" atau bukti-bukti yang tidak pernah dibuka di Mahkamah. Perinsip keadilan Islam memberikan ruang yang luas untuk orang yang tertuduh membela dirinya tanpa sebarang kekangan dari pihak yang mendakwanya.

Perinsip yang dikemukakan oleh Islam itu, dicabul sepenuhnya oleh undang-undang ISA (2). Seseorang akan ditahan atas budi bicara Menteri berdasarkan cadangan yang dibuat oleh pihak Polis. Pertuduhan tersebut tidak pernah dibacakan dimana-mana Mahkamah dan dihadapan mana-mana Hakim. Manakala orang tahanan dinafikan haknya untuk membela diri atau mendapatkan khidmat peguam. Pencabulan total itu menyebabkan tiada bentuk keadilan yang dapat ditegakkan. Justeru menegakkan keadilan adalah "wajib" dan melaksanakan kezaliman adalah "haram".

Bersambung siri 2 (InsyaLLah)

Nota

1). "Human Rights in Islam" oleh Maulana Al-Maududi.
2). "Freedom under Executive Power in Malaysia" oleh Dr Rais Yatim.

25 November 2008

Alangkah tulus doamu Ibu (siri motivasi untuk kaum ibu 2 )


WAHAI KAUM IBU.JANGAN MEMANDANG RENDAH KEPADA KUASA DOAMU, JANGAN DIREMEHKAN KEAMPUHAN AIRMATA MU. SETITIS AIRMATA IBU, PENGHILANG DAHAGA ANAK SEPANJANG HAYATNYA.
___________________________________________

Ayam berkokok sayup-sayup kedengaran, jam sudahpun menunjukkan angka 3.30 pagi. Angin sejuk dinihari sesekali menyelinap masuk melalui bingkai tingkap yang agak renggang. Saya bangun berjuntai dikatil,bilik sempit yang agak usang itu saya tatap, bagaikan itulah kali pertama saya menginap disitu. Perlahan-lahan kenangan hari jumaat lepas saya lipat penuh cermat dipenjuru hati. Saya bingkas bangun. Bagai ujud satu kekuatan buat saya kini. Saya mesti nekad. Dunia yang mengelirukan ini mesti saya tinggalkan. Biarlah titisan air mata Ibu yang mengalir sejak jumaat lalu membasuh seluruh kealpaan saya selama ini.

Perlahan-lahan saya melangkah keluar dari bilik dan turun ketepi rumah. Di situ ada sebuah kolah air yang agak besar. Saya ambil wudhuk dan kemudian perlahan-lahan saya berjalan masuk semula kebilik saya. Saya tidak mahu Ibu yang sedang terbaring diatas sejadahnya sejak selepas Isyak malam tadi tersedar. Begitu juga dengan Abang dan Kakak Ipar saya. Biarlah mereka tidur. Biarlah Ibu tidur, ibu telah tersangat lelah dan terbeban dengan perasaan sedihnya kerana melihat tingkah laku saya, anak bongsunya. Saya tahu, hati ibu sangat pilu bila banyak nasihatnya tidak saya indahkan.

Setelah membetulkan sejadah dan menghadap kiblat saya pun mengangkat takbir. Saya cuba solah taubat sekadar yang saya ingat-ingat lupa. Tapi saya tak kesah, Allah tahu saya hambaNya yang sedang mencari jalan pulang yang berliku. Tentunya banyak ketidaksempurnaan yang dilakukan oleh musafir yang sudah sekian lama tersasar ini. Selesai solah saya berdoa. Saya mahu baca quraan macam amalan ibu, tapi saya tak selancar ibu. Quraan pun saya belum tamat. Segera air mata saya mengalir bila mengenangkan diri saya. Dalam usia 16 tahun itu saya masih belum khatam Al-Quraan. Tangan saya tadahkan ke langit, memohon kekuatan atas niat yang telah tersimpul erat dalam hati saya. Saya tidak boleh menoleh kebelakang lagi. Biarlah saya tebus airmata ibu yang tertumpah sejak seminggu lepas dan bahkan sebelum itu. Doa juga saya lafazkan buat Ibu. "Ya Allah, Engkau kasihilah ibuku sebagaimana ia kasih kepadaku diwaktu kecilku dan selamanya.

Lama saya berzikir dengan menyebut nama Allah sekadar yang saya tahu. Selesai berzikir saya solah kembali dan berdoa kembali. Itulah yang saya lakukan sehingga saya merasakan satu kemanisan pula melakukannya berulang kali. Setiap kali kalimah "Ya Allah tunjukkan aku jalan yang lurus" saya baca dalam al-Fatihah, maka setiap kali itu jugalah air mata saya mengalir. Saya rasa bagaikan berkelana sendirian disebuah padang yang luas dan gersang, diselimuti pula oleh kegelapan dikaki langit. Saat itu terasa betapa hinanya saya yang jahil ini. Segera terbayang bagaimana sepupu-sepupu dan saudara mara saya di Kelantan yang sebaya dengan saya. Sesekali ketika balik ke kampung dimusim cuti sekolah saya lihat mereka beramai-ramai ke Surau setiap petang. Di hadapan "tok" mereka baca Al-quraan. Lepas tu ramai-ramai pula sembahayang Asar. Dua pupu saya Halim dan Suhaimi, dengar ceritanya belajar di Pondok Pasir Tumboh sejak setahun yang lalu. Masa terus merangkak menjengah fajar sodik. Saya terdengar ibu sudah bangun dan telah pun selesai berwudhu di kolah. Kemudian Ibu bertakbir, tentunya ibu solah tahajjud sebelum mendirikan solah subuh. Sejak kebalakangan ini ibu tidak lagi mengejutkan saya bila subuh telah masuk. Ibu jauh hati dengan saya. Tapi saya tahu dalam doanya ibu tidak pernah lupa untuk mendoakkan saya.

Perlahan-lahan saya bangun dan solah subuh. Saat ibu berwirid dan menyambung bacaan al-quraannya, saya sudahpun membuat satu keputusan yang muktamad. Saya bangun mengumpul beberpa helai baju dan seluar saya yang tidak berapa helai. Semuanya baju-T. Hanya dua helai baju kemeja. Kain pelekat yang sudah agak lusuh saya lipat rapi. Setelah agak kemas bag pakaian, saya kemaskan pula bilik kecil saya itu. Bilik tersebut tidak lah terlalu berselerak, walaupun hidup dan pergaulan saya waktu itu agak teruk. Tapi dek kerana asuhan kakak sejak kecil, saya agak minat berkemas. Setelah cahaya pagi mula masuk melalui tingkap yang saya buka sejak tadi. Di dapur kakak ipar saya sudah mula menyediakan sarapan kami. Dengan lengkap berseluar dan berbaju T, saya gagahkan hati keluar menemui ibu yang masih disejadahnya. Ibu dalam pakaian telekong kelihatan sudah agak pucat dan kurus. Saya bersimpuh dihadapannya. Saya cium tangannya dan saya mohon kemaafannya. Ibu agak terkejut dan kaget. Kepada ibu saya nyatakan saya sudah buat keputusan akan belajar di Pondok Pasir Tumboh. Ibu semacam tidak percaya. Sesaat itu juga terjurai air jernih dari kelopak matanya. Saya tahu ibu sedih dan gembira. Saya mohon restu ibu. Dah ada duit tambang ke? soal ibu perlahan dan hiba. Dah ada RM 50, ujar saya, juga perlahan dan hiba. Kemudian saya bertemu dengan Abang dan kakak ipar. Mereka juga terkejut dengan keputusan saya. Bagaimana saya boleh berubah begitu cepat. Abang hulurkan duit RM 30. Kakak minta saya tunggu sebentar untuk sarapan. Tapi saya beritahu saya perlu cepat mengejar bas ekspress Temerloh ke Kota Bharu.

Bag yang sebuah itu saya galas. sebelum turun kejalan raya, sekali lagi tangan ibu saya cium. Berbekalkan duit RM 80.00 itulah saya memulakan langkah kedunia pengajian. Ketika sedang menunggu kereta ke Temerloh saya masih belum percaya akan keputusan yang saya buat. Namun saya merasa sangat lapang. Kegelisan hati yang mendesak disegenap urat saraf saya seminggu yang lalu, terlerai semuanya. Alham dulillah. Saya tinggalkan kampung Kuala Triang yang masih dibungkus kabus pagi menuju kesuatu distinasi yang saya pun tidak tahu entah dimana. Tapi saya yakin disitu saya bakal menemui kehidupan saya yang sebenar.


Bersambung

Digari ke Hospital Taiping -secebis kisah tahanan ISA (siri 4 )

---------------------------------------------------------------------
HAKIM YANG TERSILAP MEMBERIKAN KEMAAFAN

LEBIH BAIK DARIPADA TERSILAP MENJATUHKAN HUKUMAN.
---------------------------------------------------------------------

Minggu kedua di T1, kami dibawa ke Hospital Taiping untuk "medical check-up". Kami dibawa secara berpasangan dengan diiring oleh dua orang warden,seorang driver, pegawai pengiring dan dua orang lagi pegawai dengan kenderaan yang berasingan. Pasangan saya ialah Basri.

Ketika diiring keluar dari tembok kawasan T1, saya merasa sangat lapang. Saya boleh lihat kawasan yang luas, bangunan-bangunan, bukit jana dan kenderaan. Udara diluar pun berlainan daripada udara yang terkepung dalam kawasan kami yang bertembok. Walaupun telah tiga puluh tahun lebih saya melihat semua itu, namun kerana dikurung dalam kawasan yang berdinding tinggi dan tambahan dikunci pula dalam cell selama seminggu lebih, menyebabkan saya sangat menghargai kebebasan ( ini tidak bermakna saya menyesal dengan takdir yang menimpa saya). Patutlah Islam sangat memperketatkan syarat dan peraturan sebelum seseorang hakim menjatuhkan satu-satu hukuman kepada tertuduh. Ini adalah kerana Islam tidak mengizinkan "kebebasan" seseorang itu direnggut secara zalim, seperti ISA. Allah menyebut di dalam Al-Quraan surah An-Nisa' ayat 94 yang bermaksud;

"Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (Apa jua perkara Dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang Yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang Yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) Dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya Yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia Yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu Dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak Dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati Dengan mendalam akan Segala Yang kamu lakukan".

Rasulullah saw bersabda;


ادرأ الحدود عن المسلمين ما الستطعتم فان كان له مخرج فخلوا سبيله
فان الامام ان يخطى فى العفو خير من ان يخطى فى العقوبة
" Elakkan daripada menjatuhkan hukuman terhadap seorang Muslim, jika terdapat
keraguan seberapa mana yang kamu mampu. Jika kamu temui jalan keluar baginya maka
berikan ia jalan itu. Kerana sesungguhnya kesilapan Imam memberikan kemaafan terlebih baik daripada kesalahan menjatuhkan hukuman."
(1)

ISA langsung tidak menoleh kepada ayat-ayat dan Hadis seperti ini. Bagi ISA bukti atau "Fatabayyanu" tidak penting. Yang penting ialah seseorang yang telah dikehendaki untuk ditahan mesti ditahan dengan apa cara sekalipun.(2)

Kami dibawa menaiki van penjara. Dihadapan kami seorang pegawai penjara didalam sebuah kereta yang dipasangkan siren. Saya tersenyum bila warden disebelah saya berbisik bahawa kereta peronda bersiren itu baru sampai. Khusus untuk mengiringi kami, kerana kami dianggap "sangat bahaya". Patutlah saya lihat sesetengah warden dan pegawai macam bersemangat sangat nak mengiringi orang tahanan keluar. Rupanya rasa syok bila "kita lalu, semua orang berhenti dibahu jalan". Terasa macam vvip la tu agaknya. Sekali lagi saya rasa nak tergelak.

Van yang membawa saya dan Basri masuk terus kekawasan Hospital Taiping. Kebanyakan mata orang yang ada di perkarangan Hospital ketika itu merenung kearah kenderaan kami. Mungkin mereka fikir van penjara membawa Ketua Mafia yang sangat-sangat dikehendaki oleh Interpol. Atau paling tidak ketua sindiket dadah cuba yang ditangkap bersama dadahnya satu kontena. Lucu datang lagi menyerang tangkai jantung saya. Sehingga Basri menyiku saya dan bertanya mengapa saya senyum. Saya hanya diam. Biarlah Basri bermain dengan tandatanyanya.

Sebelum kami digiring turun dari van, terlebih dahulu pegawai yang mengiringi kami tadi masuk kedalam bangunan Hospital dan kemudian, beberapa orang kakitangan Hospital semacam mengarahkan pelanggan lain agar memberi laluan untuk kami. Wahhh..saya tak tahu apa yang ada dalam perasaan orang ramai ketika itu. Sekali rasa macam kami ni orang besar yang datang melawat kawasan. Tapi dalam masa yang lain rasa macam kami ni harimau zoo yang digiring masuk kekandang. Basri agak malu untuk turun dan berjalan dihadapan orang ramai yang menyisih ketepi untuk memberi laluan kepada kami. Anehnya saya tak rasa malu sedikit pun. Bukan kerana saya memang jenis tak pemalu tapi sejurus saya melangkah ke perkarangan bangunan Hospital, seorang tua berkopiah yang sejak tadi merenung kearah saya dan Basri, tiba-tiba memberi salam. Assalamualaikum ustaz..Orang kat luar semua dah tahu cerita sebenar (mungkin dirujuk kepada berita Al-Maunah) jangan risau. Segera selepas salam pertama itu, "malu" digari dan digiring macam penjenayah tercabut dari dada saya. Saya tahu, Allah semacam melarang saya merasa malu. Malu bermakna saya bersalah. Tetapi hakikatnya saya tidak bersalah, bahkan saya ditahan secara zalim. Maka apa yang harus saya malukan.

Ketika saya diduduk di kerusi menunggu, sebelum nama dipanggil, beberapa orang pertengahan usia cuba duduk tidak jauh dari saya, Basri dan dua orang warden masing disebelah saya dan Basri. Sesekali mata saya bertembung dengan mata mereka. Senyum ramah terukir pantas. Saya tahu, mereka seolah-olah menghantar isyarat yang mereka tahu kami tidak bersalah bahkan mereka tahu kami adalah mangsa kepada kerakusan ISA.

Doktor yang merawat saya agak kasar, atau sengaja bersikap kasar. Ketika mahu saya berpusing kebelakang, ditolaknya dengan keras. Nada arahannya juga semacam mahu saya merasa hina. Ketika mengambil butiran maklumat saya, sempat beliau bertanya; kes apa?. ISA jawab saya agak perlahan. Apa? ulangnya. Tahanan ISA! jawab saya agak lantang. Serentak dengan habisnya jawapan saya, beliau mendongak kearah saya. Wajahnya berubah. Dari bengis dan kasar mendadak terukir senyum dan kelembutan. Sekaligus saya merasa hairan. Mengapa kalimah ISA mencaikan keegoannya. Saya ingatkan banduan! ucap beliau ramah. Ini Kes Maunah ke? ..ye jawab saya..beliau angguk dan sebelum pegawai yang mengiringi saya masuk sempat beliau berpesan, bersabarlah..unjian Allah semua ni..kemudian saya terus beredar dengan digari kepada pergelangan tangan warden yang masuk tadi.

Ketika melangkah semula masuk ke dalam van untuk dikurung semula di T1, sempat saya membuat kesimpulan bahawa semua orang tahu dan faham bahawa Penahanan tanpa bicara adalah Zalim. Yang belum faham barangkali bukan "orang". Malamnya ingatan saya terhadap peristiwa di hospital siang tadi menjelma kembali. Bermula dengan Salam orang tua ditepi pintu masuk, senyum beberapa orang pelanggan yang bertentangan mata dengan saya dan kesombongan doktor yang segera bertukar menjadi ramah, menyedarkan saya bahawa semua itu hiburan Allah buat saya. Allah mahu saya ditarbiyyah secara prektikal. Allah mahu membasuh saya dengan air kehinaan agar terhakis segala kesombongan. Allah mahu saya belajar mengasingkan diri supaya saya sempat membilang bilah-bilah kesilapan yang berlaku sepanjang kehidupan saya. Kini roda hidup saya terhenti seketika, maka sempatlah saya meninjau mana-mana lidi yang patah. Allah mahu perjalanan saya seterusnya selamat. Syukur Ya ALlah..atas tarbiyyahMu.

--------------------------------
Nota:
1) Lihat "Punishment in Islamic Law : An Enquiry into the Hudud Bill of Kelantan" oleh Mohammad Hashim Kamali.
2) Pada tahun 1948 Ustaz Abu Bakar Al-Bakir pernah ditangkap kerana menyeru orang ramai supaya jangan membeli susu dan sabun dari kedai kaum Cina. Lihat Nabir Haji Abdullah, Maahad Ihya' As-Syariff Gunung Semanggol 1034-1959.

24 November 2008

Zakat dan Hukumnya (siri 1)

Terjemahan dari kitab: Kifayatul Akhyaar fii Hill Ghayah Al-Ikhtishar
Terjemahan oleh : Al-Faqir Ustaz Mokhtar Senik

---------------------------------------------------------------
Lima Golongan yang tidak boleh diberi zakat: (i) Orang kaya karena banyak harta dan kerana berpenghasilan, (ii) Hamba Sahya, (iii) Anak keturunan Bani Hasyim dan Bani Muththalib, (iv) Orang ada dalam tanggungan nafkah kerana alasan fakir atau miskin, (v) Orang kafir.

1. Orang kaya, baik kerana banyak harta maupun kaya kerana berpenghasilan, tidak berhak mendapat zakat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah:

“Tidak ada bagian zakat untuk orang kaya dan dzu mirratin sawiyyin, yaitu orang yang sehat dan kuat.”

Jika tidak ada orang yang boleh mencari nafkah maka mereka diberi zakat. Namun, tidak boleh memberikan zakat kepada al-khurafasyah (orang-orang yang terpandang dan kaya) .

2. Hamba Sahya tidak berhak mendapat bahagian zakat kerena seluruh keperluannya dibiayai dan ditanggung oleh tuannya maka ia terhitung sebagai orang kaya, atau kerena mereka adalah orang yang tidak memiliki apa-apa.

3. Tidak boleh memberikan zakat kepada anak keturunan Bani Hasyim dan Bani Muththalib, berdasarkan hadis Rasulullah:

“Sesungguhnya shadaqah/zakat ini adalah cuciannya manusia (membersihkan harta dan jiwa muzakki –pent), dan itu tidak halal bagi Muhammad dan keluarganya.” HR. Muslim, Nasaai, dan Ahmad. Dan suatu hari Al-Hasan (Cucu Rasulullah) sedang memasukkan sebutir tamar (kurma masak) ke dalam mulutnya, maka serta-merta Rasulullah mengeluarkannya dan bersabda: “Keluarkan, sesungguhnya keluarga Muhammad tidak halal memakan shadaqah/zakat.” HR. Bukhari, Darimi, dan Ahmad.

Adapun untuk maula (bekas hamba ) Bani Hasyim dan Bani Muththalib, apakah boleh menerima zakat ataukah tidak, ada khilaf ulama. Ada pandangan yang menyatakan boleh, sebab sudah tidak ada lagi alasan untuk melarangnya, iaitu bekas tuannya. pendapat yang kedua; adalah tetap tidak halal, sebab maula (bekas hamba) suatu kaum adalah termasuk kaum tersebut.

4. Orang yang ada dalam tanggungan nafkah tidak berhak menerima zakat, sebab mereka sudah menjadi mampu/ghani/kaya dengan nafkah yang ia terima setiap hari. Maka, jangan diberi zakat, dan inilah pendapat yang kuat. Ada juga pandangan yang menyatakan boleh memberi zakat sebab sifat/nama fakir, sebenarnya, tetap melekat pada mereka. Ini jika mereka terus terpenuhi semua keperluannya dengan tanggungan dari orang lain itu. Adapun jika nafkah itu tidak mencukupinya, maka ia boleh meminta atau menerima zakat, semisal seorang istri yang tidak semua keperluannya mampu ditanggung oleh suami.

Al-Qaffal berkata: “Jika seorang istri, tidak dapat tertunai semua keperluannya, maka ia boleh meminta/menerima zakat.” Imam Ibnu Rif’ah berkata: “ Mereka boleh menerima/meminta zakat dengan alasan mereka miskin/tidak mempunyai apa-apa dan bukan dengan alasan karena mereka amilin, atau gharimin, atau yang lainnya. Demikian. Wallahu a’lam.

5. Tidak boleh memberikan zakat kepada orang kafir. Rasulullah bersabda, tentang kisah Muadz bin Jabal:

Jika mereka sudah mentaatimu (syahadah dan solah) maka ajarkanlah kepada mereka bahwa Allah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil dari orang kaya diantara mereka dan disalurkan/diberikan kepada orang fakir diantara mereka.” HR. Bukhari.

Jika zakat saja tidak boleh diambil kecuali dari orang kaya yang muslim, maka sudah pasti tidak boleh diberikan/disalurkan kepada orang fakir kecuali juga yang muslim. Baik zakat fithrah maupun zakat mal, sesuai dengan keumuman nas.

Pengarang maksudkan keumuman "Dhomir" (HUM). Dimana kedua-dua Dhomir itu dirujuk kepada "orang-orang Islam".-
Penterjemah

Disini saya terjemahkan ulasan pengarang berkenaan Muallaf di kalangan orang-orang kafir. Apakah mereka boleh menerima harta zakat.- Penterjemah.

Muallaf. ( salah satu daripada asnaf zakat)

Muallafati qulubuhum, sebagaimana yang dimaksud dalam ayat zakat, adalah ketika kita (muslimin) merasa perlu kepada mereka kerana faktor kecondongan hati mereka. Muallaf ada dua kategori, iaitu orang muslim dan kafir. Maka, tidak boleh memberikan zakat kepada muallaf jenis kafir, tanpa ada khilaf sedikitpun di kalangan ulama karena sebab kekafiran mereka. Namun, apakah harus diberi harta dari bagian khumus (seperlima) ghanimah? Ada pendapat yang menyatakan: ya, mereka diberi dari bagian khumus sebab mereka adalah kelompok yang disasar untuk diharapkan kebaikannya. Namun penadapat yang kuat adalah mereka tidak boleh diberi, walaupun dari bagian khumus, sama sekali, sebab Allah ta’alaa telah memuliakan Islam dan muslimin sehingga tidak perlu lagi akan kebaikan dan pembelaan orang kafir.

Nabi shallallahu alaihi wa sallam, pun memberi mereka bagian khumus kerana saat itu Islam masih dalam keadaan lemah, dan keadaan ini sudah tidak ada. Wallahu a’lam. Adapun muallaf jenis kedua, iaitu muallaf yang beragama Islam, adalah mereka-mereka yang sudah masuk Islam, namun kecintaan mereka kepada islam lemah, maka diberilah mereka zakat dengan harapan untuk menguatkan hati mereka di atas Islam ini.

Wallahu'allam


22 November 2008

Michael Jackson memeluk Islam


New Straits Times hari ini melapurkan berita bintang Pop Michael Jackson memeluk Islam dibawah tajuk" Michael Jackson embrances Islam". Berita tersebut kelihatan biasa sahaja jika ia berlaku sebelum peristiwa PWC 11 september . Sebelum itu pun telah ramai bintang dan tokoh terkenal barat yang memeluk Islam. Tetapi sedikit aneh apabila terdapat bintang terkenal didunia barat memeluk Islam ditengah-tengah kempen anti Islam yang dilancarkan oleh Barat sejak beberpa tahun yang lalu.


Peristiwa 11 september ( yang masih dipertikaikan siapa yang merancangnya) itu telah dijadikan asas kempen besar-besaran Barat untuk memburuk-burukkan wajah Islam. Presiden Amerika dengan wajah "cintakan keamanan dunia" telah berjaya mengeksploit kejadian tersebut untuk mengheret dunia seluruhnya termasuk dunia Islam untuk menyokong projek "anti keganasannya itu". Negara pertama yang dibantai oleh Amerika dan sekutunya ialah Afghanistan dengan alasan perancang seranngan 11 September ( Osama bin Ladin ) bermastautin di Afghanistan. Serangan tersebut mendapat kerjasama yang tidak berbelah bagi dari jiran terdekat Afghanistan iaitu Pakistan. Negara kedua yang menjadi sasaran kempen anti keganasan tajaan "polis dunia" itu ialah Iraq. Alasannya sama, iaitu dibimbangi kemudahan loji Nuklear yang "banyak "terdapat di Iraq akan digunakan oleh kumpulan pengganas untuk menyerang dunia.

Untuk mengambarkan berjayanya "kempen bodoh" Amerika itu ialah betapa ramainya pemimpin dunia yang berjaya "diperbodohkan" oleh Amerika. Hatta pemimpin dunia Islam yang berpayung dibawah OIC. Rata-rata pemimpin dunia Islam memberikan amaran kepada negara masing-masing akan bahayanya "penganas Islam". Untuk mendapat perhatian Amerika terdapat pemimpin dunia Islam yang bertindak memburu rakyatnya sendiri yang kononnya mereka itu "pengganas". Ada dikalangan pemimpin Islam yang mengambil langkah memperkenalkan Islam berwajah baru dengan lebel "Islam yang sederhana", seumpama "Islam Hadari" yang diperkenalkan oleh Abdullah Badawi. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menunjukkan kepada Barat bahawa malaysia telah pun berjaya "diperbodohkan". Kerana bagi Amerika dan Barat, siapa yang bodoh maka dialah penyokongku. Kesan kempen tersebut juga telah mengheret sebahagian pemimpin negara Islam mencabut "pengajian Jihad" dari kurikulum pendidikan dinegara mereka. Hasilnya pelajar-pelajar Islam diajar dengan pengajian Islam "versi baru" iaitu Islam tanpa jihad,versi yang pernah dipopularkan oleh Mirza Ghulam Ahmad pengembang ajaran Ahmad Al-Qadiani. Hasilnya kewujudan Barat diIndia tidak mendapat tentangan yang sepatutnya dari Ummat Islam India.

Ditengah-tengah dunia Barat sibuk dengan kempen "anti Islamnya" itulah Michael Jackson, bintang kebangaan mereka memeluk Islam. Ini bermakna secara realitinya kempen tersbut gagal untuk mempengaruhi manusia barat sendiri. Tetapi agak berjaya dinegara-negara Islam. Keadaan yang sama berlaku di Malaysia. Keputusan pilihanraya 12 (PRU 12) memperlihatkan sokongan besar kepada Pas dan PKR datang daripada orang-orang yang bukan Islam. Orang-orang Melayu Islam samaada diKampung-kampung tradisional, Felda mahupun Bandar kelihatan masih ramai dibelenggu dengan pemikiran lama. Mereka gagal keluar dari tempurung "projek", subsidi, wang ehsan, biasiswa, dan macam-macam lagi projek duniawi tajaan UMNO. Hasilnya size pemikiran mereka tidak lebih daripada tempurung tersebut yang menjadi acuannya.

Kalaulah mereka gemar membaca (macam michael Jackson yang membaca buku-buku Islam yang dihadiahkan oleh Abangnya), atau gemar duduk seketika dalam majlis-majlis ilmu, diskusi-diskusi jujur, atau hadir ke Majlis ceramah Pas ( tak mengapa kalau mahu duduk dalam gelap) sudah pasti pemikiran mereka akan berdenyut membesar dari size yang sedia ada. Tapi pastinya UMNO akan cuba menyekat tumbesaran itu. UMNO lebih suka kalau rakyat melayu Islam dimalaysia ini terus bantut, kerana keterbantutan pemikiran ummat Melayu diMalaysia sudah tentunya akan menguntungkan UMNO demi survival politiknya. Jika pemimpin terus berkeinginan agar rakyatnya jahhil ( demi meraih sokongan yang berterusan), dan rakyat pula selesa dengan pemimpin yang ada demi projek dan subsidi yang berterusan, maka sudah pasti selamanya negara ini dalam gerhana yang tidak berkesudahan.


Alangkah tulus doamu Ibu (siri motivasi untuk kaum ibu 1)


DOAMU BAGAI BUTIRAN MUTIARA YANG BERSINAR DARI KELOPAK KASIHMU YANG MEKAR,SEJUK BAGAI SALJU, MENYELINAP MASUK KEDALAM HATIKU. DOAMU YANG TULUS MERUNTUHKAN DINDING KEALPAANKU.
------------------------------------------------------------
22. Nov.1980, 28 tahun yang lalu. Semalaman saya tidak dapat melelapkan mata. Nyanyian cengkrek malam tidak lagi menjadi hiburan buat saya. Masa bagaikan bergerak tersangat lambat. Bilik sempit dipenjuru dapur itu dirasakan bagai menghimpit sehingga menyesakkan nafas dan menyengat kesetiap sendi dan saraf. Sudah hampir seminggu keadaan itu saya hadapi, tetapi malam itu himpitannya dirasakan semakin memberat dan saya tidak sanggup lagi menghadapinya.

Sambil menunggu siang yang berdetik perlahan itu, saya cuba mengutip kembali kepingan-kepingan hari yang telah saya lalui dalam seminggu itu. Jumaat lepas saya sekali lagi saya sengaja tidak hadir ke Masjid menunaikan solah jumaat. Sebenarnya kesalahan itu bukan kali pertama. Sudah acap kali saya sengaja cuai kemasjid pada hari jumaat ( masjid kampung saya waktu itu hanya digunakan untuk solah jumaat). Tapi sebelum itu ibu tidak tahu. Beliau yang jarang balik ke kampung kerana tinggal di Pondok Bukit Keledang sejak ayah saya meninggal dunia, tidak pernah tahu mengenainya. Saya yang tinggal dengan abang yang sibuk dengan kedai runcitnya. Abang jarang mengambil tahu samaada saya ada disaf belakang solah jumaat tadi atau pun tidak. Yang dia tahu ialah mesti segera balik untuk buka kedai, kerana ahli jamaah yang selesai solah di masjid akan singgah ke kedainya ketika dalam perjalanan pulang. Dengan itu beliau tidak mengambil pusing kemana saya sebelum dan selepas solah.

Tetapi jumaat yang satu itu, ibu pulang saat saya sedang berguling dalam bilik sambil mendengar radio. Bunyi bising lagu "rindu bayangan" menyebabkan saya tidak dengar bunyi teksi yang ditumpangi ibu sebentar tadi. Tau-tau Ibu muncul dipintu bilik. Bila menatap wajah ibu, saya tertunduk dan bersedia mendengar leterannya seperti biasa. Saya pasrah, kerana memang saya yang bersalah. Beberapa ketika saya menunggu ibu memulakan khutbahnya. Tapi kali ini muqaddimah khutbah pun saya tidak dengar dari mulut Ibu. Saya angkat kembali muka dan menatap wajah ibu. Oh, ibu menangis.. terjurai airmata menitis pipinya yang sudah tergaris kedutan, tanda perjalanan usianya yang telah jauh. Saya kaku seketika, sehinggalah ibu terus kedapur dan mengambil baldi untuk turun kesungai dihadapan rumah kami.

Saya masih berjuntai kaki dibirai katil. Hati saya mula dihimpit hiba. Alangkah besarnya dosa saya, sehingga menitisnya air mata ibu. Sebelum ini sudah kerap benar ibu meleteri saya. Kelas Al-Quran yang ibu suruh saya hadir pun saya jarang hadir. Ibu minta saya datang ke Pondok Bukit Keledang setiap malam untuk mengikuti kuliah maghrib, juga saya tidak datang. Saya habiskan masa menonton cerita"combat" dirumah kawan. Kadang-kadang balik saja dari padang, saya akan terus kerumah kawan sehingga habis waktu Isyak. Saya tahu memang saya sudah jauh hanyut dalam keremajaan usia 16 tahun itu. Kerap juga ibu marahi saya kerana terlalu leka berkawan. Asal saja ada kesempatan ibu akan ingatkan saya tentang solah, jaga-jaga pilih kawan dan yang utama ibu ajak saya sama-sama belajar di Pondok tempat ibu belajar. Untuk membangkitkan semangat saya, ibu sebut-sebutkan sejarah keluarga kami di Kelantan. Datuk saudara saya sebelah Ibu dan juga sebelah ayah ialah Tuan Guru Haji Awang Lambor. Antara tokoh ulama yang agak tersohor di kelantan. Saudara mara sebelah ayah dan Ibu kebanyakkanya ulama, atau paling tidak tok lebai yang ada surau sendiri. Tapi apa pun yang disebut oleh ibu tidak pernah menarik minat saya. Bahkan ketika sesekali balik bercuti di Kelantan aruah ayah dan Ibu akan membawa saya menziarahi semua kaum keluarga. Mungkin mereka mengharapkan setidak-tidaknya saya gembira dan bangga mempunyai keluarga besar yang kuat beragama. Tapi dalam usia semuda itu apalah yang saya tahu.

Leteran ibu sudah bergantang, nasihatnya sudah berjela-jela, dan jika dibukukan sudah mencecah beberapa jilid. Namun saya tetap begitu. Leka dengan dunia yang entah apa. Tapi,titisan air mata ibu sebentar tadi benar-benar menenggelamkan kedegilan saya. Walaupun ibu tidak mengeluarkan sepatah kata pun, tapi saya tahu hati ibu sangat pilu sehingga tiada lagi kata yang dapat dilafazkannya. Saat itu saya dilanda resah. Sejuta kenangan sewaktu kecil datang berpintal-pintal membelit tangkai ingatan saya. Bagaimana ibu membelai saya diatas ribaannya sambil berjuntai kaki dipelantar rumah usang kami. Ibu tunjukkan burung yang terabang di atas pokok petai. Ibu kata burung itu Allah yang jadikan. Saya tanya macam mana Allah warnakan sayapnya, bulunya dan paruhnya. Ibu gelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan..ibu yang menyanyangi aku itu telah aku sakiti hatinya hari ini. Ketika mendengar derap kaki ibu balik dari sungai dan ibu akan mula menunaikan solah zohor, saya kembali merebahkan badan sehingga tertidur. Tidur dengan gumpalan aneh yang membengkak jauh dipenjuru hati saya.

Ketika saya tersedar dari tidur,jam sudahpun hampir 4.30 petang. Ibu masih disejadahnya. Sayup-sayup suara ibu membaca Al-Quraan menyelinap masuk kebilik saya. Sebelum itu saya tidak pernah rasa pilu bila mendengar ibu membaca ayat-ayat suci itu. Tapi petang itu saya rasa cukup sayu. Ibu bagaikan sedang meratap sedih dan berbicara dengan al-qurannya. Ketika saya turun kesungai, saya lalu disisi ibu. Ibu tidak menoleh, ibu kelihatan tenggelam dalam doanya. Tentu ibu sedang mengadu kepada Allah mengenai kedegilan anaknya.


Bersambung


20 November 2008

Gamitanmu membelai rinduku wahai BaituLlah.


Semalam 19.Nov.2008 kami (saya,zaujah dan tiga orang anak kami) ke Kelana Jaya menghantar Kakak, Abang dan Kakak Ipar menunaikan Haji dengan penerbangan KT 54. Sudah agak lama saya tidak berbuat demikian. Bukan kerna tidak ada kaum keluarga terdekat atau sahabat rapat yang menunaikan haji, tapi atas sebab-sebab tertentu saya tidak berbuat demikian. Jika ada kaum keluarga atau sahabat yang akan berangkat ketanah suci, saya hanya akan datang kerumah mereka dan mengucapkan selamat jalan beserta doa agar mereka memperolehi hajji mabrur.

Tapi semalam saya terpaksa. Mengenangkan kakak yang akan pergi menunaikan haji adalah satu-satunya kakak kandung yang saya ada. Hubungan kami agak rapat sejak kecil. Memandangkan jarak usia antara kami hampir enam tahun, maka kakak sejak zaman kanak-kanak kami juga sebagai pengasuh kepada saya. Bila beliau masuk kesekolah rendah, saya adalah murid setianya yang akan melalui sessi persekolahan dirumah. Kakak akan berlagak sebagai cikgu. Bila kerap kali sangat kena marah saya akan lawan balik (maklumlah anak bongsu). Biasanya kalau berlaku pergaduhan sayalah yang memulakannya.Tapi biasanya kami akan berdamai semula tanpa campurtangan mak atau ayah. Sebenarnya apabila pulang kerumah dari sekolah, kakak tidak ada kawan lain selain saya dan begitu juga dengan saya. Ini adalah kerana rumah kami berada jauh dalam belantara diseberang sungai Pahang. Jiran kami yang terdekat sejauh 2 kilometer. Untuk sampai kerumahnya kami terpaksa meredah denai hutan dan sebuah kawasan lapang yang dipenuhi lalang setinggi bahu. Pernah beberapa kali ketika saya dan kakak berlari menuju kepengkalan perahu untuk kesekolah, kami hampir bertembung dengan sekawan babi hutan. Kebersamaan kami menyebabkan keakraban yang terjalin sangat erat.

Yang kedua, kerana mengenangkan kakak lah orang yang paling mengambil berat tentang perbelanjaan saya ketika saya belajar di Pondok Pasir Tumboh. Dengan gaji permulaannya sebagai kerani biasa di Kementerian Perdagangan Jalan Duta itulah beliau menyara saya dan bakinya dihantar kepada mak dikampung. Suami kakak meninggal pada tahun 2000 ketika saya dalam tahanan. Sejak itu kakak sangat gigih dan sabar membesarkan anak-anaknya yang seramai 6 orang itu. Kini anak sulung kakak pelajar tahun 2 diUIA jurusan undang-undang. Alhamdulillah, kakak dikurniakan anak-anak yang boleh dikatakan pintar dan baik-baik. Anak kecil kakak sudahpun berusia 8 tahun. Anak kecil ini tidak pernah mengenal wajah ayahnya.

Sudah lama saya dengar kakak menabung untuk membolehkannya menjadi tetamu Allah diBaitNya. Kini Allah makbulkan impian dan hasrat kakak. Saya turut bersyukur kepada Allah.

Sebentar tadi saya katakan sudah lama saya tidak menghantar seseorang menunaikan haji. Bukan kerana saya kesuntukan masa atau sengaja malas berbuat demikian. Sebenarnya saya tidak tahan melihat sesiapa sahaja yang akan berangkat keMakkah. Hatta jika disiarkan siaran langsung solah terawih dari Masjidil Haram di bulan Ramadhan, saya tidak sanggup. Kalau ada sahabat yang membuka TV waktu tengah malam, dan siaran langsung tersebut sedang keudara, saya akan buat seolah-olah tidak dengar atau jika berpeluang saya akan tutup tv. Lihat saja Masjidil Haram, hati saya akan merasa cukup hiba,pilu, sedih dan sejuta kenangan akan bergulung-gulung datang memenuhi lipatan memori.



20 tahun dahulu dimasjid itulah saya tidur dan baring. Di celah tiang yang menghala pintu kaabah itulah tempat simpanan baju-baju renyuk saya dan kitab-kitab. Disitulah tempat saya dan teman-teman sepengajian akan bertemu. Sehingga tempat pertemuan itu dikenali dengan nama stesen Malaysia sehingga sekarang. Didataran marmar yang mengelilingi Baitullah itulah kelas pengajian hadis saya. Bersimpuh dibawah dagu syaikh dengan disimbah cahaya matahari pagi kami tekuni bersama pengajaran guru. Kemudian kami akan sama-sama tawaf sunat sebelum teman-teman lain balik kerumah sewa dan saya lelapkan mata sebentar dicelah tiang stesen malaysia itu. Teman yang paling akrab dengan saya ketika itu ialah YB Ustaz Lutfi ADUN kemuning sekarang. Kami lalui bersama kehidupan di Bumi Bakkah yang mulia itu.

Di Bukit Ajyad ( Jabal Aulia) juga terukir kenangan yang tidak sedikit. Masjid Pattani adalah tumpuan kami. Kuliah Baba Yasin Surat adalah antara kelas pengajian yang kami tunggu-tunggu. Kemudian saya bersama beberapa orang sahabat akan mendaki satu demi satu mata tangga untuk mengikuti pengajian dirumah Abang Lah Sedawa dan Abang Mad sedawa. Pmergian mereka berdua beberapa bulan selepas saya kembali ketanahair sangat membelai tangkai kesedihan saya. Jabal Auliya bagaikan kampung halaman kami. Kunjungan saya beberapa kali ke Jabal Auliya selepas tahun 1990 disambut bagai keluarga oleh masyarakat pattani Ajyad. Terjalin ukhuwah dan persaudaraan yang membekas jauh kelubuk jiwa hingga kehari ini. Saya diberitahu sudah ramai orang-orang tua di Jabal Auliya yang telah meninggal dunia. Anak-anak mereka pun sudah ramai yang pulang dan menetap di Pattani. Saya boleh bayangkan jika saya datang kembali ke Jabal Auliya, bagaikan kembali semula kesebuah kampung tinggal. Yang dapat dilihat hanya runtuhan rumah,batu-batu berselerakan dan tiada lagi sapaan dan keriuhan anak-anak bermain dihalaman. Tanah-tanah pamah juga sudah ditumbuhi hutan dan belukar kecil. Sedangkan dalam belukar itulah padang permainan yang menyimpan sejuta kenangan.

Di puncak jabal Auliya terdapat sebuah padang kecil. Dahulunya disitulah saya dan kawan-kawan beriadah seketika sambil menikmati pemandangan penuh kota Makkah dan Masjidil Haram yang bergemerlapan. Dicelah-celah batu itu jugalah saya dan Ustaz Lutfi pernah bermalam sepanjang malam kerana bersembunyi dari Imigresen Saudi yang melakukan operasi menangkap penduduk yang tidak memilki visa menentap yang sah.

Bukit Ajyad juga menjadi saksi mesyuarat kami yang pertama. Mesyuarat yang bertujuan menubuhkan persatuan pelajar melayu makkah. Maka terlantiklah Tn Haji Mohd Saghrir sebagai pengerusi, Abang Lah Tarzan sebagai timbalan, Tuan Haji Mad Nat sebagai Bendahari, Saya sebagai ketua biro penerangan dan sahabat-sahabat yang lain sebagai ajk dan ahli. Tuan Haji Md Sgharir telah mewakafkan rumah sewanya untuk dijadikan pejabat sekaligus merangkap markaz perjumpaan. Rumah bertuah itu telah didatangi oleh sebahagian besar pimpinan Pas. Allahyarham Tuan Guru Haji Zakaria, ketika itu menjawat jawatan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan pernah berkata kepada saya; insyallah pilihanraya akan datang ini (1990) Pas akan berjaya merampas Kelantan dari BN. Alhamdulillah kata-katanya itu di Amiiinkan oleh Malaikat-malaikat Allah.

Itulah kenangan Tanah Haram Makkah dan Baitullah yang selalu menggamir rindu. Sejak ditahan pada tahun 2000 saya tidak berkesempatan lagi mengunjunginya. Insyallah..aku akan datang kepadamu jika diizinkan Allah wahai Baitullah. Saat itu kita akan berbicara bersama. Membuka lebar demi lembar kenangan yang akhirnya memaut cinta akan kebasaran Allah. Alangkah sebentarnya dunia ini dan alangkah abadinya bersama Mu ya Allah.

Kakak..jangan kau ingat lagi tanahair ini,jangan kau kenang hartaa yang tak seberapa, jangan kau rindui teman yang selalu alpa..ingat Allah dan dakaplah kasih dan Rahmatnya dalam takungan sanubarimu, nescaya akan kau temui rindu kepadaNya yang kekal abadi.


Buat guru-guruku di Masjidil Haram, Syeikh Dr Soleh,Syeikh Fattah,Syeikh Makki, Syeikh Ali AlHindi, dan Syeikh Toha, juga Baba Yasin Surat,Abang Lah sedawa,Abang Mad sedawa dan Ustaz Yahya Burma..doakan kejayaanku..tiada yang ku dambakan selain redha Allah dan redha guru-guru semua.


19 November 2008

Ku cicip selaut nikmat dalam hidangan takdir. Secebis kisah tahanan ISA (siri 3 )

WALAUPUN MANGSA REDHA DENGAN TAKDIR ALLAH, NAMUN BALASAN ALLAH TETAP MENIMPA ORANG YANG MELAKUKAN KEZALIMAN.

--------------------------------------------------------
Memang sukar untuk kita hadapi sesuatu bala' (ujian) Allah, lebih-lebih lagi saat pertama kita menghadapinya. Salah satu ujian Allah yang agak perit dan menyakitkan ialah ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA). Tiada sebarang pertuduhan dibacakan dimana-mana Mahkamah, dan tiada sebarang ruang untuk membela diri. Yang ada hanya beberapa pertuduhan yang dicatat oleh pihak Pegawai penyiasat (I.O) hasil daripada soal siasat keatas orang tahanan. Kalaupun ada ruang untuk membela diri ialah ketika sessi pertemuan dengan "Lembaga Rayuan" beberapa bulan selepas ditahan. Itupun bukan untuk membela diri, tetapi hanya sekadar merayu agar tempoh tahanan dipendekkan. Pertuduhan apa pun sudah dikira sah. Walaupun tidak dibungkus kepala ketika diheret masuk kedalam tahanan, namun hakikatnya tahanan ISA menghadapi nasib yang sama dengan tahanan di Guantanamo bay.

Orang tahanan akan terpisah sekelip mata dengan dunia luarnya. Kebebasan mereka direnggut secara paksa. Isteri akan kehilangan suami dan anak-anak akan kehilangan tempat bergantung dalam jangka masa yang sangat pantas. Hak-hak mereka sebagai "manusia mardeka" (bukan hamba sahya) dinafikan sepenuhnya. Apa lah sangat dengan hak-hak mereka sebagai warganegara berdaulat. ISA benar-benar akta "haram" menurut agama dan hak asasi dunia. ISA benar-benar akta haram "dunia akhirat".

Saat saya tahu saya ditahan dibawah akta purba itu (pada tahun 2000) terbayang kepada saya ucapan seseorang kira-kira 13 tahun sebelumnya. Orangnya ialah Allahyarham Cikgu Haji Hashyim (1). Pada waktu itu beliau menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang. Pada satu malam, pada tahun 1987, selesai menyampaikan ceramah bersama Al-Fadhil Ustaz Hassan Shukri dan Alfadhil Tuan Guru Yusuf Rawa (2) di Markas Pas Sungai Gau, Cikgu Haji Hashyim menghampiri saya. Berapa umur ustaz sekarang?, tanya beliau. Saya terdiam seketika. Perkataan "ustaz" menyebabkan saya merasa malu kepada diri sendiri. Saya bukan ustaz, saya masih pelajar di Pondok Pasir Tumboh. 23 tahun..jawab saya. Ustaz..menurut pandangan saya,jika gaya dan isi kandungan ceramah ustaz itu berterusan, saya yakin satu hari nanti ustaz akan dikenakan ISA. Bukan saya nak menakutkan ustaz, tapi saya mahu ustaz bersedia dengan jiwa dan rohani yang kukuh untuk menghadapinya. Saya angguk dengan penuh akur dengan nasihat sepontan dan sangat berguna untuk saya. Walaupun Cikgu Haji Hashyim bukanlah digolongkan dalam golongan ulama, namun penampilan, kesungguhannya berjuang dan amalannya memang amalan ulama.

Pesanan yang sama saya terima daripada Allahyarham Ustaz Daud(3) bekas YB DUN Pasir Tumboh. Seusai berusrah dirumah beliau berhampiran sekolah Taqaddum Maa'rif Pasir Tumboh, beliau berkata kepada saya; "Akhi Mokhtar..Kursus pengurusan,failing system,pentadbiran dan kursus yang berkaitan pilihanraya penting untuk parti dan organisasi, supaya gerakkerja parti tersusun dan sistematik.Tapi jangan lupa anasir yang sangat penting kepada jamaah ialah pendakwah dan 'amilin itu sendiri. Qualiti pendakwah dan 'Amilin ialah iman dan ruhnya. Saat datangnya ujian Allah, ilmu pengurusan semat-mata tidak dapat membantu seseorang. Yang dapat membantunya ialah sejauh mana keyakinan dan kecintaannya kepada Allah".

Sejak menerima nasihat-nasihat ikhlas itu, saya tanamkan dalam hati saya bahawa pastinya perjuangan ini ada ujiannya. Justeru itu saya sentiasa berdoa agar ujian yang bakal datang itu biarlah ujian yang termampu oleh iman saya yang dhoif ini.

Alhamdulillah..pesanan-pesanan seumpama itu, tambahan pula datang dari orang yang benar-benar menghayati perjuangannya telah memberikan pendidikan ruhani yang tidak sedikit kepada saya. Saat saya melangkah masuk keLokap dan menyusup masuk ke pintu gerbang Kem Tahanan Kemunting saya rasakan jiwa saya telah benar-benar bersedia untuk mengutip taburan nikmat Allah yang berselerakan ditengah-tengah ujiannya.

Dalam bulan-bulan pertama saya dan teman-teman ditahan, saya ulangi nasihat-nasihat tersebut kepada teman-teman yang lain. Saya katakan kepada mereka, marilah kita bersabar. Dalam taburan takdir Allah ini, jangan dilihat pada bala'nya, bahkan marilah kita melihat kepada nikmat-nikmatNya. Kerana apapun jua af'al Allah (perbuatan Allah) keatas hambaNya, ianya tidak pernah terpisah daripada sifat RahimNya (kasih sayangnya ) kepada hamba.

Menyedari dan menyakini Bala' Allah itu penuh dengan NikmatNya, maka kami asuh jiwa masing-masing memburu nikmat itu. Dengan itu kami susun jadual kami sendiri (asalnya pihak Kem menyediakan kami rutin harian, kemudiannya kami tolak sebahagian besar ruti itu). Kami susun jadual solah berjamaah setiap waktu, jadual kuliah setiap kali selepas solah, termasuk kuliah subuh, program zikir beramai-ramai setiap malam jumaat. Setiap malam sepanjang ramadhan, kami hidupkan bersama Ihya'u Ramadhan. Kami tadarus Al-Quran bersama dan khatamkannya beberapa kali. Setiap kali saya adakan kuliah selepas solah,warden yang menjaga kami akan turut bersama menyertai kami. Hasilnya terjalin ukhuwwah yang erat antara kami dan mereka. Kemanisan ukhuwwah itu terjalin hingga sekarang. Kami kunjungi mereka bersama keluarga dan mereka juga menziarahi kami bersama keluarga mereka. Di samping kuliah agama, sahabat yang mempunyai kemahiran dalam bidang perakaunan akan mengajar akaun. Sahabat yang mahir Bahasa Inggeris akan mengajar bahasa Inggeris. Sehingga kem tahanan itu berubah menjadi sebuah madrasah yang cukup padat dengan program ilmu. Kami turut adakan kelas Bahasa Mandrin, Urdhu, Kemboja dan Thai.

Di samping itu, masing-masing antara kami ada keinginannya yang tersendiri. Begitu juga dengan saya. Dalam hidangan qadha Allah itu, saya cuba mencicip sebanyak mungkin nikmatNya. Benarlah kata Jamaluddin Al-Afghany; "jika aku dipenjara, maka aku berpeluang beruzlah kepada Allah". Dalam kesempatan dari ujian Allah itu, saya tekuni menghabiskan hafalan Al-quraan saya yang sering tertangguh sejak dari Masjidil Haram lagi. Kepada Saudara Helmi (Bekas Pegawai Bank Negara) saya belajar Perakaunan. Kepada Saudara Ismail dan Abdul Jalil saya belajar Bahasa Inggeris. Dulunya ketika di alam persekolahan saya cukup benci kepada Subjek BI, tetapi berkat pertolongan Allah dalam kepungan kem tahanan itu saya berjaya menghafal 30 ribu perbendaharaan kata Bahasa Inggeris. Kepada Saudara Abdul Karim Gulman saya belajar Bahasa Kemboja. Kepada saudara Ah Kuan saya belajar Bahasa Hokkien dan kepada saudara Hussin Bangla saya belajar Bahasa Urdhu. Alhamdulillah..hasilnya saya berjaya menyusun sebuah kamus Bahasa Inggeris untuk anak-anak saya, yang saya namakan "ISA Islamic Dictionary". Kerana minat dengan Biology, dengan bantuan Saudara Ismail saya susun sebuah buku nota berkenaan Biology dan perubatan dalam Bahasa Inggeris setebal 300 mukasurat. Segala Puja dan Puji bagi Allah. Atas inayahnya kami semua dapat bertahan dalam kem tahanan itu selama 3 tahun lebih sambil mengutip setiap butir-butir nikmat Allah yang tidak terhingga. Alangkah Rahimnya Allah. Rintihan hambaNya tidak pernah disia-siakannya.Apabila kami dibebaskan akhir 2003,masing-masing hati kami telah benar-benar yakin akan kebesaran Allah dan kezaliman undang-undang ciptaan manusia. Orang yang menahan kami mengharapkan kami meninggalkan kebenaran dan bersekongkol bersama kezaliman dan pendurhakaan mereka kepada Allah. Namun kehendak Allah sebaliknya. Bahkan Allah tarik kami keharibaan rahmatNya. Sebenarnya ISA tidak akan pernah berjaya merubah siapa pun yang beriman kepada Allah. Alhamdulillah.

Oleh secebis pengalaman ini buat sahabat-sahabat, teman-teman dan adik-adik, marilah kita teruskan perjuangan ini dengan serius dan sentiasa bersangka baik kepada Allah, nescaya Allah akan berlaku baik kepada kita. Jangan tinggalkan Allah walau sesaat sebagaimana Allah tidak pernah meninggalkan kita. Oleh itu jangan biarkan diri kita tertipu dengan belitan iblis sehingga kita menyangka kita telah berbuat sesuatu kepada jamaah dan perjuangan sedangkan dalam masa yang sama kita lalai daripada berdampingan dengan Rabb. Iblis mungkin akan sibukkan kita dengan ceramah, sibuk dengan kerja-kerja parti, hiburkan kita dengan kemenangan yang hampir menjelma, seronok dengan sambutan masyarakat umum kepada seruan dan perjuangan kita. Namun ditengah-tengah keseronokan itu, janganlah kita lupa kepada Allah walau sesaat. Tuhan yang sentiasa memimpin kehidupan kita. Bolehkah diraih kemenangan dari Allah Tuhan yang kita lupai kemurahanNya?.

Nota
1). Beliau berasal daripada Kedah. Ditukar kebeberapa buah sekolah di Pahang, termasuk sekolah jenis kebangsaan cina Mentakab. Rumah beliau diPendang diwakafkan kepada Pas dan dijadikan pejabat oleh Pas kawasan pendang ketika itu.
2). Ketika itu jawatan presiden digelar dengan "Yang Di Pertua Pas Pusat".
3). Rumah beliau adalah tempat pertemuan naqib-naqib usrah Pondok Pasir Tumboh sewaktu era 80an.

18 November 2008

Sesekali dengarlah khutbah yang tak mengampu..


MENGAPA PERLU MELENTING MACAM BUDAK-BUDAK. DUDUK SENYAP-SENYAP DAN FIKIR DENGAN TENANG APAKAH YANG DIKHUTBAHKAN ITU BETUL ATAU TIDAK.
----------------------------------------------------
Di dalam Surah Al-Qasas ayat 15-16, Allah mengesahkan kesah kegopohan Musa a.s, maksudnya;

"maka orang Yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang Yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, Sesungguhnya Syaitan itu musuh Yang menyesatkan, Yang nyata (angkaranya) . Ia merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". (maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Permulaan kesah diatas ialah apabila pada suatu hari Musa .a.s berjalan-jalan diluar Istana Firaun. Tiba-tiba didapatinya dua orang lelaki sedang bergaduh. Seorang daripadanya berbangsa "Qibti" (sebangsa dengan Firaun), manakala yang seorang lagi berbangsa "Bani Israeil"(sebangsa dengan Musa). Apabila laki-laki Bani Israeil itu terlihat musa (yang segolongan dengannya), lantas ia memanggil musa untuk menolongnya. Musa terus datang kepada keduanya, justeru ditanparnya laki-laki Qibti itu tanpa sempat bertanya siapa antara mereka yang benar dan siapa yang salah. Ekoran daripada tindakannya itu, Musa merasa sangat menyesal sambil berkata; "Ini adalah dari kerja Syaitan".

Kerja Syaitan yang dimaksudkan oleh Musa itu ialah;
1. Gopoh bertindak ( kerana RusuluLlah saw bersabda; "Gopoh itu dari Syaitan dan Tenang itu dari Allah".
2. Sifat perkauman yang salah, iaitu membela bangsa walau atas kezaliman.
3. Menjatuhkan hukuman tanpa diadili terlebih dahulu (seumpama ISA).
Saya bawakan kesah ini untuk dipadankan dengan berita hangat (sebenarnya sengaja dihangatkan oleh akhbar) yang turut diperkatakan ditengah-tengah isu kegawatan mesyuarat pemilihan Umno tahun ini. Beritanya ialah berkenaan sahabat saya Ustaz Suhaimi Saad yang dikatakan salah kerana membaca khutbah menghentam ISA. Orang yang dikatakan sangat murka itu ialah Jamaludin Jarjis. Seorang tokoh Politik yang namanya agak popular sebulan dua lepas, sebelum terpadam terus dari kabenet Pak Lah. Berkebetulan mimbar tempat Ustaz Suhaimi baca khutbah itu berada dalam tanah jajahan Rompin, Parlemen JJ. Beliau bengang kerana dikatakan Ustaz Suhaimi menghentam kerajaan dalam khutbahnya. Di sini saya nak bawakan beberapa perkara yang sepatutnya dilakukan oleh Dato' JJ.

1. Kalau rasa nak marah pun sepatutnya ditahankan dahulu. Cuba cari kesilapan lain yang dibuat oleh Ustaz Suhaimi ketika beliau baca khutbah. Kesilapan tersebut hendaklah kesilapan yang oleh ahli jamaah juga mengatakannya salah. Seumpama Ustaz Suhaimi terlupa mana-mana rukun khutbah, atau beliau terkentut kuat ketika membaca khutbah,sehingga semua orang tahu wudhu'nya batal atau tiba-tiba beliau turun dari mimbar untuk raba punggung salah seorang makmum yang hadir. Jika kesalahan itu yang ustaz Suhaimi lakukan, kemudian dato' JJ rasa nak marah, maka kemarahan dato' JJ boleh diterima oleh Makmum. Hatta makmum akan bangun julang dato' JJ kerana kemarahan itu nampak resional dan wajar. Waktu itu Dato' JJ kelihatan matang dan berkarisma (bukan berkarisemak)

2. Kalaulah betul Ustaz Suhaimi menghentam kerajaan, maka apa peliknya?. Bukan kita tak biasa mendengar orang hentam kerajaan. Hatta pemimpin Umno dan bekas pemimpin Umno pun hentam kerajaan. Bukan setakat 40 orang makmum yang dengar, satu malaysia tahu. Bukan setakat melalui mimbar, bahkan satu muka suratkhabar. Kalaulah Dato'JJ bertenang dan fikir baik-baik apa yang disebut oleh khatib adalah lebih baik dan bijak. Jika apa yang Khatib cakap itu betul maka tidak bijak kalau Dato' JJ naik marah. Kalau tidak betul maka adalah lebih bijak jika selepas itu beliau berjumpa Ustaz Suhaimi (sambil buat-buat beli roti Arab beliau) dan tegur dengan baik dan sopan.
3. Dalam akhbar dilapurkan Dato' JJ berkata beliau tak kesah kalau nak hentam kerajaan di markaz Pas ke atau ceramah-ceramah parti pembangkang, bukannya di Masjid. Masih jauh rupanya untuk Dato' JJ nak faham berkenaan "politik dalam Islam". Islam tidak pernah membataskan soal agama disatu tempat dan soal politik ditempat yang lain. Politik hanya dipentas ceramah dan Parlemen, manakala agama disurau dan Masjid. Sikap memisahkan Islam dari Politik rupanya masih tebal di dada sebahagian pemimpin Umno ( sebab itu kita lihat golongan berpendidikan agama dalam Umno tiada tempat dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno kali ini). Pemisahan inilah yang telah menjerumuskan Umno kepada masaalah yang semakin membarah. Islam hanya ada di Masjid. Di perlemen,di padang golf dan dihotel tiada Islam. Politik hanya ada diparlimen dan di musim pilihanraya. Di masjid tidak boleh membicarakan Politik. Kerak pemikiran sakular sebenarnya masih sangat melekat kepada tempurung kepala Umno.

4. Ustaz Suhaimi menghentam ISA. Apakah ISA itu hukum yang sah pada Agama dan Hak asasi dunia?. Kalau tidak sah, maka rosakkah dan salahkah Khutbah yang menghentam suatu yang "tidak sah" pada agama dan undang-undang dunia. Mempertahankan suatu yang tidak sah lah sebenarnya "tidak sah". Ayat yang saya paparkan di atas berkenaan dengan hukuman tanpa bicara adalah amalan syaitan. sepatutnya kita sama-sama menghalau Syaitan terutamanya dalam masjid Allah di hari yang paling mulia iaitu jumaat. Kalaulah dimasjid dan dihari Jumaat pun kita masih memuja Syaitan, maka apatah lagi ditempat dan masa yang lain.
Sekitar pertengahan tahun 90an dahulu Tok Guru Nik Aziz pernah menyampaikan khutbah disebuah Masjid di Kedah. Lantas riuh rendahlah Osman Arof, tok penghulu Kedah pada masa tu. Lalu Ustaz Bunyamin Yaakob (Allahyarham) menawarkan kepada Osman Arof pilih mana-mana Masjid dikelantan untuk menyampaikan Khutbah. Sehingga kini Osman Arof belum menyahut cabaran itu.

sepatutnya Dato' JJ jangan melenting macam budak-budak. Duduk senyap-senyap kemudian fikir dengan tenang, apakah yang dikhutbahkan itu betul atau pun tidak.

17 November 2008

Alangkah indah kalau UMNO menerima Islam (siri akhir )

DOKTOR PAKAR TELAH MENGALAH. FORUM MEMPERKASAKAN
UMNO TELAH JENUH DIANJURKAN, TAPI NATIJAHNYA HANYA
SATU, SUDAH SAMPAI MASANYA UMNO SETENAT INI...
_____________________________________

3. Pemimpin Umno sudah tidak segan silu melanggar hukum agama.

Antara kesilapan dan dosa yang menyebabkan kelumpuhan Umno ialah sikap pemimpinnya yang sudah tidak segan silu melanggar hukum agama. Mereka berkhutbah dimana-mana tentang "Islam Hadari" tetapi dalam masa yang sama mereka semacam bangga melanggar syariat Islam. Pada awalnya Paklah dijulang sebagai "cucu ulama" yang bukan sahaja mempunyai rekod yang bersih ( mengikut rekod asal pemimpin Umno) bahkan berkebolehan menjadi "Imam Solah Taraweh". Sekaligus Umno merasa cukup kuat untuk menyaingi ketokohan Tuan Guru Nik Aziz yang menjadi kebanggaan Pas sebagai pemimpin politik dan rohani. Kalau Pas ada Nik Aziz, kami ada Pak Lah. Begitulah bangganya Umno. Tapi sebagaimana yang saya sebutkan dalam siri 2 yang lepas,apabila sesuatu amalan dan program itu tidak dibina diatas asas yang kukuh ( Islam sebagai Ad-Diin) maka ianya pasti akan tumbang dan binasa. Begitu juga dengan Pak Lah dan Pemimpin Umno yang lain. Bagaimana mungkin dapat dibangunkan Islam di atas asas sakular Asobiyyah yang menjadi ruh Umno. Tidak dinafikan amalan baik itu boleh dilaksanakan oleh Umno dalam sesetengah masa, seumpama waktu hampir pilihanraya, ketika dalam majlis-majlis rasmi dan keagamaan. Namun penampilan yang tidak bersama ruh tidak akan bertahan lama.

Bermegah dengan dosa dan maksiat akhirnya menjahanamkan Umno. Bukan sahaja Ummat Islam yang benci melihatnya, malahan rakyat umum yang tidak beragama Islam pun turut meluat melihat sikap "dua wajah" pemimpin Umno. Yang lebih besar lagi ialah kemurkaan Allah. Catatan sejarah dunia tidak pernah menyaksikan kesudahan yang "baik" kepada sebarang kezaliman,kejahatan dan keanggkuhan.


Sikap gemar kepada maksiat Pemimpin Umno telah membudayai masyarakat bawahan terutamanya anak-anak muda. Pada bulan mac 2008 yang lalu Sebuah akhbar Inggeris menyiarkan berita beberapa pemuda Melayu memenangi pertandingan Belvedere Bartender of the Year 2007 (Malaysia). Bayangkan betapa hebatnya citarasa pemuda Melayu negara ini mengenai arak, apabila ketiga-tiga hadiah utama dalam menyediakan koktail bagi minuman arak jenama Belvedere Vodka diboloti mereka.

4. Ulama' Umno tidak bersikap sebagai "an-Naasih" kepada pimpinan Umno.

Umno mempunyai ramai tokoh-tokoh Ulama', samaada diperingkat atasan,dijabatan perdana menteri,jabatan-jabatan agama, institusi pendidikan tinggi malahan sampai keperingkat imam-imam dan jurur-juru nikah dikampung-kampung. Tetapi malangnya mereka tidak menjadi "penasihat" yang baik kepada Umno. Kalaupun ada antara mereka yang cuba memgusulkan sebarang nasihat, awal-awal lagi mereka akan digertak atau diugut. Sebahagian yang lain terus selesa dengan kedudukan yang disedekahkan oleh Umno dengan mengambil sikap "jangan mencampakkan dirimu kelembah kebinasaan". Bahkan ramai jugak antara mereka yang menjadi "penyerang" yang baik terhadap parti pembangkang. Mereka bukan sahaja setia menjaga gol Umno supaya tidak dibolosi, bahkan turut berperanan menyumbat gol lawan, bagi mempastikan kemenangan Umno. Pengalaman saya dan rakan-rakan tahanan ISA, yang dipaksa mendengar ceramah ulama-ulama Umno di Kem Tahanan Kemunting sudah cukup untuk kami sangat mengenali Tokoh ulama' harapan Umno ini. Kasihan kepada mereka yang terpaksa mencari makan dengan cara itu.

Kelesuan ulama' yang berada dalam Umno dan Institusi yang dikawalselia oleh Umno telah menyebabkan Umno ketiadaan "penasihat agama yang sebenar". Hasilnya hanyutlah Umno dalam kemungkaran dan kemaksiatan yang membawa kepada kemurkaan Allah.


Itulah antara punca kelumpuhan Umno yang saat ini terlantar tenat. Doktor-doktor pakar sudah mengalah. Forum-forum kearah memperkasakan Umno kembali sudah jenuh dianjurkan. Tetapi natijahnya hanya satu, iaitu sudah sampai masanya Umno setenat ini sebelum ajal mendatang. Jalan untuk sembuh hanya satu sahaja, iaitu "kembali kepada Islam". Alangkah indah kalau Umno menerima Islam.